Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Malaysia paling mesra pelancong Muslimah, SG negara bukan OIC paling mesra pelancong Muslim

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Kaum Muslimah kini mempunyai satu lagi sumber rujukan untuk bantu mereka rancang dan pilih destinasi pelancongan.

Ini menerusi usaha terbaru CrescentRating melancarkan kategori Destinasi Pelancongan 'mesra Muslimah' dalam Indeks Pelancongan Muslim Global (GMTI) 2023.

Menurut syarikat tersebut, pelancong wanita Muslim adalah antara segmen pasaran yang paling pesat berkembang.

Dalam indeks itu, Malaysia mendahului senarai GMTI 2023 sebagai destinasi percutian paling mesra Muslimah.

Antara faktor yang dipertimbangkan termasuk keselamatan, kekangan agama dan kemampanan.

Inisiatif baru itu diumumkan di Sidang Puncak Antarabangsa 'Halal In Travel' 2023 hari ini (1 Jun).

Ketua Pegawai Eksekutif CrescentRating & HalalTrip berkata, "Kaum Muslimah dilihat turut mengembara khusus dalam kumpulan wanita Muslim sahaja, ada juga yang mengembara secara solo. Malangnya dalam iklim ini, mereka boleh menjadi yang paling terdedah kepada pengalaman yang tidak begitu baik."

"Jadi tahun ini kami membuat laporan ini untuk meningkatkan kesedaran, dan sudah tiba masanya untuk mengetengahkan destinasi yang mesra wanita Islam," tambah Encik Fazal lagi.

MODEL DAN RANGKA KERJA DILANCARKAN, BANTU DALAM PEMBANGUNAN STRATEGI

Dua lagi inisiatif baru yang dilancarkan adalah metrik untuk memantau pilihan pasaran pelancong Muslim yang dinamik dan rangka kerja bagi memberi panduan kepada pelancong Muslim dalam merancang perjalanan mereka untuk membuat pilihan yang mampan dan bertanggungjawab, selaras dengan ajaran agama Islam.

Metrik itu akan dikemaskini dan diterbitkan setiap bulan.

Encik Fazal berkata, "Kita perlu mengumpul lebih banyak data terkini. Dengan mendapatkan data setiap bulan, kita akan memahami bagaimana, bila dan ke negara-negara mana para pelancong Muslim akan pergi. Kita akan dapat memantau trend, dan jika ada perubahan ketara dalam trend itu, kita akan dapat bertindak dengan lebih cepat."

Rangka Kerja Pelancongan Bertanggungjawab Pengembara Muslim pula dilakarkan untuk membimbing para pengunjung Muslim dalam membuat pilihan bijak yang menggalakkan kemampanan sosio-budaya, sosio-ekonomi dan alam sekitar sambil menegakkan nilai-nilai kepercayaan agama.

Ia juga bertujuan untuk memperkasakan pengembara Muslim untuk memainkan peranan aktif dalam memelihara warisan budaya, menyokong masyarakat tempatan dan memastikan kelestarian alam sekitar sekaligus menyumbang kepada industri pelancongan global yang lebih saksama dan mampan.

MSIA, INDONESIA UNGGULI DESTINASI MESRA MUSLIM, SG DI TANGGA TERATAS DESTINASI BUKAN OIC

Acara tersebut turut mendedahkan dapatan terkini Indeks Pelancongan Muslim Global (GMTI) Mastercard-CrescentRating 2023.

Singapura terus kekal sebagai destinasi pelancongan 'mesra Muslim' nombor satu dalam kalangan destinasi-destinasi bukan anggota Muktamar Islam (OIC).

Tangga kedua diduduki oleh United Kingdom sementara Taiwan di tangga ketiga dan Thailand yang keempat.

Secara keseluruhan pula, Indonesia dan Malaysia mendahului carta GMTI 2023 sebagai destinasi percutian mesra Muslim terbaik untuk pelancong Muslim.

Kali terakhir Indonesia menduduki tangga pertama dalam senarai itu adalah pada tahun 2019.

Arab Saudi menduduki tempat ketiga manakala Amiriah Arab Bersatu (UAE) di tangga keempat.

Singapura dan United Kingdom pula merupakan dua destinasi bukan anggota OIC yang disenaraikan dalam 20 destinasi percutian mesra Muslim terbaik.

Negara-negara tersebut dipilih daripada senarai lebih 130 destinasi.

Encik Fazal berkata: "Kita lihat di rantau Asia Tenggara lebih-lebih lagi Malaysia, Indonesia dan Singapura mendominasi senarai indeks. Ini menunjukkan rantau ini sangat mesra Muslim. Mungkin tiba masanya untuk melihat bagaimana negara-negara ini boleh mewujudkan sebuah kelompok mesra pelancong Muslim dan mungkin mereka boleh lebih meraih manfaat."

Pelancong Muslim membentuk segmen pasaran yang besar. Menurut CrescentRating, jumlah perjalanan pelancong Muslim dijangka mencecah 230 juta dengan perbelanjaan bernilai AS$225 bilion menjelang 2028.

 
Sumber : BERITA Mediacorp/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan