Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Malaysia Fest 2024 kembali lebih meriah, tampilkan destinasi pelancongan & makanan menarik

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Lebih banyak tumpuan diberikan kepada aspek pelancongan dan juga makanan dari seberang tambak dalam acara Malaysia Fest tahun ini.

Bertemakan “Terokai Permata-permata Malaysia”, edisi ketujuh acara itu juga memperkenalkan beberapa pembaharuan termasuk pembayaran tanpa wang tunai.

Untuk menggalakkan cara pembayaran ini, satu acara cabutan bertuah akan diadakan dengan hadiah berupa wang tunai, pakej percutian ke Malaysia dan barangan elektronik dengan nilai keseluruhan sebanyak S$10,000.

Pengunjung hanya perlu membuat pembayaran menggunakan kod QR DuitNow dengan nilai serendah S$20.

Acara anjuran MegaXpress International dengan kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) itu antara lain bertujuan untuk mempromosikan produk keluaran Malaysia seperti produk makanan, pakej pelancongan, produk kesihatan dan makanan unik dari negara tersebut.

Pengurus Besar MegaXpress International, Encik Hamzah Abdullah berkata: "Wisata atau 'travel' dan makanan, ini tema yang kita gembar-gemburkan. Tema dua elemen ini yang kita terapkan di mana warga Singapura akan manfaatkan dalam soal ini."

Edisi kali ini juga yang terbesar pernah diadakan dengan 302 reruai berbanding 280 tahun lepas.
 
Tahun ini, FAMA akan membawa masuk kira-kira 20 tan metrik buah-buahan tropika seperti longan kristal, pomelo Sabah dan cempedak durian.

"Kita masih mengekalkan usaha kita untuk membawa 'rare fruits', barang-barang atau buah-buahan yang jarang didapati di pasaran. Orang yang melibatkan diri dalam pameran FAMA Fest di Singapura ini, sebahagian besar daripadanya ialah 'entrepreneur' ataupun usahawan bimbingan FAMA. Mereka telah menjalani latihan, mereka telah diberi pendedahan," kata Pengerusi FAMA, Encik Aminuddin Zulkipli.

Nilai jualan langsung yang dicatatkan acara itu juga mencatat jumlah tertinggi tahun lalu sebanyak RM17.8 juta (S$5.1 juta).

Jumlah itu tiga kali ganda lebih tinggi berbanding nilai jualan yang dicatatkan pada 2022.

Tahun ini, pihak penganjur menjangkakan dapat menarik sebanyak lebih 120,000 pengunjung.

"Hasrat kita pada masa akan datang untuk meningkatkan promosi untuk memastikan Malaysia Fest mendapat perhatian khalayak contohnya komuniti ekspatriat di Singapura dan sebagainya. Jadi saya kira Malaysia Fest di Singapura mempunyai masa depan yang cerah dan kita harap rakyat Singapura akan terus memberi sokongan kepada Malaysia Fest," kata Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura, Dr Azfar Mohamad Mustafar.

Pameran ini akan berlangsung di Singapore EXPO Dewan 5A dan 5B pada 25 hingga 28 Julai 2024.
 
Sumber : BERITA Mediacorp/iz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan