Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Mangsa kedua nahas Gambas Ave di ICU, keluarga bimbang bil hospital semakin meningkat

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Kemalangan maut di Gambas Avenue pada Ahad (10 Apr), yang meragut nyawa seorang pekerja penghantaran makanan turut menyebabkan seorang lagi penunggang motosikal, Muhammad Alif Rykell Shah yang berumur 20 tahun, terlantar di Unit Jagaan Rapi (ICU).

Ibu beliau, Cik Sarah Widjaya, 42 tahun memberitahu Mediacorp pada Khamis (14 Apr) bahawa nahas itu menyebabkan anak beliau mengalami kecederaan teruk pada bahagian pelvis kiri, patah rusuk dan pergelangan tangan, pendarahan dalaman serta siku berlubang.

Doktor memberitahu beliau bahawa ia akan mengambil masa "berbulan-bulan" sebelum anak beliau boleh berjalan semula.

Alif masih dalam keadaan sedarkan diri semasa dikejarkan ke Hospital Khoo Teck Puat (KTPH) menyusuli kemalangan tersebut di Gambas Avenue menghala ke Yishun Avenue 7 sekitar pukul 1.00 tengah hari pada 10 April.

Kemalangan tersebut meragut nyawa seorang pekerja penghantaran makanan berusia 24 tahun, Jason Tan. Mangsa meninggalkan balunya yang sedang mengandung.

Polis mengumumkan bahawa pemandu van berusia 36 tahun diberkas kerana memandu secara cuai hingga menyebabkan kematian.

Cik Sarah menerusi catatan Facebook pada Rabu berkongsi mengenai keadaan anak beliau.

Beliau menyatakan anaknya sudah menjalani tiga pembedahan besar dalam tempoh tiga hari lalu dan dijadualkan menjalani satu lagi pembedahan pada Khamis, jika keadaannya mula stabil.

Cik Sarah yang juga merupakan seorang pekerja jagaan kesihatan berkata Alif adalah anak keempat daripada lima beradik.

Alif bekerja sebagai jururawat sambilan di Hospital Khoo Teck Puat sementara menunggu masa untuk menyertai Perkhidmatan Negara (NS). Lagi empat anaknya berusia antara 18 dengan 24 tahun.

Apabila insiden itu berlaku, mangsa baru sahaja meninggalkan flat empat bilik mereka di Woodlands untuk berbuka puasa bersama kawan-kawannya.

Cik Sarah berasa sangat sedih apabila saksi nahas itu memberitahu beliau bahawa Alif terkulai sendirian di atas jalan raya selepas kemalangan berlaku sebelum dua orang tampil membantu beliau.

"Kami juga melihat rakaman kamera di dalam kereta, Walaupun beliau dalam kesakitan, beliau masih bangun untuk membantu penunggang motosikal lain

"Itulah beliau...Beliau sentiasa mendahulukan orang lain. Ini adalah sebab mengapa beliau ingin menjadi seorang pekerja jagaan kesihatan,” tambahnya.

SAMBUT HARI LAHIR SEHARI SEBELUM KEMALANGAN

Keluarga Cik Sarah baru menyambut ulang tahun Alif sehari sebelum kemalangan itu.

Cik Sarah berkata kemalangan itu merupakan satu tamparan hebat kepada keluarga beliau terutama sekali kepada anak bongsunya, yang paling rapat dengan Alif.

Cik Sarah menyatakan walaupun Alif masih terlantar di katil hospital dengan besi-besi yang menyokong bahagian pelvisnya, beliau masih bimbang memikirkan orang-orang di sekelilingnya.

Alif juga bertanya kepada ibunya sama ada beliau akan membebankan ibunya.

Walaupun Cik Sarah sudah meyakinkannya bahawa semuanya baik-baik sahaja, Cik Sarah khuatir tentang kos hospital yang semakin meningkat.

Suami Cik Sarah yang berumur 47 tahun bekerja sebagai pekerja penghantaran makanan.

"Buat masa ini kami belum lagi menerima bil hospital namun diberitahu bahawa tiga pembedahan besar itu berjumlah S$60,000," kata beliau.

Cik Sarah juga khuatir tentang jumlah keseluruhan bil ymemandangkan Alif mungkin memerlukan lebih banyak pembedahan, sesi pemulihan dan terapi.

Beliau menambah bahawa beliau mungkin akan berusaha mendapatkan dana melalui sumbangan masyarakat (crowdfunding) dan mungkin terpaksa mengambil cuti tanpa gaji untuk menjaga anak beliau sepenuh masa.

"Buat masa ini, kami tidak ada pilihan lain. Kami tidak mampu untuk membayar orang lain untuk menjaganya," tambah beliau.

Setakat pukul 11.00 pagi hari ini (15 Apr) jumlah dana yang sudah dikumpulkan di laman GiveAsia untuk membantu kos perubatan dan pemulihan Alif sudah melebihi S$100,000 yang disasarkan, iaitu S$101,538.

Sumber : Today/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan