Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Mangsa serangan Beach Road lancar kempen kumpul dana S$105,000 bagi biaya kos perubatan, jagaan

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Mangsa serangan kejam di luar sebuah restoran di Beach Road bulan lalu sedang mengutip derma melalui wadah amal untuk membantu membiayai kos perubatan, serta kos lain yang berjumlah kira-kira S$105,000. 

Wadah mengumpul dana daripada orang ramai Ray of Hope melancarkan satu kempen pada Selasa (10 Mei), dengan izin mangsa, Cik Han Hongli, 42 tahun, yang didakwa diserang pada 14 April oleh Cheng Guoyan, 46 tahun, dengan sebilah pisau pemotong, sedang orang di sekeliling cuba campur tangan. 

Cheng, seorang warga China, dipercayai adalah suami mangsa, menurut polis sebelum ini. 

Cik Han berharap dapat mengumpul jumlah tersebut  untuk membiayai kos perubatan sebanyak sekitar S$68,000 bagi kos perubatan dan sekitar S$8,000 untuk khidmat jagaan jururawat. Kos lain termasuk kehilangan pendapatan selama setahun, "kos tempat tinggal" dan juga penjaga sepenuh masa berjumlah S$6,000. 

Jumlah kos perubatan itu setakat 5 Mei dan berkemungkinan naik, menurut Ray of Hope di laman webnya. 

Cik Han sudah menjalani empat pembedahan di kepala, mata dan tangannya dan dinasihatkan supaya menjalani dua lagi pembedahan untuk memulihkan penglihatannya, catat Ray of Hope. 

Cik Han memberitahu Ray of Hope bahawa meskipun beliau cedera, beliau bimbang tentang keadaan dua anaknya di China. 

"Saya menderita setiap hari sejak kejadian tersebut. Memikirkan tentang anak-anak saya memberi saya kekuatan," menurut laman web itu yang memetik kata-kata Cik Han. 

Cik Han berasal dari Henan, China dan dua anaknya yang berusia 17 dan 20 tahun dijaga oleh keluarga beliau. 

Ray of Hope sedang bekerjasama dengan majikan Cik Han dan badan bukan pemerintah (NGO) untuk membantunya mengharungi "tempoh yang sukar ini". Nama majikan dan NGO itu tidak dimaklumkan di laman web Ray of Hope. 

Serangan itu berlaku pada waktu siang bulan lalu, dengan rakaman video yang dimuat naik online menunjukkan seorang lelaki yang berdarah di bahagian tangannya menghayun-hayunkan pisau pemotong bagi menyerang Cik Han. 

Orang ramai yang cuba menghalangnya dengan melemparkan kerusi, tangga dan papan tanda ke arah lelaki itu kemudian dipuji polis atas usaha mereka. 

Cheng didakwa di mahkamah pada 16 April atas tuduhan cuba membunuh. Jika didapati bersalah, Cheng boleh dipenjara seumur hidup. Dia juga boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan disebat atau didenda, atau kedua-duanya sekali. 

Cik Han dipercayai bekerja di sebuah restoran di Beach Road dan beberapa rakan sekerjanya di daerah itu memberitahu media tempatan bulan lalu bahawa mereka sudah mengumpul sekitar S$20,000 untuk membantunya. 

Setakat 6.30 petang pada Selasa (10 Mei), kempen kumpul dana Ray of Hope sudah menerima sumbangan sebanyak S$5,800. 

Sumber : Today/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan