Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Malam Ilham Dikir bakal cipta sejarah; tiket konsert Masdo habis dijual dalam masa 10 minit

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sambutan orang ramai bagi acara-acara Pesta Raya 2022 di Esplanade - Teater di Persisiran tahun ini di luar jangkaan dan sangat menggalakkan sehinggakan tiket-tiket untuk sebilangan acaranya juga sudah habis terjual.

Dengan lebih 20 acara, sajian hiburan untuk edisi ke-21 itu juga adalah yang terbesar setakat ini yang diadakan semula secara fizikal.

Orang ramai juga tidak sabar untuk menyaksikan semula persembahan secara langsung dan menikmati muzik 'live'.

Ini selepas dua tahun acara-acara terpaksa dipindahkan ke wadah online disebabkan sekatan-sekatan bagi membendung penularan COVID-19.

TIKET KONSERT MASDO HABIS DIJUAL DALAM MASA 10 MINIT, PINDAH KE RUANG LEBIH BESAR

Pesta Raya 2022 turut dimeriahkan lagi dengan penampilan lebih 14 artis dari seberang tambak yang diundang membuat persembahan di sini, selepas dua tahun.

Antaranya ialah Kugiran Masdo dari Malaysia yang popular dengan lagu-lagunya yang berunsur 60an.

Kumpulan anak muda itu akan tampil dalam konsert sulung mereka di Singapura 'Masdo Upsized: Pesta Muda Mudi' pada Ahad (29 Mei).


(Gambar: Facebook/Pesta Raya)

Ramai yang teruja untuk menyaksikan persembahan kumpulan yang popular dengan lagu 'Bunga' dan 'Dinda' itu dengan kesemua tiket habis terjual dalam masa sejam sahaja tempahan dibuka.

"Kami memang tak sangka sebab ini kali pertama kami buat persembahan di Singapura jadi memang terkejut sebab ramai sangat orang tengok kami. Alhamdullilah," kata pemain bass Masdo, Putu Ceri semasa satu wawancara eksklusif bersama BERITAmediacorp melalui Zoom.

"Kami nak ucapkan terima kasih banyak-banyak sebab sokongan itu jadi kita pun rasa sangat dihargai dan terharu," tambah vokalis dan pemain gitar utama, Ali Sariah.

Sebagai tanda terima kasih buat sokongan para peminat mereka, Masdo menjanjikan persembahan yang akan menghiburkan semua sepanjang satu jam setengah.

Sekitar 17 lagu hit mereka akan dipersembahkan termasuk lagu raya terbaru mereka - 'Hari Raya Kini Dah Kembali'.

(Dari kiri, pemain keyboard, Cakam, pemain bass, Putu Ceri dan vokalis dan gitaris utama, Ali Sariah)

"Untuk orang Singapura kita ada satu susunan di pertengahan konsert itu. Kami nak cerita banyak pun nanti tiada lagi kejutan jadi diharap berjayalah set itu. Kami tak sabar dan kami mengharapkan untuk membuat persembahan di Singapura. Kami pun memang sudah siapkan senarai lagu yang terbaik untuk anda semua," tambah Putu Ceri lagi.

Masdo memberitahu kumpulannya sedang dalam proses menghasilkan album mereka yang terbaru yang diharap dapat dilancarkan antara akhir tahun hingga awal tahun depan.

"Kalau ada rezeki, kita pun nak buat konsert 'tour' di Singapura juga. Mungkin dengan album terbaru, dengan buah tangan baru," ujar Ali dan Putu Ceri.

Konsert mereka sebenarnya dijadualkan sehari lebih awal, di ruang konsert yang lebih kecil. Namun, kesemua 250 tiket yang ditawarkan ketika itu 'habis disapu' peminat dalam masa 10 minit sahaja.

(Cik Hanie Nadia Hamzah, Penerbit, The Esplanade Co. Ltd)

"Sambutan untuk Kugiran Masdo memangnya di luar jangkaan kami tapi dengan kerjasama beberapa pihak kita dapat mengatur semula jadual dan pindahkan mereka daripada tempat yang sederhana kepada tempat yang lebih besar di mana sekarang lebih daripada 1,500 peminat akan dapat menyaksikan dan dapat menikmati konsert Kugiran Masdo," jelas Cik Hanie Nadia Hamzah, Penerbit di The Esplanade Co. Ltd.

Melihat sambutan tersebut, Cik Hanie tidak menafikan peluang untuk mengundang kumpulan tersebut kembali beraksi di Esplanade selepas 29 Mei nanti.

"Ini juga bergantung kepada peminat mereka jadi kalau peminat-peminat masih inginkan mereka membuat persembahan, kita akan bersedia untuk mengundang mereka di masa hadapan," tambahnya.

SEJARAH TERCIPTA DENGAN 'MALAM ILHAM DIKIR'

Satu lagi persembahan yang mendapat sambutan ialah konsert 'Malam Ilham Dikir - Teraju Tiga'.

(Gambar: Facebook/Pesta Raya)

Konsert dikir barat pada Sabtu (28 Mei) itu dipentaskan bagi meraikan perjalanan seni dikir barat tempatan yang sudah bertapak di Singapura sejak berpuluh tahun.

Ia bakal menampilkan seramai 35 bakat dalam arena dikir barat - lama dan baru termasuk Juno AGP, Khairudin Samsudin dan Daly Filsuf dari kumpulan Ahli Fiqir.

Istimewanya dalam konsert ini, para penonton boleh menyaksikan persembahan daripada kumpulan 2D yang disatukan semula khas untuk Pesta Raya.

"Ini adalah pertama kali seni dikir barat ini dipersembahkan di Dewan Konsert Esplanade dan ia adalah malam penuh sejarah untuk dikir barat," kata Penerbit 'Malam Ilham Dikir - Teraju Tiga', Encik Rifaah Ridzuwanulhakim.

Persiapan untuk konsert tersebut bermula sejak awal tahun ini.

(Encik Rifaah Ridzuwanulhakim, Penerbit, 'Malam Ilham Dikir - Teraju Tiga')

Menurut Encik Rifaah, persembahan itu pada mulanya dirancang untuk dipentaskan di lokasi yang lebih kecil di Esplanade.

Bagai bulan jatuh ke riba, beliau kemudian ditawarkan untuk mementaskannya di pentas yang berskala lebih besar pula.

"Saya rasa amat berbangga dan saya rasa dia bukan untuk kita sahaja tetapi dia lebih untuk masyarakat Melayu Singapura di mana seni Melayu kita ini boleh diangkat dan boleh dipersembahkan di arena yang boleh dikatakan antarabangsa seperti Esplanade," tambah Encik Rifaah.

Sepanjang satu jam setengah, penonton bakal dihiburkan dengan persembahan oleh tukang Juara termasuk penyanyi Nana Karia, Elfee Ismail dan kumpulan Dinodi yang akan diiringi oleh kumpulan-kumpulan seperti Kelana Purba, Dendang Mutiara, Mak Yong Kedek, Andika Kencana, Ulan, Wahana Deksu dan banyak lagi.

Ia juga akan mengandungi elemen spontan seperti segmen 'Dikir Battle' dan sketsa yang akan dilakonkan pelawak Mamat Bora dan juga pelakon tempatan, Sulaiman Ideris.

"Saya adalah pemegang atau peran watak utama yang bernama Rohaizad. Dia adalah seorang yang 'abang-abang' dan dia adalah seorang yang nak menang saja," kata Sulaiman yang juga dikenali sebagai Maman.

Sebagai pelakon, Maman pernah terlibat dalam siri drama Anak Metropolitan 2.

(Sulaiman Ideris, Pelakon Utama, 'Malam Ilham Dikir - Teraju Tiga')

Meskipun kini giat dalam kerja-kerja membimbing penggiat muda dikir barat, berlakon di pentas adalah satu cabaran buat dirinya.

"Berlakon teater ini dia bukan semalaman untuk mahir, dia perlukan perjalanan yang jauh untuk teater ini. Jadi bagi saya itu adalah salah satu cabaran yang paling berat sekali," ujar Maman, yang sebelum ini terlibat dalam Konsert Gemilang yang juga dipentaskan di Esplanade pada 1 Januari lalu.

Namun begitu, beliau bersyukur diberi kepercayaan untuk membawa watak utama dan menyifatkan dramatis tempatan seperti Rafaat Hamzah dan Najib Soiman sebagai sumber inspirasi beliau.

Tiket-tiket berharga S$25 dan S$40 masih boleh didapatkan.

Sehingga 25 Mei, sebanyak 80 peratus tiket sudahpun terjual.
Sumber : BERITA Mediacorp/SY
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan