Skip to main content

Singapura

MalaysiaNow diberi arahan POFMA atas dakwaan palsu libatkan layanan terhadap penghantar dadah

Portal berita online MalaysiaNow dikenakan arahan pembetulan di bawah Akta Perlindungan daripada Kepalsuan dan Manipulasi Online (POFMA) oleh pemerintah Singapura pada Sabtu (15 Nov).
Anggaran Waktu Membaca:
MalaysiaNow diberi arahan POFMA atas dakwaan palsu libatkan layanan terhadap penghantar dadah
Pintu masuk Penjara Changi. (Gambar fail: Perkhidmatan Penjara Singapura)
Diterbitkan : 15 Nov 2025 02:31PM Dikemas Kini : 15 Nov 2025 02:33PM
SINGAPURA: Portal berita online MalaysiaNow dikenakan arahan pembetulan di bawah Akta Perlindungan daripada Kepalsuan dan Manipulasi Online (POFMA) oleh pemerintah Singapura pada Sabtu (15 Nov).

Arahan pembetulan itu berkaitan dengan satu rencana yang diterbitkan oleh MalaysiaNow pada 9 November yang mengandungi kenyataan palsu mengenai layanan terhadap penghantar dadah yang disabitkan kesalahan, Pannir Selvam Pranthaman, menurut Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) dalam satu kenyataan media.

“Pemerintah memandang serius penyebaran kepalsuan yang disengajakan,” menurut kementerian itu, sambil menambah bahawa MalaysiaNow perlu menyiarkan notis pembetulan bersama rencana tersebut di lamannya serta catatan-catatan di Facebook, X dan LinkedIn.

MHA menyatakan artikel MalaysiaNow itu mengandungi beberapa kenyataan palsu, termasuk dakwaan bahawa pelaksanaan hukuman mati ke atas Pannir dilakukan tanpa mematuhi prinsip undang-undang, dan bahawa keputusan pemerintah untuk tidak mengeluarkan sijil bantuan substantif kepada Pannir adalah tidak sah.

Rencana itu turut mendakwa bahawa Biro Narkotik Pusat (CNB) secara rahsia memudah cara satu temu bual antara Pannir dan polis Malaysia, di mana seorang pegawai CNB mengenakan seragam Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan menyembunyikan identitinya sebagai pegawai CNB.

Rencana berkenaan juga menyatakan kepalsuan bahawa pegawai Perkhidmatan Penjara Singapura (SPS) cuba mengelirukan keluarga Pannir supaya menandatangani borang yang menyatakan semua barang milik Pannir sudah diserahkan kepada mereka.

GARIS MASA KES TERSEBUT

MHA menegaskan pelaksanaan hukuman mati hanya akan dijadualkan apabila seorang pesalah yang menunggu hukuman gantung sudah melalui semua proses undang-undang berkaitan sabitan dan hukumannya, dan selepas isu berhubung pengampunannya diputuskan.

Ini terpakai bagi semua pesalah sedemikian, termasuk Pannir, tambahnya.

Kementerian itu turut mengemukakan fakta-fakta kes tersebut:
 
  • Pada 3 September 2014, Pannir diberkas di Pusat Pemeriksaan Woodlands, di mana satu paket bahan berbutir/serbuk ditemui di bahagian belakang tempat duduk motosikalnya, dan tiga paket bahan serupa ditemui disembunyikan di bahagian kelengkangnya.
  • Pada 2 Mei 2017, Mahkamah Tinggi mensabitkan dan menjatuhkan hukuman mati ke atasnya atas kesalahan mengimport tidak kurang daripada 51.84g diamorfin, atau heroin tulen, ke dalam Singapura, jumlah yang mencukupi untuk menampung ketagihan kira-kira 620 penagih selama seminggu.
  • Pada 9 Februari 2018, Mahkamah Rayuan menolak rayuannya terhadap sabitan dan hukuman tersebut. MHA memaklumkan bahawa dia diberi pelung untuk menjalani proses undang-undang dengan sepenuhnya dan diwakili peguam sepanjang perbicaraan dan rayuan.
  • Selepas rayuannya ditolak, Pannir terlibat dalam 11 permohonan pasca rayuan antara 2019 dan 2025, tujuh daripadanya adalah permohonan bersama pesalah lain yang menunggu hukuman mati. MHA menyatakan semua permohonan itu sudah selesai sebelum pelaksanaan hukuman matinya, dengan permohonan terakhir ditolak pada 7 Oktober 2025.
  • Enam petisyen pengampunan dikemukakan kepada Presiden bagi pihaknya, namun semuanya ditolak.
  • Pannir dijadualkan untuk dihukum mati buat pertama kali pada 24 Mei 2019. Pelaksanaan itu ditangguhkan menyusuli permohonan saat akhir untuk mencabar penolakan petisyen pengampunannya. Usaha itu ditolak oleh Mahkamah Rayuan pada 26 November 2021.
  • Pannir dijadualkan dihukum mati buat kali kedua pada 20 Februari 2025. Dia sekali lagi diberi penangguhan untuk mengemukakan satu lagi permohonan terhadap hukuman matinya. Permohonan itu kemudian ditolak oleh Mahkamah Rayuan pada 5 September 2025.

