Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Makmal biokeselamatan DSO dapat suntikan $90 juta untuk dinaik taraf

Makmal Nasional DSO akan menaik taraf makmal biokeselamatannya untuk menangani virus paling berbahaya dan mudah dijangkiti sekaligus membolehkan Singapura mengkaji dan membangunkan langkah pencegahan terhadap penyakit teruk dan ancaman biologi.

Anggaran Waktu Membaca:
Makmal biokeselamatan DSO dapat suntikan $90 juta untuk dinaik taraf

(Gambar: MINDEF)

Diterbitkan : 01 Mar 2021 04:32PM Dikemas Kini : 01 Mar 2021 04:35PM

SINGAPURA: Makmal Nasional DSO akan menaik taraf makmal biokeselamatannya untuk menangani virus paling berbahaya dan mudah dijangkiti sekaligus membolehkan Singapura mengkaji dan membangunkan langkah pencegahan terhadap penyakit teruk dan ancaman biologi.

Makmal dinaik taraf itu akan dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan lebih ketat dan dijangka ditempatkan di kemudahan DSO di Marina Hill. Operasi akan bermula menjelang penghujung 2025. MINDEF akan memperuntukkan sekitar $90 juta bagi kerja-kerja natik taraf itu.

Ini menyusuli penularan pandemik COVID-19 di merata dunia dengan para saintis memberi amaran bahawa dunia pada masa depan mungkin dilanda "Penyakit X" yang lebih teruk - satu virus baru yang tidak diketahui yang sangat mudah dijangkiti, membawa maut dan bermutasi dengan mudah.

"Bolehkah kita merancang pada dasar bahawa pandemik atau serangan biologi masa depan akan lebih teruk daripada COVID-19? Atau bolehkah kita mencari atau meminta bantuan negara lain apabila ia berlaku?" kata Menteri Pertahanan Ng Eng Hen semasa ucapan Jawatankuasa Perbekalan MINDEF pada Isnin (1 Mac).

"Saya rasa anggota Dewan setuju ia tidak boleh dilakukan. Ia juga tidak masuk akal untuk bergantung kepada yang lain dan kita perlu membangunkan keupayaan di Singapura untuk melindungi diri kita sendiri."

Virus-virus diklasifikasikan ke dalam Kumpulan-Kumpulan Risiko 1 hingga 4 mengikut kebolehjangkitan dan kemungkinan membawa maut. Makmal DSO sekarang ini boleh menangani virus Kumpulan Risiko 3 seperti SARS dan COVID-19 tetapi bukan virus Kumpulan 4 seperti Ebola.

Dr Ng berkata ASEAN tidak mempunyai makmal Kumpulan Risiko 4 sementara Singapura mempunyai makmal Kumpulan Risiko 3 yang dinilai sebagai perlindungan mencukupi.

"Lantaran itu, MINDEF akan melaburkan sekitar $90 juta bagi DSO untuk bekerjasama dengan MOH untuk menaik taraf kemudahan kami di DSO kepada tahap biokeselamatan tertinggi," tambah Dr Ng.

Sumber : CNA/SM/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan