Skip to main content

Singapura

Mampukah Singapura tangani gelombang Omicron?

Sedang gelombang jangkitan COVID-19 varian Delta mula reda pada lewat tahun lalu, muncul pula varian Omicron yang mencetuskan lonjakan kes di seluruh dunia.

Anggaran Waktu Membaca:
Mampukah Singapura tangani gelombang Omicron?

Orang ramai di sebuah tempat awam di Singapura pada 7 Julai 2021. (Gambar fail: Marcus Mark Ramos)

Diterbitkan : 07 Jan 2022 10:17PM Dikemas Kini : 07 Jan 2022 10:53PM

SINGAPURA: Sedang gelombang jangkitan COVID-19 varian Delta mula reda pada lewat tahun lalu, muncul pula varian Omicron yang mencetuskan lonjakan kes di seluruh dunia.

Di Singapura, Menteri Kesihatan Ong Ye Kung berkata pada Rabu (5 Jan) bahawa varian Omicron membentuk hampir 20 peratus kes tempatan yang dilaporkan. Di peringkat global pula, varian Omicron semakin menjadi varian dominan kerana cirinya yang lebih mudah berjangkit.

Pada kemuncaknya, jumlah kes Omicron mungkin "beberapa kali ganda" lebih tinggi berbanding purata 3,000 kes harian varian Delta yang dicatatkan pada Oktober dan November tahun lalu, kata Encik Ong.

Pengarah khidmat perubatan di Kementerian Kesihatan (MOH) Kenneth Mak berkata jangkitan COVID-19 di Singapura boleh mencecah 15,000 kes sehari dalam "senario terburuk".

BACA: Kes COVID-19 di S'pura mungkin capai hingga 15,000 kes sehari disebabkan gelombang Omicron

Justeru adakah Singapura akan menyaksikan sistem jagaan kesihatannya tertekan sekali lagi dan mungkinkah langkah-langkah sekatan diperkenalkan di tengah-tengah gelombang jangkitan COVID-19 yang baru?

Pengarah eksekutif Pusat Nasional bagi Penyakit Berjangkit Singapura (NCID), Profesor Leo Yee Sin berkata gelombang epidemik mungkin tampil berbeza di daerah geografi yang berbeza atau di negara yang sama, seperti antara kawasan bandar dan luar bandar.

BACA: Singapura mesti bersiap sedia hadapi gelombang jangkitan COVID-19 'lebih besar' daripada Omicron berbanding varian Delta: Ong Ye Kung

Bagaimana gelombang Omicron sekarang menjejas Eropah dan Amerika Utara mungkin berbeza dengan bagaimana ia akan menjejas Singapura, katanya.

Beliau menggariskan beberapa perbezaan utama: "Pertama sekali, di Singapura terdapat amalan pemakaian pelitup pembedahan yang terbukti berkesan dan langkah-langkah pengurusan selamat yang masih berkuat kuasa.

"Kedua, kami mempunyai tahap perlindungan vaksin yang tinggi dan secara aktif menjalankan program dos penggalak untuk mempertingkatkan tahap imun penduduk."

Namun, penduduk di Singapura mempunyai kurang perlindungan semula jadi terhadap penyakit COVID-19 sebelum ini.

Faktor keempat adalah musim salji di Eropah dan Amerika Utara yang mungkin mendorong orang ramai supaya duduk di rumah, justeru meningkatkan berlakunya pergaulan rapat antara individu.

"Akhir sekali, kita mempunyai tahap kepatuhan yang tinggi terhadap langkah-langkah pengurusan selamat di Singapura," kata Profesor Leo.

"Meskipun kami menjangkakan gelombang jangkitan yang besar disebabkan ciri Omicron yang mampu 'menangkis' imuniti sedia ada, mempunyai tempoh inkubasi lebih singkat dan lebih mudah berjangkit, tentu sekali kami berharap dapat mengurangkan kesannya dengan langkah-langkah sedia ada."

TEMPOH GELOMBANG OMICRON MUNGKIN LEBIH SINGKAT BERBANDING DELTA

Profesor Madya Natasha Howard dari Sekolah Kesihatan Awam Saw Swee Hock NUS berkata Singapura boleh menjangkakan tahap penularan yang lebih rendah berbanding dengan UK atau AS.

Ini kerana negara ini mempunyai "langkah pengurusan selamat yang berkesan dan rutin" sejak permulaan pandemik dan juga kerana tahap perlindungan vaksinasi "yang sangat tinggi".

"Namun kadar penularan semakin meningkat di sini sedang Omicron terus merebak dan kami boleh menjangkakan tempoh penularan yang tinggi jika mengikut piawai Singapura."

Beliau menambah data sejauh ini mencadangkan bahawa gelombang Omicron mungkin lebih singkat berbanding gelombang varian Delta, meskipun ini mungkin berubah setelah lebih banyak maklumat diperolehi tentang varian tersebut.

Apabila ditanya jika langkah-langkah pengurusan selamat sedia ada di Singapura sudah mencukupi, Profesor Madya Howard berkata beliau menjangkakan ia akan terus berkesan, dengan beberapa ciri "fleksibel" - seperti aturan bekerja dari rumah dan had saiz kumpulan untuk makan di luar dan mengadakan perhimpunan sosial.

PERLUKAH SAYA GUNA PELITUP N95?

Tiada seorang pun pakar yang ditemui Mediacorp menyarankan penggunaan pelitup N95 sebagai perlindungan daripada jangkitan COVID-19.

"Jika anda sudah memakai pelitup pembedahan pakai buang, pelitup N95 lebih berkesan dan turut selesa untuk dipakai serta mungkin tidak menimbulkan lebih kesan buruk terhadap alam sekitar.

"Namun jika anda memakai pelitup guna semula bermutu tinggi dengan keupayaan penapisan yang tinggi, anda barangkali boleh terus menggunakannya," kata Profesor Madya Howard.

Profesor Leo berkata meskipun Omicron mungkin menyebabkan jangkitan lebih ringan dalam kalangan mereka yang mempunyai daya tahan sedia ada, orang ramai masih perlu melakukan sedaya upaya untuk membendung penularan virus itu bagi mengurangkan sebarang gangguan terhadap kehidupan harian dan melindungi semua lapisan usia "bagi mengekalkan kesihatan".

"Seseorang individu yang dijangkiti boleh menyebarkan virus itu kepada orang lain dan kesan sampingan yang paling tidak diingini adalah jika mereka yang terkena jangkitan ialah golongan yang lemah dan mudah terjejas di rumah atau mereka yang rapat.

"Selain itu, mempunyai lebih banyak kes jangkitan akan membolehkan virus itu melakukan mutasi," katanya.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita