Skip to main content

Singapura

Manfaatkan wadah SalamSG TV; pertingkat ilmu, kerohanian sepanjang Ramadan, nasihat Masagos Zulkifli

Biarpun Ramadan kali ini akan berlainan, Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkilfi berkata ia adalah peluang bagi keluarga-keluarga mengeratkan siratulrahim bersama orang tersayang di rumah.

Anggaran Waktu Membaca:
Manfaatkan wadah SalamSG TV; pertingkat ilmu, kerohanian sepanjang Ramadan, nasihat Masagos Zulkifli

Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli.

SINGAPURA: Biarpun Ramadan kali ini akan berlainan, Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkilfi berkata ia adalah peluang bagi keluarga-keluarga mengeratkan siratulrahim bersama orang tersayang di rumah.

Menulis di Facebooknya hari ini (20 Apr), Encik Masagos akur memang terasa "sayu" apabila mengenangkan bahawa amalan-amalan yang biasa dilakukan pada setiap Ramadan - seperti berbuka puasa beramai-ramai dan mengerjakan solat tarawih berjemaah di masjid - kini tidak dapat lagi diteruskan dek keadaan COVID-19 sekarang.

"Kita perlu membuat penyesuaian dan mematuhi langkah-langkah pemutus rantaian jangkitan COVID-19. Ini adalah tanggungjawab kita bersama untuk mengekang penularan wabak ini demi kesejahteraan masyarakat Singapura," ujarnya.

Namun, beliau menekankan, ia tidak bermakna Ramadan kali ini "kurang bererti".

"Kita masih boleh terus beribadah dan meningkatkan ilmu dan kerohanian kita. Dengan niat yang betul, usaha kita mematuhi langkah-langkah memastikan jarak selamat juga boleh menjadi ibadah," kata Encik Masagos.

Di tengah-tengah pemutus rantaian jangkitan, Menteri itu mengajak masyarakat Islam untuk memanfaatkan
wadah-wadah keagamaan yang disediakan agar Ramadan tetap bermakna meskipun keadaannya berbeza.

Encik Masagos merujuk kepada saluran YouTube, SalamSG TV, yang bakal dilancarkan oleh MUIS pada Khamis (23 Apr).

Saluran online itu menghimpunkan asatizah tempatan yang akan memberi panduan dan berkongsi pelbagai kandungan keagamaan serta gaya hidup. Dengan kerjasama masjid-masjid tempatan juga, masyarakat Islam masih dapat mengikuti kelas tajwid dan bimbingan mengaji Al Quran dengan lebih baik bersama-sama sekalipun dari keselesaan rumah masing-masing.

"Gunakanlah wadah-wadah yang telah disediakan untuk mendapatkan bimbingan kerohanian dan beroleh Ramadan yang penuh barakah, Insya-Allah

"Ambillah peluang ini untuk memperkukuhkan hubungan bersama keluarga kita dengan berbuka puasa dan menunaikan solat tarawih bersama-sama di rumah," ujar Encik Masagos sambil berharap masyarakat Islam kekal berdaya tahan sewaktu masa mencabar ini. 

Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita