Skip to main content

Singapura

Mangsa kerugian S$20,000 angkara iklan durian, daging wagyu di wadah online

Sekurang-kurangnya 168 orang ditipu pada bulan lalu ketika cuba membeli barang makanan yang mahal dan bermusim secara online, menurut polis pada Isnin (6 Mac).

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sekurang-kurangnya 168 orang ditipu pada bulan lalu ketika cuba membeli barang makanan yang mahal dan bermusim secara online, menurut polis pada Isnin (6 Mac).

Sejak Februari lalu, para mangsa kerugian sekurang-kurangnya S$20,000 gara-gara para penipu yang mengiklankan penjualan produk-produk makanan seperti makanan laut, durian musang king 'black gold', ceri dan daging wagyu.

Menurut polis, pihaknya menerima sejumlah aduan yang dibuat terhadap beberapa laman Facebook yang dipercayai adalah palsu seperti Grocery Retail, Department Store, Juewei Food, Baihui Mall dan Ocean Fishery Exchange.

Siasatan masih dijalankan.

"Polis mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati ketika membeli-belah online, terutama sekali apabila membeli barang makanan yang mahal dan bermusim menerusi wadah online," menurut SPF.

Para penipu yang terbabit dalam kes-kes penipuan itu akan berpura-pura menjadi "penjual" dan mengumpan mangsa dengan memuat naik catatan mengenai tawaran atau iklan tajaan bagi produk makanan ke wadah-wadah online seperti Facebook, menurut polis.

Mangsa yang berminat dengan tawaran itu kemudian akan menghubungi "penjual" secara langsung melalui Facebook Messenger.

Setelah mengesahkan harga dan butiran penghantaran, 'si penjual' kemudian akan mengarahkan mangsa supaya membuat bayaran kepada akaun banknya menerusi PayNow.

Para mangsa hanya menyedari bahawa mereka ditipu setelah mereka tidak menerima barang-barangan yang ditempah atau jika 'penjual' gagal dihubungi.

Pada Julai 2021, mangsa daripada penipuan pancingan data membabitkan iklan-iklan palsu mengenai penjualan ketam kerugian lebih S$15,000.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita