Skip to main content

Singapura

Mangsa gangguan, bahaya online boleh dapatkan bantuan badan pemerintah baharu mulai 29 Jun

Mangsa gangguan atau bahaya online di Singapura boleh mendapatkan bantuan daripada sebuah badan pemerintah baharu, Suruhanjaya Keselamatan Online (OSC), mulai Isnin (29 Jun).

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 28 Jun 2026 07:36PM Dikemas Kini : 27 Jul 2026 11:27AM
  • Suruhanjaya Keselamatan Online (OSC) ditubuhkan di Singapura mulai 29 Jun untuk membantu mangsa lima jenis bahaya online, termasuk gangguan dan pendedahan maklumat peribadi.
  • OSC beroperasi di bawah Akta Keselamatan Online 2025, dengan skop akan diperluas kepada 13 kategori bahaya online secara berperingkat.
  • Mangsa boleh membuat aduan melalui laman web OSC tanpa bayaran, dan OSC boleh mengarahkan platform atau individu untuk menghapuskan kandungan berbahaya.
  • Proses rayuan disediakan, dan undang-undang baharu menetapkan tanggungjawab jelas kepada penyedia platform serta memberi perlindungan dan sokongan tambahan kepada mangsa.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Mangsa gangguan atau bahaya online di Singapura boleh mendapatkan bantuan daripada sebuah badan pemerintah baharu, Suruhanjaya Keselamatan Online (OSC), mulai Isnin (29 Jun).

Suruhanjaya itu akan membantu mangsa menangani lima jenis bahaya online, iaitu gangguan online, pendedahan maklumat peribadi atau 'doxxing', menghendap online, penyalahgunaan gambar intim, dan penderaan kanak-kanak berasaskan gambar.

Skop suruhanjaya itu akan diperluaskan secara berperingkat untuk merangkumi kesemua 13 kategori bahaya online di bawah undang-undang, termasuk penyamaran online, penyalahgunaan bahan palsu dan kenyataan yang menjejaskan reputasi seseorang, menurut kenyataan bersama OSC, Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI) serta Kementerian Undang-Undang (MinLaw).

OSC ditubuhkan di bawah Akta Keselamatan Online (Bantuan dan Akauntabiliti) 2025, sekali gus menandakan satu langkah penting dalam usaha Singapura memperkukuhkan perlindungan orang ramai online.

Peruntukan baharu di bawah undang-undang tersebut juga akan mula berkuat kuasa pada Isnin, memperkukuhkan perlindungan bagi mangsa bahaya online.

Dengan penubuhan OSC, Singapura menjadi antara segelintir negara yang mempunyai sebuah agensi pemerintah yang dikhususkan untuk membantu para mangsa gangguan dan bahaya online.

Pesuruhjaya (Dilantik) Suruhanjaya Keselamatan Online, Francis Ng, berkata penggunaan internet yang semakin meluas mendorong peningkatan kes bahaya online.

"Kita semua mengenali seseorang yang pernah terjejas secara peribadi akibat bahaya online. Suruhanjaya Keselamatan Online akan berusaha untuk mengubah keadaan itu.

"Keutamaan kami ialah menjaga kepentingan mangsa. Proses kami dirangka untuk membantu mangsa dan memperkasa mereka agar dapat kembali bersemangat, dalam menangani bahaya-bahaya online ini."

Encik Ng menambah bahawa suruhanjaya itu amat prihatin terhadap penyalahgunaan gambar intim, penderaan kanak-kanak berasaskan gambar dan pendedahan maklumat peribadi.

"Kami akan bertindak pantas untuk berhubung dengan platform dan laman media lain yang menyiarkan kandungan tersebut, dengan tujuan memastikan kandungan berbahaya itu dihapuskan dengan cepat dan berkesan."

PROSES MEMBUAT ADUAN

Para mangsa yang ingin membuat aduan mesti merupakan warga Singapura, penduduk tetap atau mempunyai kaitan yang ditetapkan dengan Singapura. Aduan boleh dikemukakan menerusi laman web OSC, yang membimbing pengguna sepanjang proses tersebut. Tiada bayaran dikenakan untuk membuat aduan.

Para mangsa perlu memberikan maklumat mengenai bahaya atau gangguan online yang dialami. Ia mungkin merangkumi penerangan tentang apa yang berlaku, di samping bahan-bahan sokongan seperti URL, petikan skrin, gambar dan video. Nama akaun pelaku juga perlu disertakan, jika tersedia.

Ibu bapa atau penjaga digalakkan untuk membuat aduan bagi pihak mangsa yang berusia bawah 18 tahun. Individu yang mempunyai kebenaran bertulis daripada mangsa juga boleh mengemukakan aduan.

Bagi kes gangguan dan penghendapan online, para mangsa perlu terlebih dahulu melaporkan kandungan tersebut kepada platform yang menyiarkannya. Jika platform gagal memberi maklum balas dengan segera atau memberikan maklum balas yang tidak memadai dalam tempoh 24 jam, mangsa boleh membuat aduan kepada OSC.

OSC juga mengamalkan pendekatan "no-wrong-door policy". Ini bermakna, mangsa akan dibimbing untuk mendapatkan bantuan yang sewajarnya tanpa mengira agensi pemerintah yang dihubungi terlebih dahulu.

Selepas menerima aduan, OSC akan menilainya. Jika terdapat sebab untuk mengesyaki bahawa terdapat bahaya atau gangguan online yang berlaku, pesuruhjaya boleh mengeluarkan arahan untuk menghentikan atau mengehadkan perkara tersebut.

"Perintah itu boleh dikeluarkan kepada individu yang memuat naik kandungan berbahaya, pentadbir kumpulan atau laman online yang menyiarkan kandungan tersebut, atau platform yang menjadi hos kepada kandungan itu," menurut OSC, MDDI dan MinLaw.

Sebagai contoh, pesuruhjaya boleh mengarahkan supaya akses kepada kandungan berbahaya disekat atau akaun pelaku dikenakan sekatan. Kegagalan untuk mematuhi arahan tersebut merupakan satu kesalahan jenayah.

Enam penyedia khidmat online akan memikul tanggungjawab tambahan di bawah Akta baharu itu memandangkan capaian dan pengaruh mereka yang besar di Singapura. Penyedia-penyedia khidmat tersebut ialah Meta Platforms bagi Facebook dan Instagram; Google bagi YouTube; X Corp bagi X; TikTok; serta SPH Media bagi forum HardwareZone.

Selain menghapuskan kandungan, OSC menggalakkan para mangsa dan keluarga mereka untuk mendapatkan sokongan daripada rakan kongsi masyarakatnya, iaitu Fei Yue Community Services, Samaritans of Singapore, SHE-SG Her Empowerment, Singapore Children's Society dan TOUCH Community Services.

"Rakan kongsi masyarakat ini boleh membimbing para mangsa berhubung cara untuk membuat aduan kepada OSC serta menyediakan bentuk bantuan lain seperti kaunseling," menurutnya.

SEMAKAN SEMULA DAN RAYUAN

Individu yang layak dan tidak bersetuju dengan keputusan pesuruhjaya boleh memohon semakan semula dalam tempoh 14 hari tanpa dikenakan sebarang bayaran. Pesuruhjaya boleh mengekalkan, membatalkan, meminda atau menggantikan keputusan asal yang dibuat.

Mereka yang masih tidak berpuas hati selepas semakan semula boleh mengemukakan rayuan kepada Panel Rayuan Keselamatan Online, yang dilantik secara bebas, dalam tempoh 14 hari. Bayaran permohonan sebanyak S$200 akan dikenakan.

Panel rayuan tersebut terdiri daripada enam anggota daripada pelbagai bidang seperti undang-undang, psikologi klinikal dan akademik. Mereka dilantik oleh MDDI bagi tempoh tiga tahun.

Panel tersebut akan dipengerusikan oleh Profesor Leslie Chew SC, dekan fakulti undang-undang Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS).

Profesor Madya Jabatan Komunikasi dan Media Baharu Universiti Nasional Singapura (NUS), Dr Natalie Pang, akan bertindak sebagai timbalan pengerusi.

Anggota lain panel tersebut ialah Profesor Lee Pey Woan dari Universiti Pengurusan Singapura, Profesor Madya Carol Soon dari NUS, Dr Lim Choon Guan dari Institut Kesihatan Mental dan June Tang dari The Psychology Practice.

Mangsa yang tidak mengetahui identiti individu yang membahayakan atau mengganggu mereka secara online boleh memohon bantuan OSC untuk mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab jika mereka bercadang untuk mengambil tindakan sivil. Permohonan mesti dibuat dalam tempoh 12 bulan dari tarikh berlakunya gangguan atau bahaya online, atau apabila mangsa mula menyedarinya, mana-mana yang terkemudian.

SOKONGAN PERUNDANGAN DI BAWAH AKTA BAHARU

Di bawah undang-undang baharu itu, mangsa bahaya atau gangguan online juga boleh memfailkan tuntutan sivil di mahkamah menerusi "tort" berkanun baharu yang merangkumi lima jenis bahaya atau gangguan online yang sama pada fasa pertama.

"Tort" tersebut menetapkan tanggungjawab bagi tiga kumpulan, iaitu penyampai kandungan yang tidak boleh memuat naik bahan berbahaya atau terlibat dalam perlakuan berbahaya online; pentadbir kumpulan, laman atau forum online yang tidak boleh memudahkan berlakunya bahaya atau gangguan online dan perlu mengambil langkah yang munasabah untuk menanganinya apabila dimaklumkan; serta platform yang perlu mengambil langkah munasabah untuk menangani bahaya atau gangguan apabila dimaklumkan mengenainya dan berbuat demikian dalam tempoh yang munasabah.

Para mangsa boleh mengaktifkan tanggungjawab pentadbir atau platform untuk mengambil tindakan dengan mengemukakan Notis Bahaya Online dalam borang yang ditetapkan, yang boleh diakses menerusi laman keselamatan online MinLaw.

Pentadbir dan platform diwajibkan untuk memberi maklum balas sebaik sahaja mangsa mengemukakan Notis Bahaya Online.

Platform tertentu yang mempunyai capaian yang lebih meluas dan sumber yang lebih besar perlu memberikan maklum balas dalam tempoh masa yang ditetapkan.

Bagi kes paling serius, iaitu penyalahgunaan gambar intim atau bahan penderaan kanak-kanak yang memaparkan alat sulit atau dubur mangsa, atau payudara jika mangsa merupakan seorang perempuan, platform perlu memberikan maklum balas dalam tempoh enam jam. Mereka mempunyai tempoh 24 jam bagi kes penyalahgunaan gambar intim atau bahan penderaan kanak-kanak yang lain, dan 48 jam bagi semua bentuk bahaya atau gangguan lain.

"Jika platform yang ditetapkan gagal menangani bahaya atau gangguan tersebut dalam tempoh yang ditetapkan, para mangsa boleh mengambil tindakan undang-undang terhadap platform berkenaan," menurut agensi-agensi tersebut.

Bagi kes yang sukar untuk membuktikan kerugiannya, Akta Keselamatan Online (Bantuan dan Akauntabiliti) memperuntukkan ganti rugi minimum bagi kes penyalahgunaan gambar yang paling serius. Bagi penyalahgunaan gambar intim dan penderaan kanak-kanak berasaskan gambar, mahkamah akan memberikan sekurang-kurangnya S$5,000 bagi setiap gambar atau rakaman jika tuntutan berjaya.

Para mangsa gangguan online, pendedahan maklumat peribadi dan penghendapan online masih boleh mendapatkan bantuan di bawah Akta Perlindungan daripada Gangguan, termasuk memohon perintah perlindungan.

Menteri Pembangunan Digital dan Penerangan Josephine Teo berkata undang-undang baharu itu serta penubuhan suruhanjaya tersebut mencerminkan aspirasi lebih luas bagi masyarakat digital Singapura.

"Ia mengiktiraf hakikat bahawa tingkah laku buruk online bukan sahaja memudaratkan individu, malah boleh menjadi sesuatu yang dianggap biasa dari semasa ke semasa dan akhirnya menjejaskan masyarakat.

"Sebaliknya, kami berharap Akta Keselamatan Online (Bantuan dan Akauntabiliti) dan OSC akan membantu memperkukuh norma tingkah laku positif dan bertanggungjawab semasa online, supaya semua rakyat Singapura dapat mengambil bahagian di ruang digital dengan selamat dan yakin."
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita