Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

The Malayan Council buka cawangan baru; tawar gaji lebih tinggi bagi pikat pekerja di tengah cabaran buruh

Anggaran Waktu Membaca:
The Malayan Council buka cawangan baru; tawar gaji lebih tinggi bagi pikat pekerja di tengah cabaran buruh

Pengasas The Malayan Council, Hafiz Alkhatib. (Gambar: BERITAmediacorp/Nur Hazimah Anuar)

SINGAPURA: Perniagaan-perniagaan setempat yang ingin membuka cawangan baru atau menambah pekerja di fasa endemik sekarang, secara purata berdepan cabaran ekoran pasaran buruh yang ketat.

Menurut Kementerian Tenaga Manusia (MOM) dalam laporannya pada pertengahan Jun lalu, antara industri dengan jumlah kerja kosong yang tinggi adalah dalam sektor binaan dan perkilangan dengan sebahagian besar adalah bagi peranan bukan PMET yang lazimnya dilakukan oleh pekerja hijrahan.

Ini juga disebabkan para pekerja hijrahan yang pulang ke negara asal masih belum kembali sepenuhnya.

Kesukaran demikian juga dihadapi oleh sebilangan pengusaha restoran yang turut terkesan oleh isu kekurangan pekerja.

Bagi mengatasi isu itu, sesetengah perniagaan makanan dan minuman (F&B) menawarkan gaji bulanan lebih tinggi berbanding harga pasaran untuk memikat para pekerja.

Bagi restoran The Malayan Council, syarikat itu menawarkan gaji bulanan 10 peratus lebih tinggi berbanding harga pasaran untuk memikat pekerja yang mempunyai kemahiran yang diperlukan.

Ini terutama sekali dengan pembukaan cawangan terbaru iaitu yang kelima 'The Malayan Council' di Esplanade Mall yang berkonsepkan Halal 'fine dining'.

"Pasaran buruh agak ketat sekarang. Jadi kami sedang lakukan yang terbaik dari setiap sisi untuk menawarkan gaji bulanan yang lebih baik, lebih banyak peluang pembangunan untuk pekerja dan juga menjaga kebajikan mereka supaya kami dapat mengekalkan kakitangan.

"Misalnya cef pastri saya di cawangan The Malayan Council di Esplanade Mall, beliau pernah bekerja di Swissotel dan TWG. Dia tahu bagaimana untuk jalankan tugas beliau dengan baik dan ia bukan murah untuk dapatkan pekerja seperti itu.

"Jadi kita perlu pikat mereka untuk menyertai syarikat kami. Mungkin bayar gaji bulanan 10 peratus lebih tinggi. Saya lebih rela bayar gaji lebih tinggi untuk dapatkan pekerja yang sekurang-kurangnya tahu bagaimana untuk menjalankan tugas mereka," kata pengasas restoran The Malayan Council, Hafiz Alkhatib kepada BERITAmediacorp. 

Encik Hafiz di cawangan The Malayan Council di Esplanade Mall. (Gambar: BERITAmediacorp/Nur Hazimah Anuar)

Encik Hafiz juga berkongsi bahawa para pekerjanya bergilir-gilir ke cawangan-cawangan The Malayan Council yang lain bagi mengisi sebarang kekurangan tenaga kerja yang ada buat sementara ini.

"Setiap cawangan kini kekurangan pekerja. Jadi apabila cawangan itu kekurangan pekerja bermakna seseorang kena bekerja lebih masa tetapi semua pengurus dan pekerja dari cawangan-cawangan yang lain akan cuba menyokong satu sama lain sebaik mungkin. Selalunya saya serahkan kepada mereka untuk tentukan siapa yang akan pergi ke cawangan yang mana," kata Encik Hafiz, 36 tahun.

BUKA CAWANGAN BARU DI ESPLANADE

Baru-baru ini, restoran The Malayan Council menambah satu lagi cawangan, kali ini di lokasi yang agak 'premium' iaitu di Esplanade Mall.

Menurut Encik Hafiz, syarikatnya dipelawa oleh pihak Esplanade sendiri pada awal tahun ini untuk membuka cawangan di sana.

Selepas menilai faktor risiko dari segi harga, permintaan dan bekalan selama sekitar tiga bulan, Encik Hafiz akhirnya memutuskan untuk meneruskan dengan pembukaan cawangannya yang kelima di sana.

"Saya rasa kita tandatangani kontrak pada April, ia mengambil saya masa 3 bulan untuk lakukan demikian. Selepas itu saya masih tetap lakukan tinjauan sendiri kerana selepas tandatangani kontrak juga ada risikonya juga tapi kita tidak akan tahu selagi kita tidak mencuba," kata Encik Hafiz.

BAWAKAN KONSEP BERBEZA 

Menurut beliau, konsep bagi restoran itu agak berlainan berbanding cawangan-cawangannya yang lain.

Burger daging 'wagyu' TMC. (Gambar: BERITAmediacorp/Nur Hazimah Anuar)
Jika restoran The Malayan Council yang lain menawarkan pelbagai makanan Melayu 'fusion', restoran The Malayan Council at the Bay di Esplanade pula menawarkan menu yang lebih bertemakan antarabangsa.
Hidangan pembuka selera 'salmon tartare'. (Gambar: BERITAmediacorp/Nur Hazimah Anuar)

"Saya boleh katakan ia seperti konsep makanan yang mewah dan moden atau Halal 'fine dining' untuk lebih tepat. Memang matlamat The Malayan Council untuk mempunyai sebuah restoran 'fine dining' selepas tujuh tahun ia dibangunkan.

"Ia mengambil saya masa tujuh tahun untuk melakukan kajian dan meneliti bagaimana saya dapat melakukan konsep 'fine dining' ini dengan betul terutama sekali juga sudah tiba masanya bagi para pelanggan Muslim kita untuk cuba dan mengalami sendiri konsep Halal 'fine dining' ini," kata Encik Hafiz.

Selepas ini, The Malayan Council dijangka membuka satu lagi cawangan di The Fullerton Waterboat House pada lewat tahun ini.

Sumber : BERITA Mediacorp/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan