Skip to main content

Singapura

Malaysia Fest 2026 kembali dengan edisi terbesar, 60% peserta kali pertama

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 17 Jul 2026 09:22PM Dikemas Kini : 27 Jul 2026 03:11AM
SINGAPURA: Malaysia Fest 2026 menyaksikan penyertaan lebih ramai usahawan dari Malaysia, dengan 60 peratus daripada keseluruhan peserta menyertainya buat kali pertama.

Edisi kesembilan acara anjuran MegaXpress International dengan kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Malaysia itu juga merupakan yang terbesar pernah dianjurkan, dengan lebih 340 reruai berbanding 321 pada tahun lalu.

Daripada jumlah itu, lebih 160 reruai makanan ditampilkan, jumlah tertinggi sepanjang penganjuran Malaysia Fest.

BUKAN SEKADAR MEDAN JUALAN, WADAH BANTU USAHAWAN BERKEMBANG

Menurut Pengarah Kanan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Encik Noorsham Ramly, penyertaan ramai peserta kali pertama itu didorong usaha FAMA membimbing usahawan agar produk mereka memenuhi piawaian serta kehendak pasaran Singapura.

Malaysia Fest bukan sekadar wadah bagi usahawan menjana jualan sepanjang empat hari festival berlangsung.

Malah, ia menjadi ruang untuk membantu usahawan Malaysia membina perniagaan yang mampu berkembang di Singapura dalam jangka panjang.

"Kita juga menekankan untuk produk usahawan yang terlibat di Malaysia Fest ini pergi ke arah lebih jangka panjang. Semasa Malaysia Fest, mereka dapat buat jualan secara runcit, tetapi harapan FAMA agar mereka menuju ke arah jangka panjang, membina satu industri atau satu perniagaan yang lebih mantap," kata Encik Noorsham kepada BERITA Mediacorp.

Antara usahawan yang pernah menyertai Malaysia Fest dan kini berjaya mengembangkan perniagaan ialah Zhumart Trading (keropok ikan), Wan Zaleha (pau goreng), Nims Adelicious (Chocotub), Aductive Sdn. Bhd. (produk snek), Otak-otak JB dan Jeruk Pak Ali.
Related article image
(Dari kiri) Pengarah Kanan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Encik Noorsham Ramly; Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura, Datin Paduka Siti Hajjar Adnin dan Pengarah Urusan MegaXpress International, Encik Hamzah Abdullah. (Gambar: MegaXpress)
SASAR LEBIH RAMAI PENGUNJUNG

Malaysia Fest tahun lalu menarik lebih 179,000 pengunjung sepanjang empat hari penganjurannya.

Membina kepada sambutan itu, pihak penganjur menyasarkan antara 180,000 hingga 200,000 pengunjung bagi edisi kali ini yang bertemakan 'Unveil the Wonders of Malaysia'.

"Saya rasa lebih positif lagi dan juga akan meningkatkan semangat pasukan kita dan juga FAMA Malaysia untuk mempamerkan barangan dan produk-produk hasilan mereka di Singapura," ujar Pengarah Urusan MegaXpress International, Encik Hamzah Abdullah.

Sasaran itu ditetapkan seiring pertambahan jumlah reruai serta kepelbagaian produk dan pengalaman yang ditawarkan pada edisi kali ini.

Menurut Encik Hamzah, Malaysia Fest akan terus memberi tumpuan kepada dua tarikan utama yang dekat di hati pengunjung Singapura, iaitu makanan dan pelancongan.

Selain makanan dan sekitar 10 tan metrik buah-buahan bermusim seperti nangka, cempedak dan jambu, pakej pelancongan, produk kecantikan dan fesyen serta hiburan dari barisan artis Malaysia terkemuka turut ditawarkan.

Edisi kali ini turut menampilkan pertandingan azan yang dianjurkan dengan kerjasama Masjid Ar-Raudhah, selaku penerima manfaat Malaysia Fest 2026.

Malaysia Fest akan berlangsung di Singapore Expo dari 30 Julai hingga 2 Ogos.
Sumber : BERITA Mediacorp/bk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita