Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Maklumat peribadi 2,400 anggota MINDEF, SAF mungkin terjejas akibat kebocoran data

Data peribadi kepunyaan 2,400 anggota Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) mungkin terjejas akibat kebocoran data peribadi.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 21 Dec 2019 05:44PM Dikemas Kini : 22 Dec 2019 02:55PM

SINGAPURA: Data peribadi kepunyaan 2,400 anggota Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) mungkin terjejas akibat kebocoran data peribadi.

ST Logistics dalam satu kenyataan media pada Sabtu (21 Dis) mendedahkan kebocoran yang berpotensi berlaku itu terbit akibat siri kegiatan emel 'phishing' (memancing data) baru-baru ini melibatkan perisian hasad yang dihantar ke akaun emel para pekerjanya.

"Data ini, yang terkandung dalam fail-fail kerja dalam komputer kerja terjejas, mungkin dibocorkan secara senyap," tambahnya.

Menurut ST Logistics lagi, pihaknya sudah melakukan "siasatan forensik menyeluruh" ke atas aktiviti-aktiviti tersebut menerusi pasukan keselamatan sibernya sendiri dengan sokongan pakar-pakar keselamatan siber pihak luar.

Syarikat tersebut menambah pihaknya sudah memaklumkan Suruhanjaya Perlindungan Data Peribadi (PDPC) dan Pasukan Respons Kecemasan Komputer Singapura (SingCERT) tentang "kemungkinan kebocoran" data peribadi itu pada 16 Disember.

ST Logistics mengendalikan beberapa khidmat logistik, termasuk khidmat runcit eMart dan khidmat pelengkapan bagi kakitangan MINDEF dan SAF.

“Bagi urus niaga tertentu, untuk memastikan khidmat tersebut dilakukan secara betul, beberapa data peribadi digunakan. Ini termasuk nama, nombor NRIC, alamat rumah atau nombor telefon," tambah syarikat itu.

Individu-individu yang terjejas akan dimaklumkan tentang kemungkinan data peribadi mereka terganggu.

Ketua pegawai eksekutif ST Logistics Loganathan Ramasamy berkata syarikat itu komited untuk memastikan semua data peribadi dalam pemilikan syarikat itu dijaga "dengan tahap integriti tertinggi".

"Kami memohon maaf secara ikhlas atas kejadian ini dan kami bertanggungjawab ke atas para pelanggan dan pihak-pihak berkepentingan untuk memastikan data peribadi dijaga sebaik mungkin," tambah beliau.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan