Malaysia Fest 2025 paling besar pernah dianjurkan, sasar lebih 180,000 pengunjung kali ini
SINGAPURA: Malaysia Fest kembali lebih meriah lagi dengan lebih banyak reruai ditampilkan dengan produk yang lebih pelbagai.
Edisi kelapan acara anjuran MegaXpress International dengan kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) itu adalah yang terbesar pernah dianjurkan sejauh ini dengan menawarkan 321 reruai berbanding 302 tahun lalu.
Pelbagai tawaran baharu juga dijanjikan pihak penganjur.
Buah limau susu dari Sarawak misalnya, antara produk baharu yang ditawarkan.
Ia antara 10 tan metrik buah-buahan musiman yang akan dibawa masuk kali ini.
Para pengunjung juga boleh menjangkakan lebih banyak produk dari Sawarak di 'Pavilion Sarawak' yang ditampilkan buat pertama kalinya.
"Kalau dahulu mereka menghantar usahawan mereka sahaja, kali ini kerajaan negeri turut sama. Jadi sokongannya lebih besar daripada biasa dan saya rasa produk pun lebih banyak dan kita mengharapkan kehadiran yang lebih banyak juga," kongsi Pengerusi FAMA, Aminuddin Zulkipli kepada wartawan Nazirah Jamzuri.
USAHAWAN-USAHAWAN MUDA DITAMPILKAN
Bertemakan 'Teroka Khazanah dan Citarasa Malaysia', pihak penganjur kali ini turut menampilkan para usahawan muda untuk memperkenalkan produk-produk mereka.
"Kami sebagai agensi kerajaan, antara tugasan kami ialah melahirkan usahawan-usahawan muda. Dengan penyertaan tiga negeri yang saya ingat, Sarawak, Pulau Pinang dan Terengganu, mereka juga membawa usahawan-usahawan muda yang didatangkan terus daripada negeri masing-masing dengan produk keperluan asas di negeri masing-masing," menurut Encik Aminuddin.
Tahun lalu, Malaysia Fest menerima sambutan menggalakkan iaitu lebih 166,000 pengunjung sepanjang empat hari.
Ia mencatatkan peningkatan sebanyak 23 peratus berbanding jumlah pengunjung pada 2023.
Pihak penganjur berharap dapat melebihi sasaran itu.
"Kalau dari segi pengunjung tahun lepas ialah (lebih) 166,000, kita sasarkan sekitar 180,000 atau lebih (tahun ini). Itu yang paling minima dari segi pengunjung dan dari segi penjualannya, tahun lepas ialah S$4.26 juta dan tahun ini, jangkaannya kemungkinan dalam anggaran S$5.5 juta atau S$6 juta," menurut Pengarah Urusan MegaXpress International Pte Ltd, Hamzah Abdullah.
LEBIH BANYAK PRODUK, DESTINASI BAHARU DITAMPILKAN KALI INI
Lantaran itu, lebih banyak lagi akan dilakukan kali ini bagi memenuhi jangkaan pengunjung.
"Memang dari tahun ke tahun, kita sentiasa menerima sambutan yang hangat. Jadi, kita sentiasa berusaha dengan penganjur MegaXpress dan juga pihak FAMA untuk membawa lebih banyak produk-produk baru, destinasi baru supaya memperbaharui minat khalayak dari Singapura untuk datang dan berkunjung. Jadi kita rasa Malaysia Fest ini ada potensi yang baik untuk dikembangkan lagi pada masa masa akan datang, " kongsi Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura, Dr Azfar Mohamad Mustafar kepada wartawan Nazirah Jamzuri.
Beliau juga melihat Malaysia Fest sebagai satu platform yang boleh dijadikan langkah permulaan bagi para usahawan Malaysia menebarkan sayap ke pasaran luar.
"Kita memang menerima banyak pertanyaan daripada Industri Mikro, Kecil dan Sederhana, usahawan daripada Malaysia tentang bagaimana untuk mereka mengembangkan produk mereka di Singapura. Jadi, kita selalu memaklumkan kepada mereka bahawa aktiviti seperti Malaysia Fest ini mungkin satu platform yang boleh diteroka sebagai langkah permulaan dan apabila produk mereka telah dikenali, mereka boleh bergerak dengan cara sendiri untuk bertemu dengan bakal pembeli di Singapura," ujar Dr Azfar.
"Jadi, saya rasa platform seperti Malaysia Fest ini amat berguna dan memang ada potensi besar bagi Industri Mikro, Kecil dan Sederhana," tambahnya.
Selain makanan, acara itu turut menawarkan pakej pelancongan, produk kecantikan, fesyen, serta barisan artis dan selebriti Malaysia terkemuka termasuk Siti Nurhaliza.
Malaysia Fest akan berlangsung pada 31 Julai hingga 3 Ogos ini di Singapore EXPO Dewan 5A dan 5B.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.