Malaysia-SG setuju bentuk jawatankuasa kukuhkan penyelarasan, pacu JS-SEZ
SEZ Johor-SG menawarkan peluang strategik bagi Gold Peak untuk mengembangkan kehadirannya di Asia Tenggara. (Gambar fail: CNA/Hanidah Amin)
Keputusan itu dicapai semasa mesyuarat JMCIM ke-17 yang diadakan di Kuala Lumpur pada Selasa (25 Nov).
Mesyuarat tersebut dipengerusikan bersama Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan yang menjalankan tugas serta fungsi Menteri Ekonomi dan Menteri Pembangunan Negara Singapura Chee Hong Tat.
Hadir sama Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi; Menteri Negara Kanan Kemampanan dan Sekitaran merangkap Pertahanan Singapura Zaqy Mohamad; dan Menteri Negara Kanan Kebudayaan, Masyarakat dan Belia Low Yen Ling, yang juga Menteri Negara Kanan Perdagangan dan Perusahaan.
Menurut satu kenyataan bersama, JSCMC akan berfungsi sebagai platform kementerian yang dipertingkat untuk menyediakan hala tuju strategik, mengukuhkan penyelarasan dua hala dan menyelia pelaksanaan inisiatif keutamaan di bawah Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
“Berlandaskan momentum daripada Mesyuarat Khas JMCIM yang diadakan pada 7 November 2024 serta pemeteraian Perjanjian JS-SEZ pada 7 Januari 2025, kedua-dua pihak bersetuju untuk memperbaharui dan mengubah JMCIM kepada JSCMC.
“Perubahan ini mencerminkan skop kerjasama dua hala semakin kukuh dan luas, khususnya memastikan JS-SEZ adalah komprehensif dan kompetitif dalam menarik pelaburan global,” menurut kenyataan itu.
Kedua-dua negara juga bersetuju menubuhkan kumpulan kerja bagi membincangkan perkara-perkara berkaitan JS-SEZ, pengangkutan dan bidang kerjasama masa depan yang lain, yang akan melaporkannya kepada Jawatankuasa Bersama Menteri-Menteri (JMC).
Terma-terma rujukan yang dikemas kini akan diperhalusi dan dibentangkan semasa mesyuarat pertama JSCMC, yang dicadangkan pada separuh kedua 2026.
Sebagai mesyuarat penutup JMCIM, jawatankuasa tersebut menyemak pencapaiannya sejak ditubuhkan pada 2007, termasuk pelaksanaan lebih 45 inisiatif serta projek strategik melalui enam kumpulan kerja.
Semua inisiatif itu menyokong pertumbuhan ekonomi mampan, meningkatkan kesalinghubungan, mengukuhkan pembangunan modal insan serta meneguhkan hubungan antara rakyat Malaysia dan Singapura, tambah kenyataan tersebut.
Menurut kenyataan bersama itu, usaha kolektif tersebut menyumbang secara signifikan kepada pembangunan Iskandar Malaysia dan mengukuhkan lagi perkongsian ekonomi dua hala yang lebih luas.
Mesyuarat itu turut menerima kemas kini mengenai kemajuan Jawatankuasa Kerja Bersama (JWC) yang bertanggungjawab mengoperasikan JS-SEZ, termasuk proses merangka pelan tindakan dan pelan induk zon ekonomi itu.
Kedua-dua negara juga mengambil maklum mengenai kemajuan berterusan ke arah mengesahkan Perjanjian JS-SEZ, termasuk proses domestik yang diperlukan di setiap pihak.
“Kedua-dua pihak mengambil maklum bahawa perkembangan ini akan memudahkan pelaksanaan JS-SEZ, apabila perjanjian itu berkuat kuasa, sekali gus (akan) memperkukuh integrasi ekonomi dan memberikan manfaat nyata kepada perniagaan serta masyarakat di kedua-dua negara,” menurut kenyataan itu lagi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.