“Ia, justeru, adalah tidak benar dan mengelirukan untuk mencadangkan bahawa pelaksanaan hukuman mati ke atas Pannir pada 8 Oktober 2025 dilakukan tanpa mematuhi prinsip undang-undang,” menurut MHA.

“Pannir telah diberikan proses undang-undang sepenuhnya, dan dijadualkan untuk pelaksanaan hukuman mati selepas beliau melalui semua proses undang-undang (termasuk proses pengampunan) berkaitan sabitan dan hukumannya.”

PANNIR TIDAK MEMBERI BANTUAN SUBSTANTIF KEPADA CNB: MHA

Di bawah undang-undang, seseorang yang menghadapi pertuduhan yang membawa hukuman mati mandatori atas kesalahan mengedar atau mengimport dadah boleh dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup dan bukannya hukuman mati.

Ini hanya terpakai jika syarat-syarat berikut dipenuhi: Pelibatannya terhad sebagai penghantar seperti yang ditakrifkan dalam seksyen 33B(2)(a) Akta Penyalahgunaan Dadah 1973, dan Pendakwa Raya mengeluarkan sijil bantuan substantif untuk mengesahkan kepada mahkamah bahawa, menurut penilaiannya, individu tersebut sudah memberikan bantuan substantif kepada CNB dalam menumpaskan kegiatan pengedaran dadah di dalam atau luar Singapura.

Di bawah seksyen 33B(4) Akta Penyalahgunaan Dadah, MHA memaklumkan, penentuan sama ada seseorang dianggap sudah memberikan bantuan substantif kepada CNB adalah di bawah budi bicara penuh Pendakwa Raya.

Menurut MHA, Pannir tidak diberikan sijil bantuan substantif kerana Pendakwa Raya menentukan bahawa dia tidak memberikan bantuan substantif kepada CNB, sambil menambah bahawa cabaran undang-undang Pannir terhadap keputusan tersebut juga ditolak oleh Mahkamah Rayuan pada 26 November 2021.

“Bertentangan dengan dakwaan, Pannir tidak memberikan maklumat yang membawa kepada pemberkasan Zamri Tahir. CNB menahan Zamri Tahir berdasarkan maklumat yang sudah dimilikinya,” menurut kementerian itu.

Peguam Pannir sebelum ini berhujah bahawa Pannir memberikan maklumat kepada CNB yang membawa kepada pemberkasan Zamri, yang mereka gambarkan sebagai “contoh terbaik” bagi bantuan substantif.

DAKWAAN TERHADAP CNB, SPS

CNB memudahkan satu temu bual antara Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (NCID) Malaysia dan Pannir pada 27 September tahun ini, selaras dengan permintaan rasmi oleh NCID. MHA menyatakan bahawa CNB bekerjasama rapat dengan rakan sejawatan luar negaranya dan akan memudahkan permintaan sedemikian, jika boleh.

“Proses temu bual itu telus — SPS telah memaklumkan Pannir mengenai permintaan temu bual tersebut. Pannir tidak membantah untuk ditemu bual, dan tidak meminta kehadiran peguamnya. Pannir juga tidak dihalang daripada berunding dengan keluarganya atau peguamnya,” menurut MHA.

“Pegawai NCID menemu bual Pannir dengan kehadiran seorang pegawai CNB, yang tidak mengenakan seragam polis Malaysia atau menyamar sebagai pegawai polis Malaysia. Maka, ia bertentangan dengan dakwaan yang dibuat kerana peguam Pannir tidak ‘dikecualikan’, dan identiti pegawai tidak disembunyikan.”

MHA turut menyatakan bahawa sebelum pelaksanaan hukuman matinya, Pannir meminta untuk menyerahkan surat dan puisi tulisan tangannya kepada keluarganya.

SPS menyemak dokumen tersebut dan mendapati beberapa helaian mengandungi kandungan yang menjejaskan keselamatan atau ketenteraman penjara. Helaian tersebut kemudian ditahan SPS, seperti yang dibenarkan di bawah undang-undang.

Selepas pelaksanaan hukuman mati, MHA menyatakan bahawa pegawai SPS bertemu dengan keluarga Pannir untuk menyerahkan barangan miliknya dan meminta mereka menandatangani borang yang mengesahkan bahawa brangan yang disenaraikan sudah dikembalikan.

“Keluarga Pannir kemudian mendakwa bahawa beberapa helaian dokumen Pannir tidak diterima. Pegawai memaklumkan bahawa dokumen tersebut disaring mengikut garis panduan SPS dan helaian yang tidak memenuhi garis panduan ditahan. Akhirnya, keluarga Pannir mengambil barangan tersebut tanpa menandatangani borang itu,” menurut MHA.

“Pada bila-bila masa, SPS tidak cuba mengelirukan keluarga Pannir untuk menandatangani borang yang menyatakan bahawa semua barangan beliau telah dikembalikan.”

Maklumat lanjut boleh didapati di laman semakan fakta pemerintah, Factually.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita