Skip to main content

Singapura

Mampukah teknologi atasi isu kekurangan pekerja pembersihan di SG?

Apabila Encik Tommy Ng menawarkan jawatan kosong bagi pembersih kedai kopi, ia boleh mengambil masa berminggu-minggu sebelum beliau menerima sebarang maklum balas. 
Anggaran Waktu Membaca:
Mampukah teknologi atasi isu kekurangan pekerja pembersihan di SG?
Para pelajar NTU duduk di meja yang boleh dibersihkan sendiri di pusat makanan universiti itu pada 5 Disember 2025. (Gambar: CNA/Tan Wen Lin)
Diterbitkan : 12 Jan 2026 03:34PM Dikemas Kini : 12 Jan 2026 03:57PM
  • Pengusaha kedai kopi di Singapura menghadapi kesukaran mendapatkan dan mengekalkan pekerja pembersihan kerana kerja yang mencabar dan kuota pekerja asing.
  • Usaha automasi seperti meja pembersih sendiri dan robot telah diuji, namun masih terdapat kekangan praktikal seperti kos, keandalan dan penerimaan pelanggan.
  • Pakar menyatakan teknologi robotik belum mampu meniru kecekapan manusia dalam persekitaran pusat makanan yang dinamik dan kompleks.
  • Walaupun automasi boleh membantu tugas rutin, tenaga manusia tetap penting dan pengendali belum menemui penyelesaian mudah untuk masalah kekurangan pekerja.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Apabila Encik Tommy Ng menawarkan jawatan kosong bagi pekerja pembersihan kedai kopi, ia boleh mengambil masa berminggu-minggu sebelum beliau menerima sebarang maklum balas. Apabila beliau berjaya mengambil seseorang untuk bekerja, mereka pula lazimnya tidak tahan lama.

“Kadar keluar masuk pekerja sangat tinggi kerana kerjanya agak mencabar. Setiap beberapa bulan, pasti ada pertukaran,” kata pengurus pembangunan perniagaan bagi Mr Teh Tarik Eating House.

Lima kedai kopi yang dikendalikan syarikat itu masing-masing memerlukan sekurang-kurangnya dua pekerja pembersihan bagi setiap syif.

Kesukaran untuk mengambil dan mengekalkan pekerja pembersihan merupakan keluhan yang biasa didengar dalam kalangan pengusaha kedai kopi, yang berkata sifat pekerjaan yang memenatkan dari segi fizikal dan dianggap “tidak mewah” menjadikannya semakin sukar untuk menarik dan mengekalkan tenaga kerja.

“Halangan untuk masuk bekerja tidak banyak, jadi (pekerja) beranggapan bahawa jika mereka tidak bekerja di sini hari ini, mereka boleh bekerja di tempat lain, dan mereka tidak begitu menghargai pekerjaan ini,” kata pengarah Kopiwu, Encik Wu Yi Feng, yang mengendalikan kedai-kedai kopi di Ang Mo Kio, Clementi dan Yishun.

Walaupun peraturan yang mewajibkan pelanggan memulangkan dulang beberapa tahun lalu sedikit sebanyak meringankan beban kerja, kakitangan masih diperlukan untuk mengendalikan tempat pulangkan dulang, mengelap meja dan memastikan kawasan makan sentiasa bersih.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) rangkaian kedai kopi Kim San Leng, Encik Andy Hoon, merujuk kepada kuota tenaga kerja asing Singapura sebagai satu lagi faktor yang menghadkan jumlah pekerja yang tersedia.

Pengendali juga berkata mereka lebih cenderung menggajikan pekerja pembersihan secara langsung berbanding melalui syarikat pembersihan bagi mengelakkan kos operasi yang lebih tinggi.

BOLEHKAH TEKNOLOGI ISI KEKOSONGAN?

Dengan kekurangan tenaga kerja manusia, sebahagian pengendali beralih kepada sistem automasi.

Eksperimen itu sudah dijalankan hampir sedekad - daripada robot pemulangan dulang yang diperkenalkan pada 2016 kepada lengan robot pembersih meja yang masih dalam fasa pembangunan.

Percubaan terbaharu, mungkin yang paling luar biasa, melibatkan sebuah meja yang dibersihkan dengan sendirinya.

Di Pusat Makanan Pioneer Universiti Teknologi Nanyang (NTU), pengendali Food Haven memasang sebuah prototaip yang menggantikan alas meja dengan menekan dua butang.

Meja dengan empat tempat duduk itu menggunakan alas pakai buang yang direntangkan di permukaannya. Apabila diaktifkan, satu mekanisme akan menarik helaian yang kotor - bersama sisa makanan dan tumpahan air - ke dalam ruang di hujung meja, sambil mengeluarkan alas baharu dari gulungan yang terletak di satu lagi hujung meja.

Proses itu mengambil masa kira-kira 30 saat.

Setiap gulungan mengandungi 30 helaian - cukup untuk penggunaan selama tiga hingga empat hari sebelum pekerja pembersihan perlu menggantikannya. Sebuah tablet yang disambungkan kepada meja itu menjejak jumlah helaian yang masih berbaki.

Pengarah Food Haven, Encik Shane Tay, berkata pasukannya membangunkan konsep tersebut sebagai maklum balas terhadap kesukaran untuk mendapatkan kakitangan.

Pusat makanan itu, yang mempunyai sekitar 300 tempat duduk, kini memerlukan tiga hingga empat pekerja pembersihan pada waktu sibuk.

Beliau berharap teknologi itu akhirnya dapat mengurangkan jumlah tersebut kepada separuh dan meringankan beban kerja pekerja pembersihan.

“Cabarannya sentiasa ada untuk mengekalkan tahap kebersihan yang baik di kawasan makan yang besar seperti pusat makanan ini akibat isu tenaga kerja,” kata Encik Tay. “Sukar untuk mengambil pekerja dan sukar juga untuk mengekalkan mereka.”

“Kami sedang cuba mengurangkan kebergantungan kepada tenaga manusia (melalui sistem automasi proses pembersihan). Jadi setiap pelanggan selepas … (mereka) selesai makan, mereka memulangkan dulang. Kumpulan pelanggan seterusnya boleh terus duduk hanya dengan menekan butang.”

Setiap meja kini menelan belanja antara S$500 hingga S$800 untuk dihasilkan, namun Encik Tay berkata pengeluaran secara besar-besaran boleh menurunkan harga tersebut.

Jika percubaan tersebut berjaya, Food Haven mungkin menimbangkan penggunaan bateri dan bahan yang lebih mampan.
Related article image
Pengarah Food Haven, Shane Tay, di meja yang boleh dibersihkan dengan sendirinya. (Gambar: CNA/Tan Wen Lin)
KEKANGAN PRAKTIKAL

Apabila Mediacorp menguji meja tersebut, sisa makanan yang lebih besar sering tersangkut pada celah menuju ke ruang pengumpulan.

Sebahagian cecair juga tertumpah ke dalam, dan perlu dibersihkan secara manual selepas itu.

Bahagian hujung meja yang besar juga mengurangkan kapasiti tempat duduk, dan beberapa pengunjung pada awalnya menyangka ia sistem bagi 'hotpot' atau barbeku.

Kebanyakan pelanggan tidak menyedari fungsi pembersihan meja tersebut.

Penuntut NTU berkata meja yang kotor sering kelihatan pada waktu makan tengah hari yang sibuk, dengan sisa makanan, pemeluwapan (condensation) minuman dan kadangkala najis burung dapat dilihat di premis terbuka itu.

Ada yang berkata mereka membawa tisu basah untuk membersihkan meja sendiri sebelum makan.

Mahasiswa Chua Jia Xing berkata reka bentuk itu boleh meningkatkan kebersihan tanpa memerlukan campur tangan pekerja pembersihan, namun beliau menyuarakan kebimbangan berhubung penghasilan sisa dan risiko tersandung akibat kabel kuasa di situ.

Pekerja pembersihan Food Haven, Cik Vasantha, berkata meja tersebut mudah dikendalikan dan memerlukan kurang kerja pembersihan berbanding meja-meja biasa, dan membantu dalam meringankan beban kerjanya.

Pengendali lain menyatakan minat, namun membangkitkan persoalan tentang keandalan dan kosnya.

“Teknologi seperti ini, ada kalanya akan rosak. Jadi berapa lama tempoh ia tidak dapat digunakan? Adakah ia menjejas keperluan operasi?” tanya Encik Ng dari Mr Teh Tarik Eating House.

“Akhirnya, jika … teknologi seperti ini rosak, kami tetap memerlukan seseorang untuk datang membersihkan meja itu.”

Encik Hoon dari Kim San Leng mendapati konsep tersebut berpotensi digunakan, namun menyoal sama ada gulungan yang sudah digunakan akan mengeluarkan bau selepas beberapa jam.

Encik Wu dari Kopiwu pula mempersoalkan kesan terhadap alam sekitar dan menyatakan bahawa kedai kopinya menggunakan meja berbentuk segi empat dan bulat, menjadikan reka bentuk tetap lebih sukar untuk dilaksanakan.

USAHA AUTOMASI LAIN

Meja Food Haven bukanlah percubaan pertama untuk mengautomasikan kerja pembersihan di pusat makanan Singapura.

Pelbagai huraian teknologi lain sudah diuji selama bertahun-tahun, namun kurang menunjukkan kejayaan.

Robot pemulangan dulang diperkenalkan di kedai-kedai kopi dan pusat penjaja seawal 2016, bagi membantu pelanggan memulangkan pinggan mangkuk terpakai sebelum peraturan pemulangan dulang diwajibkan.

Namun, pelanggan dan pekerja pembersihan mengadu bahawa robot tersebut sering menghalang laluan dan masih memerlukan pembersihan.

Apabila peraturan wajib memulangkan dulang diperkenalkan, tempat pemulangan tetap menjadikan robot-robot tersebut tidak relevan.

Pusat-pusat makanan juga pernah menguji robot pembersih meja, termasuk lengan robot yang dilengkapi kain dan tong yang boleh bergerak ke meja kotor untuk mengelap permukaan.

Menurut kenyataan media pada 2022 oleh Weston Robot, iaitu syarikat di sebalik teknologi tersebut, mesin itu mampu mengesan objek di atas meja sebelum membersihkan permukaan.

Apabila diminta perkembangan terkini, pengasasnya, Zhang Yanliang, berkata syarikat itu sudah mengenal pasti beberapa aspek untuk diperbaiki dan memberi bayangan bahawa robot tersebut akan menjalani penyelidikan dan pengembangan lanjut.
Related article image
Lengan robot yang dibangunkan oleh Weston Robot untuk membersihkan meja diuji di sebuah lokasi yang kelihatan seperti sebuah pusat penjaja. (Gambar: YouTube/Weston Robot)
TEKNOLOGI BELUM MAMPU GANTIKAN MANUSIA: PAKAR

Pakar berkata teknologi robotik sedia ada masih belum mampu meniru cara manusia membersihkan pusat-pusat makanan, kerana sifat persekitaran yang dinamik, di mana fleksibiliti dan pertimbangan diperlukan.

Profesor Madya Harold Soh dari Jabatan Sains Komputer Universiti Nasional Singapura (NUS) menyifatkan persekitaran pusat makanan sebagai “cabaran besar” bagi robot, yang perlu berdepan dengan pelbagai jenis pelanggan, objek dan kejadian yang tidak dijangka.

“Pembersihan yang berkesan dalam ruang sebegini memerlukan kedua-dua kecerdasan fizikal (tangan yang cekap, keseimbangan) dan kecerdasan sosial (mengetahui bila untuk bergerak, bila untuk berhenti, dan bagaimana untuk tidak mengganggu atau mencederakan pelanggan),” kata beliau. “Robot pada hari ini masih bergelut dengan kedua-duanya.”

Walaupun robot mampu berlari, melompat atau melakukan 'backflip' dalam persekitaran terkawal, ia sering gagal dalam melaksanakan tugasan harian seperti mengutip objek yang tidak sekata, mengendalikan sisa makanan yang lembut atau licin, atau menyusun barangan dengan berkesan, tambah beliau.

“Pengendalian yang cekap masih merupakan antara cabaran paling sukar dalam bidang robotik.”

Robot juga perlu merancang tindakannya sambil meramal kesannya terhadap persekitaran – gabungan persepsi, ramalan dan komunikasi yang kekal sebagai “masalah yang belum diselesaikan di luar persekitaran terkawal”, tambah Profesor Madya Soh.

Profesor Madya Lyu Chen dari Sekolah Kejuruteraan Mekanikal dan Aeroangkasa NTU turut bersetuju bahawa robot masih bergelut dalam “persekitaran awam yang kompleks dan cepat berubah” yang memerlukan pengendalian halus dan pertimbangan.

Kebanyakan sistem robotik komersial masih banyak bergantung kepada rutin yang diprogramkan terlebih dahulu, kata beliau.

Walaupun navigasi dan tanggapan sudah bertambah baik, pembersihan meja tetap sukar kerana tindakan yang kelihatan mudah sebenarnya melibatkan pertimbangan yang kompleks, seperti menentukan meja yang sedang kosong, membezakan antara sisa makanan dan barangan berharga, serta mengenal pasti jenis tumpahan yang berbeza.

“Di ruang awam, interaksi manusia-robot tidak dapat dielakkan. Sistem itu perlu bertindak dengan selamat, lancar dan cekap di sekitar orang ramai, jika tidak, ia tidak akan boleh digunakan secara meluas,” kata beliau.

Beliau menambah bahawa automasi boleh mengendalikan tugas rutin seperti mengumpul pinggan mangkuk atau pengangkutan di bahagian belakang operasi, membolehkan pekerja pembersihan menumpukan perhatian kepada bidang-bidang yang memerlukan pertimbangan seperti tumpahan dan tandas.

Namun, pengawasan manusia masih diperlukan, termasuk bagi sistem yang sebahagiannya automatik.
Related article image
Robot pemulangan dulang yang dahulunya bergerak kini menjadi tempat pemulangan dulang tetap di sebuah kedai kopi dan pusat makanan. (Gambar: CNA/Koh Wan Ting)
TIADA HURAIAN MUDAH

Pengendali berkata mereka masih belum menemui teknologi yang sesuai untuk digunakan di premis masing-masing, dan walaupun dengan automasi, tenaga manusia kekal penting.

Namun, mereka juga tidak melihat jalan mudah untuk mengatasi kekurangan tenaga kerja.

Encik Wu merujuk kepada penduduk Singapura yang semakin menua, manakala Encik Ng menyatakan bahawa kebanyakan pekerja pembersihan terdiri daripada golongan pesara, kumpulan yang terhad dan semakin kurang mampu menampung kerja yang berat dari segi fizikal.

Dr Ng Boon Yuen, pensyarah kanan di Sekolah Perniagaan Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS), berkata huraian teknologi lebih berpotensi berjaya apabila pengguna yang disasarkan dilibatkan dalam reka bentuk, pemilihan dan pelaksanaannya.

Jika kadar penerimaan di pusat makanan rendah, kata beliau, wajar untuk dipertimbangkan semula sama ada teknologi itu direka berdasarkan keperluan sebenar pengguna.

Profesor Madya Soh berkata penyelidik sedang berusaha untuk menggabungkan kecerdasan buatan (AI) dengan robot yang boleh berinteraksi dengan dunia sebenar - satu bidang yang dikenali sebagai 'embodied AI'.

Antara tumpuan utamanya ialah melengkapkan robot dengan pelbagai penderia bagi pemahaman persekitaran yang lebih menyeluruh, serta meningkatkan keupayaan pertimbangan dan perancangannya.

“Sains ini sedang berkembang, tetapi untuk membawa robot keluar dari makmal dan ke kedai kopi harian masih merupakan satu cabaran,” kata beliau.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita