Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Mangsa hangus lebih S$21,000; terperdaya tawaran unit sewa

Seorang lelaki berusia 49 tahun diberkas pada Khamis (14 Apr) kerana disyaki terbabit dalam beberapa siri penipuan melibatkan sewa rumah.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Seorang lelaki berusia 49 tahun diberkas pada Khamis (14 Apr) kerana disyaki terbabit dalam beberapa siri penipuan melibatkan sewa rumah.

Menurut polis dalam kenyataan medianya pada Jumaat (15 Apr), pihaknya menerima beberapa aduan daripada para mangsa antara Mac hingga April lalu.

Para mangsa diumpan melalui iklan di Facebook dan Carousell yang kononnya menawarkan sebuah unit untuk disewa di Hong San Walk.

Setelah meninjau-ninjau unit itu, mangsa akan disuruh membayar wang cengkeram kepada seorang lelaki bagi mengesahkan hasrat untuk menyewa unit tersebut.

"Lelaki itu tidak lagi dapat dihubungi setelah mangsa membayar wang cengkeram itu. Sesetengah mangsa kemudian mendapat tahu bahawa unit yang sama dipercayai disewakan kepada individu lain bagi tempoh yang sama," menurut polis.

Polis kemudian berhasil mengenal pasti lelaki itu dan memberkasnya.

Siasatan awal menunjukkan bahawa lelaki itu dipercayai terbabit dalam 20 kes penipuan serupa dengan para mangsa mengalami kerugian lebih S$21,000.

Lelaki itu akan dihadapkan ke mahkamah pada Sabtu atas tuduhan menipu. Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun dan didenda.

Polis mengingatkan orang ramai supaya mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelak menjadi mangsa penipuan seumpama itu.

Mereka juga harus memastikan bahawa mereka berurusan dengan pemilik sebenar unit itu atau seorang ejen hartanah yang bertauliah. Mereka juga harus meminta izin untuk mengunjungi unit tersebut dan mengesahkannya dengan pemilik jika tawaran sewa itu benar-benar wujud dan tulen.

Butiran lanjut boleh didapatkan menerusi laman Amaran Skim Penipuan atau menerusi talian Anti-Penipuan di 1800-722-6688.

Sesiapa yang mempunyai maklumat berhubung skim penipuan sedemikian boleh menghubungi polis di talian 1800-255-0000 atau menyerahkan maklumat itu secara online.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan