Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

'Mamayazz' tangkis stereotaip ibu jadi 'streamer'

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Bermula sebagai satu minat, Cik Rosfardiah Busroh, 32 tahun, kini sudah lebih setahun terbabit dengan dunia 'streamer' atau penstriman permainan video online.

Antara genre permainan yang digemarinya termasuk yang seram, RPG, menembak dan simulator.

Cik Rosfardiah sebenarnya mula minat bermain 'game' di komputer sejak zaman remajanya lagi.

Namun, streamer ini yang dikenali sebagai ‘Mamayazz’, diperkenalkan kepada dunia penstriman permainan video online oleh rakannya.

Meskipun ibu kepada seorang anak ini boleh dikatakan agak baru dalam bidang penstriman permainan video online, beliau sudah berjaya menarik lebih 700 pengikut di TikTok dan platform penstriman permainan, Twitch.

Dengan sokongan keluarga, terutama suaminya, suri rumah ini dapat bergiat dalam hobi yang digemarinya itu, sambil menghiburkan penonton online.

Dalam wawancara bersama wartawan Aqil Ezat, Cik Rosfardiah berkongsi lebih lanjut hobi yang mencabar dan menyeronokkan itu.
Aqil: Berapa kos untuk beli kelengkapan jadi streamer?

Cik Rosfardiah:
Untuk permainan yang intensif, dalam anggaran S$4,000 untuk beli monitor dan CPU. Saya tidak beli sekali gus. Secara perlahan, saya naik taraf sistem, supaya ia tidak ‘lag’ dan penstriman menjadi lebih stabil. Jika tidak, ia tidak akan berkesan. Setakat ini, saya sudah belanja kira-kira S$3,000.

Aqil: Dari mana anda dapat inspirasi untuk mulakan penstriman?

Cik Rosfardiah:
Saya dan suami menonton seorang Youtuber dari Belanda. Dia juga seorang streamer profesional, bernama ‘Insym’. Saya sangat suka cara dia bermain, sangat lucu, dan kandungannya penuh maklumat.

Aqil: Apakah genre permainan yang anda ceburi?

Cik Rosfardiah:
Saya main banyak genre, seperti permainan ‘simulator’, tembak-tembak, seram dan RPG (role playing game). Biasanya, satu bulan saya akan beli satu dua permainan. Kalau ada potongan harga atau diskaun besar-besaran, lima atau enam permainan.
 
Aqil: Apakah cabaran terbesar anda?

Cik Rosfardiah: Cabaran terbesar saya adalah untuk kekal komited membuat penstriman setiap hari. Tetapi interaksi dari penonton memberi saya motivasi untuk meneruskan penstriman.

Aqil: Apakah impian anda?

Cik Rosfardiah: Impian saya adalah untuk menyediakan ruang yang selamat untuk semua penonton saya, menghiburkan mereka dan membuat mereka suka menonton penstriman saya. Saya juga ingin berkongsi hobi saya dengan orang ramai tidak kira usia.
Aqil: Anda mempunyai lebih 700 pengikut, pernah tak rasa hampa tidak lebih banyak pengikut?

Cik Rosfardiah: Perasaan sedih itu memang ada. Tetapi saya tidak berputus asa, kerana ‘gaming’ adalah kegemaran saya. Jadi dari situ saya cuba tumpukan kepada setiap permainan, jangan bimbang tentang jumlah pengikut atau penonton. Asalkan saya gembira ketika bermain, semuanya ‘okay’.

Aqil: Pernahkah anda dikecam?

Cik Rosfardiah:
Alhamdulillah pengikut saya yang selalu tonton penstriman saya sudah seperti kawan. Tetapi ada juga segelintir komen yang kurang baik, saya tidak menghiraukannya. Sekarang, ia lebih inklusif, kerana ramai wanita bermain 'game'. Lelaki, perempuan, pasangan, warga emas juga berkecimpung dalam penstriman online.

Aqil: Bagaimana anda tangani stereotaip?

Cik Rosfardiah:
Selagi seorang wanita itu mempunyai sokongan yang baik daripada keluarga, menjaga adab, akhlak dan moral yang baik, menghormati penonton, ia bukan penghalang bagi seorang wanita atau ibu untuk menjadi streamer.
Sumber : BERITA Mediacorp/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan