Malaysia Fest 2024 sasar jualan S$10 juta, tarik 200,000 pengunjung
SINGAPURA: Acara Malaysia Fest 2024 menyasarkan jualan S$10 juta dan menarik sehingga 200,000 pengunjung.
Demikian dikongsi pihak penganjur, MegaXpress International Pte Ltd di pelancaran acara itu di Singapore Expo pada Khamis (25 Jul).
"Kalau kita bandingkan awal pertama pengunjung tahun lepas, kita ada 135,000 pengunjung dan Insya-Allah pada tahun ini, kami akan lonjakan lagi kepada 150,000 atau 200,000 pengunjung dalam empat hari ini," kongsi Pengarah Urusan MegaXpress International, Encik Hamzah Abdullah.
"Kalau tahun lalu pada 2023, hasil penjualan ialah RM17.8 juta iaitu (kira-kira) S$5 juta, Insya-Allah tahun ini pada 2024, kita akan lonjakan lagi daripada RM17 juta (kira-kira S$5 juta) kepada S$10 juta. Itu harapan kita," tambahnya.
Bertemakan “Terokai Permata-permata Malaysia”, edisi ketujuh acara itu adalah yang terbesar pernah diadakan dengan lebih 300 reruai berbanding 280 tahun lalu.
Acara yang dianjurkan dengan sokongan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Malaysia itu bertujuan memperkenal produk keluaran Malaysia seperti produk makanan, pakej pelancongan, produk kesihatan dan makanan unik dari negara tersebut.
Antaranya tarikan kali ini termasuk longan kristal dari Sarawak, cempedak durian dari Perak, dan Nangka "Tekam Yellow" dari Negeri Sembilan.
Ia turut menampilkan barisan artis dan usahawan terkenal Malaysia.
Datuk Bandar Daerah Tenggara, Fahmi Aliman serta Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura, Dr Azfar Mohamad Mustafar hadir di majlis pelancarannya.
"Saya ingin merakamkan jutaan penghargaan kepada pihak penganjur dan semua pihak yang terlibat kerana telah bekerja keras berusaha untuk memastikan kejayaan bagi acara ini.
"Ia merupakan peluang yang sangat berharga bagi kita semua untuk bekerjasama di antara para peniaga dan pengguna dari negara Singapura dan Malaysia, sambil meraikan kepelbagaian budaya dalam suasana yang meriah dan gembira ini," kata Encik Fahmi.
BAYARAN TANPA WANG TUNAI
"Orang Singapura akan membeli dengan cara 'cashless' atau tanpa tunai, ini satu daya tarikan yang belum kita pernah terokai," kongsi Encik Hamzah kepada BERITA Mediacorp.
"Ada (juga) pelancongan Malaysia, dengan banyak destinasi yang belum kita terokai lagi, seluruh semenanjung Malaysia dan juga Borneo di bahagian Sabah Sarawak. Ini dengan pertolongan dan ihsan Tourism Malaysia. Banyak lagi tempat yang kita akan terokai," tambah beliau.
Malaysia Fest 2024 berlangsung sehingga Ahad (28 Jul) ini di Dewan 5A dan 5B Singapore Expo.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.