Malaysia Fest 2025 platform luaskan pasaran produk tempatan di SG
Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura, Dr Azfar Mohamad Mustafar (kanan) mengiringi rombongan dari Malaysia bersama Setiausaha Parlimen Kanan Kementerian Pendidikan merangkap Pembangunan Negara Dr Syed Harun Alhabsyi di Malaysia Fest 2025. (Gambar: Facebook/MegaXpress International Pte Ltd)
Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura, Dr Azfar Mohamad Mustafar berkata, ekspo yang kini memasuki tahun kelapan penganjurannya itu menyediakan platform terbaik untuk para usahawan Malaysia memperluaskan pasaran produk mereka di Singapura, dengan sokongan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).
"Nilai eksport agromakanan Malaysia ke Singapura meningkat daripada RM8.5 bilion (S$2.5 bilion) pada 2022 kepada hampir RM11 bilion pada 2024.
"Ini menggambarkan minat dan permintaan yang tinggi terhadap produk Malaysia di pasaran Singapura, khususnya dalam kategori makanan, buah-buahan tropika dan kesihatan," katanya ketika merasmikan Malaysia Fest 2025, pada Khamis (31 Jul).
Dr Azfar berkata, penganjuran Malaysia Fest juga amat signifikan bersempena Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025, menjadi medan strategik untuk memperkenalkan kekayaan produk tempatan, warisan budaya dan keunikan pelancongan Malaysia di peringkat antarabangsa.
Program anjuran MegaXpress International dengan kerjasama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan menerusi FAMA itu menawarkan 321 reruai - jumlah tertinggi sepanjang penganjurannya dan disertai 220 syarikat usahawan.
Selain produk agromakanan, ekspo itu juga menawarkan produk pelancongan, kosmetik dan pakaian.
Pengerusi FAMA, Aminuddin Zulkipli berkata, menerusi penglibatan dalam ekspo ini, FAMA mendapati produk agromakanan, terutamanya produk eksotik dari Malaysia semakin mendapat tempat di hati pengunjung Singapura.
Beliau berkata, tahun ini FAMA membawa masuk buah-buahan seperti limau susu dari Sarawak, Pitaya Twin dari Negeri Sembilan dan rebung dari Perak, bagi melihat kebolehpasaran produk berkenaan di Singapura.
"Pemerhatian FAMA pada hari pertama Malaysia Fest, produk-produk ini memang mendapat perhatian pengunjung. Kita akan pastikan stok mencukupi sepanjang empat hari ekspo ini," katanya kepada Bernama.
Beliau berkata, secara keseluruhan, FAMA membawa 10 tan buah-buahan tropika dan bermusim serta 1,500 stock keeping unit (SKU).
Ekspo itu dijangka menarik lebih 180,000 pengunjung dan FAMA menyasarkan nilai keseluruhan penjualan ekspo mencecah RM15 juta (S$4.5 juta).
Malaysia Fest 2025 bertemakan "Unlock The Treasures of Malaysia" dari 31 Julai hingga 3 Ogos akan berlangsung di Dewan 5A dan 5B, Singapore Expo dari pukul 10.00 pagi hingga 10.00 malam.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.