Skip to main content

Singapura

The Ma'na Initiative Hidupkan Budaya Membaca, Perbincangan Ilmiah Belia

Anggaran Waktu Membaca:
The Ma'na Initiative Hidupkan Budaya Membaca, Perbincangan Ilmiah Belia

Kumpulan membaca The Ma'na Initiative bermula sebagai sebuah kelab buku pada Mei 2024. (Gambar: BERITA Mediacorp)

Diterbitkan : 20 Aug 2026 09:39PM
  • The Ma’na Initiative, ditubuhkan oleh sekumpulan belia Singapura pada Mei 2024, bertujuan menghidupkan budaya membaca dan perbincangan ilmiah agama.
  • Kumpulan ini mengadakan sesi bulanan membincangkan karya Profesor Muhammad Naquib Al-Attas, dengan bimbingan asatizah seperti Ustazah Dr Siti Nur ‘Alaniah Abdul Wahid.
  • Kajian RIMA antara Oktober 2024 hingga Mac 2025 mendapati kandungan Islam online penting untuk belia, namun masih ada ruang untuk penambahbaikan isu semasa.
  • Usaha ini membantu belia mendapatkan ilmu agama yang sahih dan relevan, di tengah cabaran maklumat digital dan penggunaan AI.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Di tengah-tengah kecenderungan belia mendapatkan maklumat agama secara online, sekumpulan anak muda mahu memastikan pembelajaran agama tidak terhenti pada apa yang muncul di skrin.

Sekumpulan belia ingin mengembalikan budaya membaca dan perbincangan ilmiah dalam kalangan belia Singapura melalui kumpulan membaca The Ma’na Initiative.

Ditubuhkan pada Mei 2024, The Ma’na Initiative bermula sebagai sebuah kelab buku yang melibatkan hanya lapan orang mahasiswa dengan hasrat membaca dan membincangkan karya Almarhum Profesor Muhammad Naquib Al-Attas.

USAHA DARI BELIA UNTUK BELIA

Matlamat awal The Ma’na Initiative adalah untuk menghidupkan budaya membaca dan budaya ilmu dalam kalangan mahasiswa.

Kini, aspirasinya lebih luas — untuk menyemarakkan budaya ilmu dalam masyarakat Singapura dan mewujudkan ruang untuk berbincang serta mencari penyelesaian bersama.

“Perbahasan adalah tentang fahaman diri manusia, faham akal, faham adab, ada faham tentang ulama,” menurut pengasasnya Muhammad Zidny Ilman Edwan Nizar yang merupakan mahasiswa kewangan tahun akhir di Universiti Nasional Singapura (NUS).

Tambah Encik Muhammad Zidny: “Asalnya kami ingin hidupkan budaya ilmu dan budaya membaca di universiti. Tetapi sekarang kami berharap yang kita boleh hidupkan budaya ilmu di Singapura.”

Sesi perbincangan diadakan sebulan sekali untuk membincangkan tentang pandangan dunia, akidah serta kepercayaan Islam seperti yang terdapat dalam tulisan Profesor al-Attas.

Perbincangan fizikal kumpulan itu berjaya menarik hampir 40 belia yang berusia antara 18 dengan 35 tahun pada setiap sesi dan sehingga 80 belia dalam sesi online yang dijalankan melalui Zoom.

BIMBINGAN ASATIZAH KETIKA PENGGUNAAN AI MELUAS

Untuk memastikan bahawa para belia mendapat panduan yang betul, The Ma’na Initiative mendapat bimbingan para asatizah bagi program-program yang dijalankan, terutama sekali bila ada isu-isu berkaitan agama yang para belia kurang pasti.

“Warisan cendekiawan Islam sangat penting. Kadang-kadang kalau kita baca buku sendiri kita tak faham. Antaranya buku-buku Profesor Al-Attas yang adakalanya menggunakan istilah yang memang susah untuk difahami,” ujar Encik Muhamad Zidny yang merupakan lulusan madrasah dan bekas pelajar Madrasah Aljunied Al-Islamiah.

Ustazah Dr Siti Nur ‘Alaniah Abdul Wahid, yang merupakan Perunding Pendidikan Islam di ANISE Consultancy & Services memainkan peranan sebagai penasihat dan pembimbing bagi program membaca The Ma’na Initiative.

“Membimbing mereka dalam membaca buku, khususnya buku karya Almarhum Profesor Syed Muhammad Naquib al-Attas, itu adalah satu ruang yang bagi saya juga untuk saya sampaikan apa ilmu yang saya dapati daripada guru-guru, khususnya dalam konteks Singapura,” ujar Ustazah Dr Siti Nur ‘Alaniah yang juga merupakan Naib Presiden PERGAS.

Ini penting di zaman teknologi di mana jawapan kepada persoalan agama kini boleh diperoleh dalam beberapa saat melalui platform-platform online seperti Google, TikTok, ChatGPT dan aplikasi kecerdasan buatan (AI) lain.

Menurut Encik Muhammad Zidny, para belia berasa lebih selamat mendapat bimbingan para asatizah, terutama sekali mereka yang mempunyai pensijilan Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS).

Beliau agak berhati-hati dalam menggunakan aplikasi sepert AI. Jawapan yang diberikan tidak boleh diambil bulat-bulat kerana beliau meragui sumber informasinya.

“Kalau ada akses kepada asatizah mungkin boleh menyemak semula informasi yang didapatkan,” tambah Encik Muhammad Zidny.

RUANG PERBAIKI CARA JANGKAUI BELIA

Usaha The Ma’na Initiative dijalankan ketika cara belia mendapatkan pengetahuan agama berubah.

Hal tersebut juga selari dengan dapatan yang dijalankan oleh Kajian Pusat Penyelidikan Hal Ehwal Islam dan Melayu (RIMA) tentang sejauh mana kandungan Islam tempatan online kekal relevan bagi golongan belia dalam landskap digital global

Kajian RIMA terhadap 166 belia Islam Singapura berusia dari 15 hingga 35 tahun mendapati kandungan Islam online sudah menjadi sebahagian daripada landskap pembelajaran mereka.

Kajian itu dijalankan antara Oktober 2024 dengan Mac 2025.

Dapatan RIMA menunjukkan masih ada ruang untuk kandungan tempatan menjadi lebih relevan.

Hanya 41.2 peratus responden berpendapat kandungan Islam tempatan sudah cukup menyentuh isu semasa, manakala 46.7 peratus berpandangan sebaliknya.

Antara isu yang diketengahkan adalah konflik Israel-Palestin, kesihatan mental dan identiti gender.

Di sinilah usaha seperti Ma’na menawarkan satu pendekatan berbeza — membawa perbincangan daripada skrin kepada ruang pembelajaran bersama, sambil mendapatkan bimbingan asatizah dan cendekiawan.

“Tujuannya adalah untuk memberikan para belia kita keyakinan dalam agama, keyakinan bila kita menghadapi pengaruh yang luar daripada apa yang kita sudah terbiasa,” jelas Muhammad Zidny.

Dalam landskap digital di mana jawapan agama boleh diperoleh dengan satu sentuhan, persoalannya bukan lagi sekadar akses kepada ilmu — tetapi bagaimana memastikan ilmu itu relevan, bermanfaat dan dipercayai.
Sumber : BERITA Mediacorp/MU/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita