Skip to main content

Singapura

Mangsa penipuan di SG hilang jumlah rekod S$1.1 bilion pada 2024; seorang mangsa rugi S$125 juta

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 25 Feb 2025 05:44PM Dikemas Kini : 25 Feb 2025 11:53PM

SINGAPURA: Mangsa penipuan di Singapura mengalami kerugian sebanyak S$1.1 bilion pada 2024, jumlah tertinggi yang dicatatkan dalam setahun.

Jumlah keseluruhan yang hilang akibat pelbagai jenis penipuan adalah sekitar 70.6 peratus lebih tinggi daripada S$651.8 juta yang dicatatkan pada 2023, kata Pasukan Polis Singapura (SPF) pada Selasa (25 Feb) sambil menambah seorang mangsa kerugian S$125 juta dalam pelaburan matawang kripto.

Menurut statistik tahunan polis mengenai penipuan dan jenayah siber, jumlah kes penipuan juga meningkat sebanyak 10.6 peratus kepada 51,501 kes pada 2024 berbanding 46,563 pada 2023.

Kerugian akibat pelaburan matawang kripto membentuk peratusan lebih besar daripada kerugian akibat penipuan pada tahun lalu, membentuk sekitar 24.3 peratus daripada jumlah kerugian penipuan, berbanding kira-kira 6.8 peratus pada 2023.

Statistik terkini dari polis itu menunjukkan lima cara penipuan yang paling banyak berlaku ialah penipuan e-dagang, penipuan pekerjaan, pancingan data (phishing), penipuan pelaburan, dan penipuan panggilan rakan palsu.

Walaupun terdapat peningkatan dalam penipuan e-dagang, pancingan data, pelaburan dan menyamar jadi wakil pemerintah, terdapat "penurunan ketara" dicatat bagi yang melibatkan panggilan rakan palsu - baik dari segi jumlah kes yang dilaporkan dan jumlah kerugian.

Menurut SPF ia hasil kerjasama dengan Polis Diraja Malaysia untuk membongkar tiga sindiket penipuan panggilan rakan palsu yang beroperasi dari Johor Bahru, dengan 19 ahli sindiket luar negara di tangkap.


Terdapat juga penurunan "ketara" dalam jumlah penipuan melalui taktik memancing menggunakan perisian hasad atau 'malware' dan penipuan penyamaran media sosial, sebahagian besarnya disebabkan oleh langkah-langkah yang dilaksanakan pemerintah serta bank dan syarikat telekomunikasi.

Bagaimanapun, terdapat peningkatan dalam jumlah kerugian bagi kedua-dua jenis penipuan itu disebabkan dua kes yang mengalami jumlah kerugian "sangat tinggi", kata SPF.

Satu kes penipuan menggunakan malware menyaksikan kerugian kira-kira S$125 juta dalam pelaburan matawang kripto.

Mangsa telah mengklik pautan mesyuarat temu duga palsu dan diminta untuk memainkan skrip pada komputer ribanya. Skrip tersebut sebenarnya adalah kod berniat jahat yang menyasarkan dompet kripto.

<<embed graph of scam cases>>

Kes melibatkan pemindahan wang yang dilakukan sendiri menyumbang 82.4 peratus daripada jumlah kes penipuan yang dilaporkan tahun lalu.

Dalam kebanyakan kes, penipu tidak mendapat kawalan langsung ke atas akaun mangsa, tetapi memanipulasi mereka untuk melakukan transaksi kewangan.

Beberapa individu begitu terpengaruh dengan tipu daya si penipu sehingga mereka enggan percaya sedang ditipu walaupun diberi nasihat berulang kali oleh orang tersayang, bank mereka, dan juga polis, kata SPF.

SPF menyatakan bahawa Pasukan Antipenipuan yang ditubuhkan pada Mac 2022 - berjaya mendapatkan kembali lebih daripada S$182 juta kerugian akibat penipuan pada 2024, menjadikan kerugian bersih kira-kira S$930 juta.

Melalui "campur tangan proaktif" dengan mangsa pada pelbagai peringkat penipuan, unit antipenipuan dan rakan kongsinya juga telah brjaya mengelakkan kerugian sekurang-kurangnya S$483 juta, tambah SPF.

BILANGAN KECIL KES DENGAN KERUGIAN "SANGAT TINGGI"

Lebih daripada 70 peratus kes penipuan tahun lalu menyebabkan kerugian kurang daripada S$5,000, kata polis, dengan jumlah kerugian median setiap kes merosot sebanyak 12.6 peratus daripada S$1,590 pada 2023 kepada S$1,389 pada 2024.

Bagaimanapun, terdapat peningkatan keseluruhan dari segi jumlah kerugian - didorong oleh bilangan kecil kes dengan kerugian "sangat tinggi".

Kes penipuan dengan kerugian sekurang-kurangnya S$100,000 membentuk 3.3 peratus daripada kes penipuan tahun lalu tetapi menyumbang 70.8 peratus daripada kerugian penipuan.

Empat kes, khususnya, menyumbang S$237.9 juta.

Polis menganggarkan bahawa jumlah yang hilang dalam empat kes tersebut menyumbang kepada 21.4 peratus daripada jumlah kerugian akibat penipuan pada 2024.

PENIPUAN E-DAGANG

Penipuan e-dagang mencatatkan jumlah kes tertinggi yang dilaporkan daripada semua jenis penipuan pada 2024, dengan 11,665 kes dilaporkan dan sekurang-kurangnya S$17.5 juta kerugian dicatatkan.

Kes melibatkan tiket konsert paling kerap berlaku, menyumbang 22.4 peratus daripada jumlah kes penipuan e-dagang pada 2024, berbanding dengan 11.7 peratus pada tahun 2023.

Mangsa biasanya menemui senarai tiket konsert secara online dan diminta untuk memindahkan bayaran. Dalam beberapa kes, mangsa menerima tiket, tetapi hanya menyedari bahawa ia palsu apabila mereka tidak dapat menggunakannya untuk memasuki tempat konsert, kata polis.

Polis menambah bahawa penipuan melibatkan tiket konsert kini beralih ke platform pesanan seperti Telegram, di mana usaha intervensi adalah "lebih sukar" berbanding dengan wadah e-dagang tradisional.

Lebih daripada 330 orang menjadi mangsa penipuan melibatkan penjualan tiket konsert bintang pop Taylor Swift pada Januari dan Februari tahun lalu, dengan jumlah kerugian mencecah sekurang-kurangnya S$213,000.

Sebilangan besar mangsa penipuan e-dagang berumur 30 hingga 49 tahun, membentuk 45.1 peratus mangsa untuk jenis penipuan ini.

Platform yang paling biasa digunakan bagi penipuan e-dagang termasuk Facebook, Carousell dan Telegram.
Meskipun penipuan e-dagang mencatatkan jumlah kes tertinggi yang dilaporkan, jenis penipuan lain - iaitu pancingan data, pelaburan dan menyamar jadi pegawai pemerintah - mencatat "peningkatan mendadak" dalam jumlah kes yang dilaporkan dan jumlah kerugian.

Khususnya ialah penipuan pelaburan yang merupakan jumlah kes keempat tertinggi yang dilaporkan pada 2024, dengan 6,814 kes.

Walau bagaimanapun, jumlah kerugian akibat penipuan sedemikian adalah yang tertinggi iaitu sekurang-kurangnya S$320.7 juta.

Turut meningkat, kes di mana penipu memasukkan mangsa ke dalam kumpulan sembang atau saluran di platform pesanan seperti WhatsApp dan Telegram untuk "peluang pelaburan".

Sebilangan besar mangsa penipuan pelaburan juga berumur 30 hingga 49 tahun, membentuk 44.2 peratus daripada mangsa bagi jenis penipuan sedemikian.

Telegram, Facebook dan WhatsApp adalah platform yang paling kerap digunakan oleh penipu untuk menghubungi mangsa.

PRODUK META, TELEGRAM "AMAT MEMBIMBANGKAN"

Penipu biasanya menghubungi mangsa melalui platform pesanan, media sosial, panggilan telefon dan platform membeli-belah online, menurut SPF.

Jumlah kes di mana penipu menghubungi mangsa melalui platform pesanan meningkat daripada 12,368 pada 2023 kepada 15,145 kes pada tahun lalu.

WhatsApp dan Telegram adalah dua platform pesanan paling dieksploitasi oleh penipu, kata polis.

Jumlah kes penipuan yang dilakukan di Telegram juga mencatat peningkatan sekitar 95.7 peratus.

Jumlah kes di mana penipu menghubungi mangsa melalui media sosial meningkat kepada 14,991 pada 2024 berbanding 13,725 pada 2023. Khususnya, 59.8 peratus dihubungi melalui Facebook, 18 peratus melalui Instagram dan 13.2 peratus melalui TikTok.

Menurut polis juga platform beli-belah online merupakan "kaedah hubungan yang membimbangkan". Jumlah kes penipuan yang berlaku melalui platform sedemikian meningkat kepada 5,079 pada 2024, berbanding 4,893 pada 2023.

Daripada jumlah itu, 75 peratus berlaku di Carousell dan 18.3 peratus di Facebook Marketplace.

"Tiga produk daripada Meta (Facebook, WhatsApp, Instagram) dan Telegram kekal amat membimbangkan, secara konsisten dieksploitasi penipu untuk menghubungi mangsa dan melakukan penipuan mereka," kata SPF.

MANGSA PENIPUAN

Sama seperti tahun-tahun sebelumnya, golongan muda didapati lebih mudah menjadi mangsa penipuan berbanding individu yang lebih tua. Mereka yang berumur kurang 50 tahun membentuk 70.9 peratus daripada mangsa penipuan pada 2024.

Sebaliknya, meskiipun warga emas hanya membentuk sebilangan kecil mangsa penipuan, berdasarkan kiraan purata, golongan itu paling banyak kehilangan wang apabila ditipu.

Belia berumur 19 tahun ke bawah membentuk 6.3 peratus daripada mangsa penipuan, manakala orang dewasa muda berumur 20 hingga 29 tahun menyumbang 23.4 peratus. Orang dewasa berumur 30 hingga 49 tahun membentuk 41.2 peratus.

Ketiga-tiga kumpulan umur ini cenderung untuk terjebak dalam penipuan e-dagang, pekerjaan atau pancingan data.

"Warga emas muda", seperti mereka yang berumur 50 hingga 64 tahun, membentuk 20.7 peratus daripada mangsa penipuan. Kumpulan ini kebanyakannya terjebak dalam penipuan pancingan data, pelaburan dan panggilan rakan palsu.

Ia juga berlaku kepada mereka yang berumur 65 tahun ke atas, membentuk 8.4 peratus.

MEMERANGI PENIPUAN, JENAYAH SIBER

Penipuan dan jenayah siber kekal sebagai satu"kebimbangan utama" kata polis dengan jumlah kes penipuan dan jenayah siber meningkat sebanyak 10.8 peratus kepada 55,810 kes pada 2024, berbanding dengan 50,376 kes pada 2023.

Polis menarik perhatian kepada pelbagai langkah dan perundangan sedia ada untuk memerangi jenayah itu, termasuk Akta Perlindungan daripada Penipuan yang diluluskan di Parlimen awal tahun ini.

Undang-undang baru itu memberi kuasa kepada polis untuk mengeluarkan perintah sekatan kepada bank untuk menyekat transaksi perbankan seseorang individu jika terdapat sebab untuk mempercayai bahawa orang tersebut berkemungkinan akan membuat pemindahan wang kepada penipu.

Ini akan memberi polis lebih banyak masa untuk meyakinkan orang tersebut bahawa dia sedang ditipu, kata SPF.

Pasukan Anti-Penipuan juga merampas lebih daripada 31,000 kad SIM dan menangkap 13 orang semasa operasi penguatkuasaan untuk menangani penyalahgunaan kad SIM dalam aktiviti penipuan.

Di bawah undang-undang baru yang berkuat kuasa pada 1 Januari, pihak berkuasa boleh menyasarkan tiga kumpulan orang yang menyalahgunakan kad SIM tempatan untuk memudahkan penipuan - pelanggan kad SIM yang tidak bertanggungjawab, orang tengah yang terlibat dalam mendapatkan atau membekalkan kad SIM tempatan kepada sindiket penipuan serta peruncit yang melanggar peraturan.

Tahun lalu, SPF juga berjaya menyekat lebih daripada 57,700 talian telefon, lebih daripada 40,500 talian WhatsApp, lebih 33,600 nama pengguna dan iklan online, dan lebih 40,900 laman web yang berkaitan dengan penipuan.

"Ini adalah peningkatan bsar berbanding 2023, dan dilakukan melalui kerjasama dengan pihak berkepentingan industri utama seperti Meta, Carousell, Google dan syarikat-syarikat telekomunikasi," kata SPF.

Timbalan pengarah Pejabat Pendidikan Awam mengenai Penipuan Jeffery Chin berkata: "Penipu akan sentiasa mencari cara untuk memperdaya kita supaya membuat keputusan cepat."

"Kami ingin menggesa semua orang supaya bertenang, ambil masa untuk periksa jika anda tidak pasti sama ada ia suatu penipuan," kata Encik Chin, sambil merujuk kepada Talian Bantuan ScamShield 1799 dan aplikasi ScamShield.
Sumber : CNA/SU/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita