Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Mangsa kes bunuh di Bishan 'uzur, lemah', kata jiran tetangga

Seorang lelaki berkerusi roda berusia 73 tahun, ditemui terbujur di atas katil di ruang tamu apabila isteri beliau pulang ke rumah mereka di Bishan. Demikian menurut seorang jiran mereka kepada Mediacorp. Warga emas itu dipercayai dibunuh pembantu rumahnya yang berusia 49 tahun.

Anggaran Waktu Membaca:
Mangsa kes bunuh di Bishan 'uzur, lemah', kata jiran tetangga

Flat di blok perumahan di Bishan Street 23 di mana seorang amah dipercayai membunuh seorang lelaki warga emas berusia 73 tahun. (Gambar: Ooi Boon Keong/TODAY)

SINGAPURA: Seorang lelaki berkerusi roda berusia 73 tahun, ditemui terbujur di atas katil di ruang tamu apabila isteri beliau pulang ke rumah mereka di Bishan. Demikian menurut seorang jiran mereka kepada Mediacorp. Warga emas itu dipercayai dibunuh pembantu rumahnya yang berusia 49 tahun.

Jiran itu, yang tinggal di flat sebelah rumah pasangan tersebut dan mahu dikenali hanya sebagai Cik Lim, memberitahu Mediacorp lampu tidak bernyala apabila isteri mangsa pulang ke rumah pada Khamis (28 Apr) malam.

Kelibat pembantu rumah berkenaan, di mana jiran tetangga mempercayai adalah warganegara Indonesia, tidak kelihatan di mana-mana ketika itu, kata Cik Lim. Beliau menambah butiran itu dikongsi isteri mangsa kepadanya.

Pasangan tersebut tinggal di sebuah blok perumahan awam yang terdiri daripada flat maisonette dua tingkat di Bishan Street 23.

Pada Jumaat, polis menyatakan pihaknya memberkas amah tersebut - yang tidak didedahkan namanya - kerana disyaki membunuh lelaki warga emas itu. Dia akan didakwa pada Sabtu.

Butiran tentang bagaimana pembantu rumah itu ditemui dan ditangkap tidak dinyatakan. Polis dimaklumkan tentang kematian lelaki itu sekitar pukul 8.50 malam semalam.

Cik Lim, 60 tahun, enggan memberikan butiran lanjut. Jiran tetangga lain yang ditemu bual pula tidak tahu nama lelaki tersebut serta keluarganya.

Bagaimanapun, Cik Tan Hwee Yee, yang tinggal di tingkat yang sama dengan mendiang, berkata selain amah itu, pasangan tersebut juga mempunyai seorang anak perempuan berusia 28 tahun yang duduk serumah dengan mereka.

Cik Tan, pengurus berusia 60 tahun, menyifatkan mangsa sebagai seorang lelaki yang tidak banyak cakap namun mesra dan beliau akan menegur sapa jiran tetangga jika terserempak dengan mereka.

Menurut Cik Lim, jirannya itu pernah bekerja sebagai seorang pemandu teksi sebelum dia jatuh sakit sekitar dua tahun lalu. Sedari itu, Cik Lim mula melihat amah tersebut tinggal bersama keluarga mendiang.

“Dia menjadi uzur dan lemah," kata Cik Tan dalam bahasa Mandarin sambil menambah bahawa lelaki itu perlu ditolak dalam kerusi roda sekiranya beliau keluar rumah.

Cik Tan juga berkata isteri mendiang adalah seorang wanita periang yang akan berhenti untuk bersembang dengan jiran tetangga.

Pada satu ketika, isteri mendiang pulang membawa beberapa bungkusan makanan dan Cik Tan bertanya mengapa tidak menyuruh sahaja amah itu menyediakan makanan untuk keluarganya.

“Beliau berkata 'saya tidak mahu memberinya lebih banyak kerja'. Dia seorang yang baik," kata Cik Tan.

Isteri mendiang juga tambah beliau pernah mendapatkan nasihatnya tentang apa yang harus dilakukan kerana amah itu asyik meminta dinaikkan gaji.

Sementara itu, seorang lagi jiran yang tinggal beberapa tingkat di bawah unit mangsa - dan enggan mendedahkan namanya - berkata isteri mendiang pernah bercakap kepadanya tentang beberapa pertikaian antara beliau dengan amah tersebut.

KEJIRANAN SUNYI SEPI

Kebanyakan penduduk di blok 16 tingkat itu, yang ditemu bual Mediacorp, berkata mereka terkejut dengan berita yang dipercayai kes pembunuhan di kawasan kejiranan mereka yang sunyi sepi. Blok tersebut terletak di belakang Pusat Polis Kejiranan.

Penduduk yang ditemui Mediacorp, termasuk Cik Lim, berkata mereka tidak mendengar atau mengesyaki sebarang perkara janggal yang berlaku pada Khamis.

Seorang wanita yang bekerja di kedai runcit di blok tersebut juga melihat ramai anggota paramedik tiba serentak.

Beliau menambah polis bertanya kepadanya sama ada mereka boleh melihat sebarang rakaman daripada kamera litar tertutup (CCTV) jika ada, sekiranya pihaknya perlu berbuat sedemikian.

Sumber : Today/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan