Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Manfaatkan skim dan tokokan bantuan Pemerintah: Dr Wan Rizal Wan Zakariah

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Manfaatkan skim-skim dan tokokan bantuan yang disediakan Pemerintah, demi pembangunan diri, kerjaya dan kebajikan keluarga.

Demikian nasihat Anggota Parlimen Dr Wan Rizal Wan Zakariah kepada para peserta di Dialog Pasca Belanjawan M³ pada Ahad (10 Mac).

Isu berkaitan penuaan dan sokongan untuk meningkatkan kemahiran pekerja di antara perkara utama yang ditimbulkan sewaktu sesi selama dua jam ini yang dihadiri kira-kira 100 pemimpin akar umbi.

Sebilangan peserta juga mereka melahirkan keprihatinan mereka tentang penutupan Akaun Khas CPF manakala ada juga yang bimbang tentang kadar kesuburan di Singapura yang semakin menurun.

Barisan panel sesi tersebut termasuk Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli dan Menteri Negara Kanan Tenaga Manusia merangkap Pertahanan, Zaqy Mohamad.

Dr Wan Rizal berkata: "Dialog hari ini memberangsangkan terutama sekali mereka bertanya soalan-soalan penting, misalnya tentang CPF, bagaimana untuk menyokong keluarga-keluarga terutama sekali pasangan muda. Saya gembira mendengar mereka berminat tentang isu-isu sebegini."

"Soalan yang mereka tanyakan adalah juga keprihatinan ramai rakyat Singapura, terutama sekali mereka yang bekerja, ada keluarga dan mungkin akan bersara," tambah beliau lagi.

Sementara itu, Dr Wan Rizal juga berharap masyarakat tidak mengaitkan Belanjawan 2024 dengan Baucar CDC sahaja.

Menurut beliau terdapat banyak lagi tokokan yang disediakan Pemerintah untuk membantu rakyat maju dalam kerjaya, yang berkaitan perumahan dan juga yang keluarga muda di Singapura.

"Kita harapkan mereka memanfaatkan skim-skim yang ada untuk keluarga, diri mereka sendiri. Dengan adanya skim-skim sendiri, mereka juga dapat bantuan untuk kerjaya mereka," ujar Dr Wan Rizal.

Sesi dialog tersebut dialu-alukan para peserta kerana mendapat pencerahan lanjut mengenai pengumuman yang dibentang dalam Belanjawan 2024.

Antaranya adalah Relawan MAEC Punggol Coast, Cik Zaida Hashim.

Beliau antara lain mengalu-alukan pembaharuan yang dibuat kepada skim SkillsFuture.

"Isu yang mendapat perhatian saya adalah mengenai SkillsFuture, yang sangat bermakna kerana dengan peredaran masa, sebagai pekerja, kita harus tingkatkan kemahiran diri untuk menjadi lebih relevan dalam pekerjaan serta menambahkan kemahiran dan pendapatan untuk diri kita," kata Cik Zaida.

Beliau juga berpendapat bahawa sesi-sesi dialog sedemikian berguna untuk menghuraikan sebarang salah tanggapan tentang belanjawan yang dibentangkan.

Cik Zaida berkata: "Ia meningkatkan kesedaran masyarakat kita. Saya seorang relawan dan mendapati masyarakat tidak begitu peka tentang isu-isu yang diumumkan dan mereka fikir ia lebih kepada politik tetapi ia penting untuk keseluruhan masyarakat serta penting untuk membangunkan masyarakat kita untuk menjadi lebih berjaya."

Secara keseluruhannya 300 peserta termasuk relawan akar umbi Melayu, pemimpin masyarakat serta wakil pertubuhan Melayu/Islam menyertai kedua-dua sesi dialog pasca Belanjawan M³ pada tahun ini.
Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan