Maklumat peribadi lebih 57,000 pelanggan StarHub dibocorkan
StarHub menyatakan pada Jumaat (6 Ogos) bahawa maklumat peribadi - termasuk nombor kad pengenalan dan nombor telefon bimbit - milik lebih 57,000 pelanggan ditemui di laman pembuangan data pihak ketiga pada bulan lalu.
SINGAPURA: StarHub menyatakan pada Jumaat (6 Ogos) bahawa maklumat peribadi - termasuk nombor kad pengenalan dan nombor telefon bimbit - milik lebih 57,000 pelanggan ditemui di laman pembuangan data pihak ketiga pada bulan lalu.
Kebocoran tersebut ditemui semasa pemantauan online oleh pasukan keselamatan siber StarHub pada 6 Jul 2021.
Pasukan itu menemui fail yang dimuat naik secara haram yang mengandungi "jenis terhad maklumat peribadi yang berkaitan dengan pelanggan tertentu", kata StarHub dalam satu kenyataan.
Berdasarkan siasatan setakat ini, fail data itu mengandungi nombor kad pengenalan, nombor telefon bimbit, dan juga alamat emel milik 57,191 pelanggan, kata StarHub. Pelanggan-pelanggan itu telah melanggani khidmat StarHub sebelum 2007, tambah syarikat telko itu.
"Data peribadi nampaknya berusia sekitar 14 tahun. Tiada maklumat kad kredit atau akaun bank yang menghadapi risiko dan tiada sistem maklumat StarHub atau pangkalan data pelanggan yang terjejas," kata syarikat itu.
Sejauh ini tiada petunjuk bahawa data dalam dokumen tersebut "disalahgunakan secara hasad", tambahnya.
"Keselamatan data dan privasi pelanggan adalah isu serius buat StarHub, dan saya memohon maaf atas kebimbangan yang dialami pelanggan terjejas disebabkan oleh kejadian ini," kata Ketua Pegawai Eksekutif StarHub Nikhil Eapen.
"Kami akan bersikap telus dan akan terus memberi kemas kini kepada pelanggan kami. Kami akan memberikan sokongan kepada mereka yang terjejas," jamin Encik Eapen.
StarHub menyatakan pihaknya melaksanakan langkah-langkah keselamatan pada 6 Julai untuk melindungi kepentingan pelanggannya.
Sebuah pasukan pengurusan kejadian dikerah untuk mengakses dan mengawal keadaan. Syarikat itu juga melibatkan pasukan pakar forensik digital dan keselamatan siber untuk melancarkan siasatan.
StarHub menyatakan pihaknya juga "berusaha" untuk mendapatkan dokumen tersebut daripada laman pembuangan data berkenaan dan mengambil tindakan "segera dan sewajarnya" untuk menyemak langkah-langkah keselamatan sedia ada untuk melindungi "infrastruktur dan sistem teras".
Syarikat itu sedang bekerjasama rapat dengan pakar keselamatan siber dan pihak berkuasa relevan dalam hal ini, katanya.
Pelanggan yang terjejas akan diberitahu melalui emel menjelang 20 Ogos.
Syarikat itu juga menawarkan khidmat pemantauan kredit percuma selama enam bulan kepada pelanggan yang terjejas, melalui Biro Kredit Singapura.
Pelanggan yang terjejas digalak supaya mendaftar diri bagi khidmat tersebut setelah mereka menerima makluman emel, meskipun tiada "bukti setakat ini bahawa data tersebut telah disalah guna", kata StarHub.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.