Skip to main content

Singapura

Maklumat tambang & baki kad EZ-Link SimplyGo 'secara teknikal boleh' dipaparkan, namun lambat: LTA

Anggaran Waktu Membaca:
Maklumat tambang & baki kad EZ-Link SimplyGo 'secara teknikal boleh' dipaparkan, namun lambat: LTA

(Gambar: Robin Choo/TODAY)

Diterbitkan : 12 Jan 2024 11:24PM
SINGAPURA: Tiga hari selepas ia mengumumkan bahawa penumpang yang menggunakan SimplyGo tidak dapat melihat maklumat tambang di pagar tambang stesen MRT atau alat pengesan kad dalam bas, disebabkan cara transaksi sedemikian diproses, Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) menyatakan bahawa sebenarnya, ia "boleh dilaksanakan secara teknikal".

Isu tersebut menjadi keprihatinan utama dalam kalangan penumpang berikutan pengumuman pada Selasa (9 Jan) bahawa kad pembayaran bas dan kereta api harus dinaik taraf kepada sistem SimplyGo.
Dalam jawapannya kepada soalan Mediacorp, LTA menyatakan pada Jumaat (12 Jan) bahawa ketika kad EZ-Link SimplyGo diimbas, ia akan mengambil "beberapa saat" bagi pagar tambang stesen MRT dan alat pengesan kad dalam bas untuk mendapatkan dan menunjukkan baki kad, serta maklumat potongan tambang daripada sistem.

"Meskipun ia boleh dilakukan secara teknikal, ia akan melambatkan proses masuk dan keluar para penumpang," tambah LTA.

"Disebabkan jumlah tinggi penumpang yang menaiki MRT dan bas, ia akan menyebabkan barisan panjang yang tidak diingini."

Satu aduan serupa pada sistem SimplyGo adalah ia tidak memaparkan baki kad di pagar tambang stesen MRT dan alat pengesan kad dalam bas.

Sebaliknya, skrin tersebut hanya akan menunjukkan "SimplyGo", dan penumpang yang ingin memeriksa baki kad mereka harus menggunakan mesin tiket atau aplikasi SimplyGo.
"Walaupun (Sistem Tiket Berlandaskan Kad atau CBT) sudah menjalankan tugasnya dengan baik, sistem CBT bagi penumpang dewasa semakin menghampiri penghujung tempoh operasinya," dedah LTA pada Jumaat. Ia menambah bahawa dua daripada tiga penumpang dewasa sudah beralih kepada SimplyGo sejak Disember 2023.

Setakat ini, proses naik taraf tersebut tidak berjalan dengan lancar seperti yang diinginkan sebilangan penumpang. Sebahagian daripada mereka memberitahu Mediacorp bahawa mereka berdepan beberapa masalah.
LTA menyatakan bahawa jumlah naik taraf kad oleh penumpang di mesin tiket melonjak, dan lebih ramai orang memuat turun aplikasi SimplyGo berikutan pengumuman tersebut.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita