Mangsa cabutan bertuah palsu guna nama Lapangan Terbang Changi rugi S$40,000
Sekurang-kurangnya 30 kes penipuan mendakwa mangsa memenangi cabutan bertuah oleh Changi Airport Group (CAG) untuk mendapatkan maklumat kad kredit, kad debit atau akaun bank mereka dilaporkan.
SINGAPURA: Sekurang-kurangnya 30 kes penipuan mendakwa mangsa memenangi cabutan bertuah oleh Changi Airport Group (CAG) untuk mendapatkan maklumat kad kredit, kad debit atau akaun bank mereka dilaporkan.
Dalam makluman nasihat yang dikeluarkan Selasa (19 Nov), polis mengingatkan orang ramai tentang penipuan sedemikian di mana mangsa kerugian sekurang-kurangnya S$40,000 antara Julai hingga Oktober tahun ini.
Mangsa akan menerima panggilan telefon, kadang kala menerusi aplikasi seperti Viber. Mereka dimaklumkan telah memenangi hadiah dalam kempen cabutan bertuah yang dianjurkan CAG, seperti Changi Millionaire.
Mereka kemudian diminta memberi maklumat kad kredit atau debit dan akaun bank untuk mendapatkan hadiah mereka.
Mangsa juga diminta memberikan kata laluan sekali (OTP) yang dihantar ke telefon bimbit mereka, tambah polis.
Para mangsa hanya sedar diri mereka ditipu setelah mendapati urus niaga tidak diizinkan sudah dibuat menerusi akaun mereka.
Menurut polis, beberapa mangsa juga diminta membeli kad iTunes dan menghantar kod yang dilampirkan kepada pihak penipu menerusi panggilan telefon.
Dalam beberapa kes baru-baru ini, mengsa mendapati tokokan tanpa diiizin dibuat ke akaun Singtel Dash menggunakan maklumat kad kredit mereka dan urus niaga palsu menerusi akaun Dash tersebut.
Polis menasihati orang ramai agar tidak mendedahkan OTP mereka kepada sesiapa pun termasuk anggota keluarga dan rakan-rakan serta berwaspada terhadap sebarang tawaran hadiah atau permintaan ganjil daripada pihak yang tidak dikenali.
Maklumat lanjut tentang kes-kes penipuan sedemikian boleh didapati di scamalert.sg.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.