Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Malam Citrawara bawa penonton kembali ke era 40-an

Alunan muzik irama Melayu, persembahan tarian, pembacaan syair dan pertunjukan silat mengisi ruang Anjung@WGS di Wisma Geylang Serai, pada Ahad (25 Sep).

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Alunan muzik irama Melayu, persembahan tarian, pembacaan syair dan pertunjukan silat mengisi ruang Anjung@WGS di Wisma Geylang Serai, pada Ahad (25 Sep).

Selama 90 minit, kira-kira 400 penonton dibawa ke era 1940-an yang cukup menakjubkan dan berwarna warni menerusi persembahan menarik oleh bakat-bakat tempatan termasuk Anis Qurratu'Aini Azman, Amanca Tumasek, Elfee Ismail, Kirana Seni dan Orkes Pulau Hujung.

Selain itu, para penonton turut disajikan puisi dan syair yang digubah khas oleh pengacara dan pelakon Najib Soiman yang memegang watak sebagai Tok Penghulu.

(Gambar: Wisma Geylang Serai)

"Kita ingin memberikan sesuatu yang unik. Jadi saya fikir kita ambil idea daripada cerita-cerita lama. Dari situ kerana zaman dahulu kita tak ada hiburan dari segi televisyen ataupun media sosial zaman sekarang.

"Jadi mereka anak-anak orang-orang kampung kita akan berjumpa pada malam pengiktirafan. Kita akan berkumpul, menari, bernyanyi untuk berhibur sama-sama. Dan dari situ saya sengaja menggunakan sajak, syair untuk menceritakan apa yang sedang berlaku dalam Malam Citrawara," kata penerbit dari A'Arts Theatre Repertoire, Cik Awal'liyah Jaafar.

Persiapan untuk setiap aspek persembahan dijalankan dengan penuh teliti demi memberikan persembahan yang lebih meyakinkan.

(Gambar: Wisma Geylang Serai)

"Setiap penari, pemuzik dan juga penyanyi, kita buat penyelidikan. Kita tonton filem-filem lama, dan mendengar lagu-lagu klasik. Kita pastikan lagu-lagu yang kita pilih sesuai dengan jalan cerita. Sesuai dengan apa yang kita ingin ceritakan pada zaman dahulu," kongsi Cik Awal'liyah lagi

Malam Citrawara yang juga diterbitkan dengan kerjasama Majlis Seni Kebangsaan (NAC), dan disokong Lembaga Warisan Negara (NHB) dan Majlis Bahasa itu dianjurkan sempena sambutan Bulan Bahasa oleh WGS tahun ini.

Ia bertujuan untuk meraikan budaya, seni dan warisan Melayu.

BERI PELUANG GENERASI MUDA HARGAI KARYA-KARYA LAMA

Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Dr Mohamad Maliki Osman yang hadir sebagai tetamu kehormat berkata persembahan sedemikian memberi peluang kepada generasi sekarang mengimbau kenangan silam dan dilibatkan sama dalam usaha memperkayakan kesenian tradisional Melayu.

(Gambar: Wisma Geylang Serai)

"Ia penting untuk ditampilkan dan dilestarikan agar mereka sekarang dapat terus kenal akan keindahan lagu-lagu lama dan faham makna yang penuh tersirat dalam seni kata lagu-lagu klasik itu".

"Dalam kita menyambut Bulan Bahasa kali ini, kita harap bahawa lagu-lagu lama ini dapat memberi anak-anak muda kita sebagai suatu wadah untuk mengimbas kembali keindahan Bahasa Melayu kita," tambah Dr Maliki, yang juga Pengerusi Jawatankuasa yang menerajui projek Jalur Budaya Geylang Serai.

Beliau turut memuji usaha menggabungkan pelbagai kumpulan seni untuk mempamerkan bakat mereka.

"Kumpulan-kumpulan seni daripada anak-anak kecil hingga orang dewasa menunjukkan kebolehan mereka, menyemarakkan budaya kita. Saya harap Bulan Bahasa setiap tahun memberi wadah kepada kumpulan-kumpulan seni ini untuk menampilkan kebolehan mereka, menampilkan bakat-bakat mereka, bakat-bakat anak muda dan juga para penghibur matang kita supaya kita dapat melihat bagaimana kita terus dapat menyemarakkan budaya dan Bahasa Melayu kita," kata Dr Maliki.

(Gambar: Wisma Geylang Serai)

Para pelajar Sekolah Rendah Telok Kurau yang tampil menghiburkan penonton dengan persembahan tarian mereka pada malam itu turut menarik perhatian Dr Maliki.

"Penglibatan para pelajar Sekolah Rendah Telok Kurau dalam Malam Citrawara ini menunjukkan keghairahan mereka dan kita memberi peluang kepada anak-anak muda kita untuk terus memahami bagaimana seni warisan Melayu dapat terus diterapkan dalam jiwa mereka.

"Semoga ia dapat menyemai dan menggalakkan lebih ramai lagi antara mereka untuk terus menggunakan Bahasa Melayu dan juga menikmati keindahan budaya kita menerusi persembahan syair, nyanyian lagu-lagu dan juga tarian Melayu kita," kata Dr Maliki, yang juga Menteri Kedua Pendidikan.

Beliau berharap masyarakat daripada semua lapisan usia dapat memikul tanggungjawab dalam melestarikan budaya Melayu.

Sumber : BERITA Mediacorp/SY
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan