Skip to main content

Singapura

Malam Cabaran Presiden 2024 anjuran Mediacorp berjaya kumpul hampir S$9.7 juta

Anggaran Waktu Membaca:
Malam Cabaran Presiden 2024 anjuran Mediacorp berjaya kumpul hampir S$9.7 juta
Diterbitkan : 07 Oct 2024 08:03AM Dikemas Kini : 07 Oct 2024 08:52AM
SINGAPURA: Malam Cabaran Presiden 2024, kelolaan Mediacorp berjaya mengumpulkan S$9,699,979 tahun ini.

Orang ramai masih boleh menderma sehingga Ahad, 13 Oktober.

Wang derma itu akan disalurkan kepada 65 pertubuhan amal di bawah naungan Dana Cabaran Presiden.

Acara di Teater Mediacorp pada Ahad malam (6 Okt) itu merupakan kemuncak kepada sokongan Mediacorp kepada usaha itu yang bermula dengan kempen publisiti seluruh negara yang memaparkan penerima bantuannya.

Buat pertama kalinya, Mediacorp mengadakan acara Walkathon berganti-ganti selama 12 jam pada Ahad bagi mengumpulkan derma.

Acara dilancarkan Presiden Tharman Shanmugaratnam di rumah peralihan The Turning Point, di Yishun.

Bermula pada sebelah pagi, acara berjalan itu disertai lebih 1,000 peserta termasuk kakitangan dan personaliti Mediacorp seperti penyampai BERITA Nurhelmy Hakim.

Orang ramai juga dijemput untuk menyertai di lima lokasi: Northpoint, Funan, AMK Hub, Lot One, dan Westgate.

Ia berakhir di Teater Mediacorp di mana berlangsungnya acara Malam Cabaran Presiden.

Acara hiburan itu menampilkan bintang-bintang tempatan dan antarabangsa, termasuk persembahan dari penyanyi Ireland dan anggota Boyzone Ronan Keating selain penyanyi veteran Rahimah Rahim serta pemain piano yang tular di TikTok Jovanna Yam dan duo tempatan 'Jack and Rai'.

Malah bintang sukan dan bekas penjaga gawang Singapura Hassan Sunny juga menyahut cabaran berdepan lawannya yang paling sengit setakat ini: Presiden Tharman Shanmugaratnam.

Mereka berdua menentang satu sama lain dalam tendangan penalti, dalam apa yang dianggap sebagai kemuncak pada malam itu.
Sumber : BERITA Mediacorp/SU/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita