Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Makluman bagi tempat kerja disemak; MOM rancang pertingkat kadar vaksinasi

Makluman mengenai vaksinasi COVID-19 di tempat kerja kini sedang disemak, sedang pihak berkuasa merancang untuk mempertingkatkan kadar vaksinasi bagi memastikan tempat kerja kekal selamat, menurut Kementerian Tenaga Manusia (MOM) pada Khamis (19 Ogos).

Anggaran Waktu Membaca:
Makluman bagi tempat kerja disemak; MOM rancang pertingkat kadar vaksinasi

(Gambar: CNA)

Diterbitkan : 19 Aug 2021 05:19PM Dikemas Kini : 19 Aug 2021 05:28PM

SINGAPURA: Makluman mengenai vaksinasi COVID-19 di tempat kerja kini sedang disemak, sedang pihak berkuasa merancang untuk mempertingkatkan kadar vaksinasi bagi memastikan tempat kerja kekal selamat, menurut Kementerian Tenaga Manusia (MOM) pada Khamis (19 Ogos).

Di bawah makluman sedia ada, "para majikan mungkin mensyaratkan vaksinasi COVID-19 sebagai satu dasar syarikat bagi persekitaran yang lebih berisiko terdedah kepada COVID-19," tambah kementerian itu.

"Menyusuli pengumuman oleh (Pasukan Bertindak Berbilang Kementerian COVID-19) mengenai vaksinasi atau rejim ujian berkala bagi sektor-sektor terpilih, rakan-rakan perikatan tiga pihak kini sedang mengkaji makluman tersebut, dengan rancangan untuk mempertingkatkan lagi kadar vaksinasi demi memastikan tempat-tempat kerja kita kekal selamat," menurut jurucakap MOM.

"Kami sedang memuktamadkan makluman yang dikemas kini dan versi yang sudah disemak itu akan dikeluarkan tidak lama lagi."

Kenyataan tersebut dikeluarkan sebagai respons kepada pertanyaan Mediacorp selepas Jetstar Asia mengumumkan bahawa ia akan mensyaratkan kesemua kakitangannya lengkap divaksin sebelum 1 Oktober.

Menurut syarikat penerbangan itu, langkah tersebut adalah sebahagian daripada "komitmennya kepada keselamatan" dan "sejajar dengan panduan oleh Pemerintah Singapura".

Singapore Airlines (SIA) juga memperincikan butiran dasar vaksinasinya pada Rabu, sambil menambah bahawa kakitangan barisan hadapan syarikat itu dan cabang penerbangan tambang rendahnya, Scoot, masing-masing perlu divaksin sepenuhnya sebelum 1 Sep dan 1 Dis.

"Ini selaras dengan makluman semasa daripada rakan-rakan perikatan tiga pihak," dedah jurucakap SIA semasa menjawab pertanyaan Mediacorp.

Garis panduan sedia ada yang dikeluarkan oleh MOM melalui makluman pada 2 Jul menyatakan bahawa pihak majikan tidak seharusnya mewajibkan vaksinasi COVID-19. Ini selari dengan dasar vaksinasi negara.

Sungguhpun demikian, ia menambah terdapat "persekitaran kerja yang kecil dan luar biasa" di mana sebilangan pekerja mungkin terdedah kepada risiko jangkitan COVID-19 yang lebih tinggi.

Ini termasuk anak kapal, pekerja makmal yang terlibat dengan ujian COVID-19 dan pekerja maritim barisan hadapan.

Para pekerja yang enggan mendapatkan vaksin harus dikerahkan ke "tugasan lain dengan risiko jangkitan COVID-19 yang lebih rendah," menurut kementerian tersebut.

"Para pekerja yang enggan divaksin tidak seharusnya dihukum seperti diberhentikan kerja atas alasan enggan divaksin."

Setakat Selasa, 77 peratus penduduk Singapura sudahpun lengkap divaksin atau menerima kedua-dua dos vaksin COVID-19, manakala 82 peratus sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos.

Singapura melaporkan sebanyak 66,334 kes jangkitan COVID-19 setakat Rabu, dengan 46 kematian dicatatkan sejauh ini. 

Sumber : CNA/IH/ih
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan