Skip to main content

Singapura

Makmal baharu CBRNE dibuka dekat Lapangan Terbang Changi; tingkat respons SG terhadap pandemik

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 16 Jan 2026 02:16PM Dikemas Kini : 30 Jan 2026 05:50PM
SINGAPURA: Bagi mempersiapkan Singapura dengan lebih baik untuk menghadapi pandemik seterusnya, Makmal Kimia, Biologi, Radiologi, Nuklear dan Bahan Letupan (CBRNE) yang baharu dilancarkan berhampiran Lapangan Terbang Changi pada Jumaat (16 Jan).

Terletak di dalam Pusat Kargo Udara Changi, CBRNE@Changi direka berdasarkan pengajaran yang diperolehI daripada pandemik COVID-19.

"Orang ramai mungkin tertanya-tanya mengapa? COVID-19 sudah berakhir," kata Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara K Shanmugam kepada para wartawan selepas melawat kemudahan tersebut.

"Apabila pandemik seterusnya melanda, anda tidak akan mempunyai masa untuk menyediakan semua ini. Lantaran itu, dengan pengajaran yang dipelajari, kami membina kemudahan serba canggih untuk menjalankan ujian pandemik."

DEKAT DENGAN LAPANGAN TERBANG

Kedudukannya yang dekat dengan Lapangan Terbang Changi menyingkatkan masa tindak balas untuk saringan CBRNE terhadap kargo udara dengan ketara, menurut Agensi Sains dan Teknologi Home Team (HTX).

"Dunia sedang berubah di depan mata kita. Kita melihatnya. Ancaman semakin berkembang, dan terdapat pelaku di seluruh dunia yang ingin melakukan perkara buruk," kata Encik Shanmugam.

Lokasi kemudahan baharu itu membolehkan Pasukan Kargo Udara Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) menghantar sampel ujian swab kargo dengan cepat kepada HTX untuk pemprosesan di lokasi secara masa nyata, yang membawa kepada pengesanan dan tindak balas awal terhadap sebarang ancaman.

Sebelum ini, sampel sedemikian dari Changi terpaksa dihantar ke Makmal Pusat Pemeriksaan Woodlands milik HTX untuk diuji.

"Tentu lebih baik untuk mempunyai kemudahan di lokasi berhampiran dengan lapangan terbang. Dahulu, kami terpaksa menghantarnya ke Pasir Panjang atau Woodlands, ia memakan masa," kata Encik Shanmugam, yang juga Menteri Ehwal Dalam Negeri.

Beliau menambah bahawa kini terdapat masa bertindak yang lebih singkat, dan prosesnya lebih selamat, lebih bersifat digital serta automatik. "Ia adalah sebahagian daripada cara Home Team, keseluruhan Kementerian Ehwal Dalam Negeri, melakukan transformasi," katanya.

Kemudahan di Changi ini adalah makmal keempat seumpamanya di Singapura, dengan tiga lagi ditempatkan di bahagian utara, selatan, dan barat Singapura. Ia ditubuhkan dengan sokongan ICA dan Changi Airport Group.

Kemudahan baharu ini memperkukuh keselamatan sempadan, "kerana kami kini boleh mencapai kapasiti saringan yang lebih tinggi dengan ketepatan yang lebih baik dan bertindak lebih pantas terhadap sebarang ancaman," kata Penolong Pesuruhjaya Kanan Siew Chui Lin, Komander Domain Udara ICA.

Lapangan terbang itu menawarkan peluang untuk melakukan pengesanan awal patogen dan tindak balas pantas, disebabkan jumlah orang dan barangan yang tinggi melaluinya setiap hari. Mempunyai keupayaan makmal di lokasi berhampiran dengan lapangan terbang akan meningkatkan kecekapan ujian sampel semasa pandemik, yang amat penting dalam mencegah penyebaran dan penularan patogen.
Related article image
Makmal CBRNE yang baru dilancarkan, 16 Jan 2026. (Gambar: CNA/Justin Tan)
PENGAJARAN DARIPADA COVID-19

Semasa pandemik COVID-19, Pusat Kepakaran CBRNE membantu memproses sampel di makmalnya di Pasir Panjang. Reka bentuk makmal Changi yang baharu ini adalah berdasarkan pengajaran daripada tempoh tersebut.

Sebagai contoh, CBRNE@Changi direka khas untuk membolehkan ujian CBRNE dan ujian klinikal biasa dijalankan secara serentak dan pada kapasiti yang lebih tinggi semasa pandemik.

Semasa pandemik, pasukan CBRNE@Changi akan menjadi antara responden barisan pertama, membentuk barisan sokongan pertama dan memproses sampel sehingga makmal komersial boleh digerakkan untuk membantu.

"Masalah yang kami alami semasa COVID-19 adalah kami perlu menjaga saringan dan keselamatan sempadan, dan pada masa yang sama, menjalankan ujian swab COVID-19, jadi kedua-dua proses ini sebenarnya bertembung dan saling bertindih," kata Pengarah Pusat Kepakaran CBRNE HTX, May Ong.

Pada masa itu, pasukan tersebut terpaksa menghentikan saringan CBRNE dan meneruskan ujian klinikal sampel COVID-19. "Jadi kemudahan ini menangani kelemahan tersebut, di mana sebenarnya dua makmal kini boleh beroperasi tanpa berlaku konflik," kata Cik Ong.
Related article image
Encik K Shanmugam melawat makmal CBRNE, 16 Jan 2026. (Gambar: CNA/Raj Nadarajan)
DI LUAR PANDEMIK

Ciri utama kemudahan baharu ini adalah bidang CBRNE yang dikhaskan, di mana saintis menjalankan tugas operasi harian, seperti menguji sampel swab pada barangan kargo dari Lapangan Terbang Changi. Terdapat juga kawasan aliran kerja klinikal yang berasingan untuk menjalankan penyelidikan ke arah usaha mempersiapkan diri menghadapi pandemik.

Terdapat juga makmal penyelidikan yang dikenali sebagai Makmal FAST, di mana para saintis akan menjalankan Penyelidikan & Pengembangan (R&D) mengenai keupayaan baharu untuk menjaga sempadan Singapura. Kawasan ini boleh diubah suai untuk menyediakan kapasiti ujian tambahan semasa pandemik.

Di luar waktu pandemik, makmal ini digunakan untuk tujuan penyelidikan kerana "kami tidak boleh membina makmal hanya untuk menunggu tempoh berlaku pandemik," jelas Cik Ong. Beliau berkata kemudahan itu sedang dalam proses memohon lesen di bawah Akta Perkhidmatan Jagaan Kesihatan.

"Jika kita perlu bersiap sedia untuk pandemik, ia akan mengambil masa 48 hingga 72 jam untuk kita melakukan pembersihan makmal dan memastikan semuanya steril sebelum kita mula mengendalikan sampel pandemik," katanya.

Susun atur keseluruhan tempat ini direka sedemikian rupa untuk mengoptimumkan kecekapan operasi ujian semasa pandemik. Sebagai contoh, proses ujian di kawasan aliran kerja klinikal bersifat digital sepenuhnya. Sistem RFID yang digunakan membolehkan 96 sampel didaftarkan sekali gus, berbanding sebelum ini di mana para saintis perlu mengendalikan setiap sampel secara manual.

Dalam senario pandemik, koridor antara kawasan yang dikhaskan untuk operasi pandemik dan ruang operasi harian juga boleh ditutup untuk mengelakkan pencemaran silang.
Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita