Skip to main content

Singapura

Mamanda buka restoran di The Chevrons, tawar makanan Melayu tradisional dan moden untuk semua

Anggaran Waktu Membaca:
Mamanda buka restoran di The Chevrons, tawar makanan Melayu tradisional dan moden untuk semua

(Gambar: MAMANDA)

New: You can now listen to articles.

This audio is generated by an AI tool.

Diterbitkan : 18 Oct 2024 10:07PM
SINGAPURA: Restoran Mamanda yang dahulunya terletak di Gedung Kuning di 73 Sultan Gate, terkenal dengan sajian tradisional Melayu yang dipadukan dengan sentuhan moden.

Setelah ditutup pada tahun 2019, Mamanda Food Solutions Pte Ltd meneruskan operasinya dengan membuka sebuah dapur pusat.

"Kami laksanakan pelan induk kami dengan membuka dapur pusat kami di No. 8 Woodlands Link untuk memberi sokongan kepada makanan halal di dalam sektor hotel, restoran dan katering.

"Secara kebetulan, lapan bulan kemudian, dunia dilanda COVID-19. Selepas dua tahun, ketika ekonomi global masih tidak menentu, kami melakukan kajian kebolehlaksanaan pasaran dan mendapati permintaan untuk restoran Mamanda dibuka semula semakin meningkat," kata Ketua Pegawai Eksekutif Mamanda, Masmunah Abdullah, kepada wartawan Nurfazirah Azman.

Bagi memenuhi permintaan itu, Cik Masmunah bertekad untuk membuka semula restoran Mamanda dengan konsep yang sedikit berbeza.

MAMANDA-THE DINING ROOM TAWAR MAKANAN TARDISIONAL MELAYU DAN MODEN

Dinamakan MAMANDA - The Dining Room, restoran baharu itu menawarkan makanan tradisional Melayu dan moden yang disesuaikan mengikut citarasa tiga generasi.

Antara juadah 'premium' yang ditawarkan termasuk udang galah Boston dan ikan merah.

Restoran itu juga akan melancarkan menu baharu untuk tempahan korporat dan majlis perkahwinan.

"Restoran ini bukan sahaja menyediakan pilihan untuk 'dine in', tetapi juga boleh dijadikan lokasi untuk mengadakan acara. Dari segi pengurusan risiko dapur, kami komited untuk memenuhi tanggungjawab terhadap pelanggan dan tempahan mereka," kata Cik Masmunah.

Selain itu, mereka sedang memperkukuh kerjasama dengan Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB) untuk meningkatkan mutu makanan dan menawarkan hidangan yang lebih sihat kepada pelanggan.

"Dapur pusat kami di Woodlands Link dan menu katering Mamanda dikategorikan sebagai pilihan lebih sihat oleh HPB. Kami akan terus bekerjasama dengan HPB untuk menyusun hidangan di restoran Mamanda," tambah Cik Masmunah.

Menurutnya, menu pilihan sihat merupakan salah satu trend terkini yang semakin diminati oleh pelanggan mereka.

Hal ini disebabkan oleh peningkatan bilangan pasangan pengantin dan korporat yang ingin menyajikan makanan yang lebih sihat untuk tetamu mereka yang beraneka latar belakang.

Terletak di lokasi baharu di kawasan Boon Lay, The Chevrons juga akan menyediakan tiga dewan untuk acara korporat dan majlis perkahwinan.

LANTIK PEGAWAI EKSEKUTIF BAHARU

Mamanda juga memperkenalkan Pegawai Eksekutif baharu, Cik Zafirah Zulkarnine, yang berusia 23 tahun.

"Cik Zafirah telah bekerja dengan kami selama lapan tahun, bermula sebagai pelayan seb elum menjadi Pengurus Pembangunan Perniagaan.

"Beliau memiliki pengalaman dalam operasi, pemasaran, dan import-export. Sumbangannya telah meningkatkan produktiviti, teknologi, dan perkhidmatan, dengan idea-idea inovatif yang sesuai untuk generasi muda," kata Cik Masmunah.

Apabila ditanya tentang bagaimana Cik Zafirah akan mengetuai pasukannya untuk memastikan semuanya berjalan lancar, beliau menekankan pentingnya komunikasi yang terbuka.

"Kita fokus kepada komunikasi, latihan dan teknologi. Kita mengutamakan komunikasi terbuka dalam pasukan dan mengadakan mesyuarat secara berkala. Latihan komprehensif untuk kakitangan baru dan sedia ada juga penting.

"Selain itu, kita memanfaatkan teknologi untuk memudahkan proses, seperti menggunakan platform-platform seperti 'Discord', 'Google meet', 'WhatsApp' untuk berkomunikasi yang berlebih berkesan," kata Cik Zafirah.

Beliau berharap dapat meningkatkan taraf dan membina reputasi Mamanda sebagai restoran yang menawarkan makanan dan perkhidmatan terbaik.

Dalam majlis pelancaran pada Jumaat (18 Okt), Mamanda juga akan menyumbangkan sekeping cek kepada Lembaga Biasiswa Kenangan Maulud (LBKM) dan Masjid Ar Raudhah sebagai sebahagian daripada usaha Mamanda untuk menyumbang kembali kepada masyarakat.
Sumber : BERITA Mediacorp/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita