Malaysia tunda penguatkuasaan VEP pada 'waktu sibuk'
Kementerian pengangkutan Malaysia pada Isnin (23 Sep) mengumumkan akan menangguhkan penguatkuasaan Permit Kemasukan Kenderaan (VEP) "semasa operasi waktu sibuk" sehingga pemberitahuan lanjut.
SINGAPURA: Kementerian pengangkutan Malaysia pada Isnin (23 Sep) mengumumkan akan menangguhkan penguatkuasaan Permit Kemasukan Kenderaan (VEP) "semasa operasi waktu sibuk" sehingga pemberitahuan lanjut.
Kementerian tersebut menyatakan keputusan itu dibuat kerana timbul "beberapa isu" termasuk kesukaran mendapatkan temu janji bagi pemasangan tag RFID.
Dalam satu kenyataan media, kementerian berkenaan menambah bahawa langkah ini menjejas "semua aliran keluar trafik" dari Bangunan Sultan Iskandar di Pusat Pemeriksaan Woodlands dan Kompleks Sultan Abu Bakar di Pusat Pemeriksaan Tuas.
Dalam kenyataannya pada April lalu, kementerian tersebut menyatakan "Hanya kenderaan yang sudah berdaftar bagi VEP dibenarkan masuk ke Malaysia apabila ia dikuatkuasakan."
Mediacorp telah meminta penjelasan dari kementerian tersebut tentang sama ada penguatkuasaan VEP akan dilaksanakan ke atas aliran masuk atau keluar kenderaan dan apa yang dimaksudkan sebagai "waktu sibuk".
Malaysia pada 2017 mengumumkan semua kenderaan berdaftar asing memerlukan VEP, yang dikatakannya bertujuan menangani kes-kes pencurian kereta dan sindiket pengklonan serta mencegah kenderaan dengan denda tertunggak daripada meninggalkan negara itu.
Kementerian Pengangkutan Malaysia pada April menyatakan VEP akan dikuatkuasakan mulai Oktober. Pengguna kenderaan dari Singapura bagaimanapun merungut tentang masa menunggu yang lama, kekurangan peruntukan jadual temu janji dan kurangnya bantuan dari pihak berkuasa untuk mendapatkan tag tersebut.
Bagi menangani isu-isu ini, kementerian itu mengumumkan akan membuka sebuah lagi Pusat Pemasangan RFID di Kompleks Sultan Abu Bakar sebagai tambahan kepada pusat-pusat sedia ada di RnR Hala Selatan Gelang Patah, tempat letak kereta terbuka Plaza Angsana, RnR Pandan dan Plaza Tol Lima Kedai.
Kementerian itu menyatakan ia berharap, dengan pembukaan sebuah lagi pusat pemasangan RFID itu dan penangguhan penguatkuasaan sewaktu operasi trafik waktu sibuk, kesemua pemilik kenderaan asing akan mengambil peluang ini untuk segera mendaftarkan kenderaan mereka dan memasang tag RFID.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.