Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Makin ramai siswa baru dapat kerja tetap pada 2021

Kadar siswazah yang mendapat pekerjaan tetap sepenuh masa enam bulan selepas peperiksaan akhir naik kepada 84 peratus pada 2021 berbanding 69.8 peratus setahun sebelumnya.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 16 Feb 2022 03:10PM Dikemas Kini : 16 Feb 2022 11:06PM

SINGAPURA: Kadar siswazah yang mendapat pekerjaan tetap sepenuh masa enam bulan selepas peperiksaan akhir naik kepada 84 peratus pada 2021 berbanding 69.8 peratus setahun sebelumnya.

Ini menurut dapatan Tinjauan Bersama Pekerjaan Siswazah Universiti Berautonomi tahunan yang diterbitkan pada Rabu (16 Feb).

Kadar lulusan yang mendapat pekerjaan sepenuh masa bagi kohort 2021 "adalah setanding dengan kadar sebelum COVID-19", menurut tinjauan itu. Pada 2019, kadar lulusan universiti yang mendapat pekerjaan sepenuh masa secara tetap adalah 81.7 peratus.

Jumlah siswazah yang bekerja sambilan atau mendapat pekerjaan sementara merosot kepada 8.7 peratus berbanding 22.3 peratus pada 2020.

Sekitar 1.7 peratus bekerja secara bebas, naik sedikit dari 1.5 peratus pada 2020.

Tinjauan terkini itu meninjau 11,200 siswazah baru dari program sepenuh masa di Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Universiti Nasional Singapura (NUS), Universiti Pengurusan Singapura (SMU) dan Universiti Sains Kemasyarakat Singapura (SUSS).

Dua lagi universiti berautonomi adalah Universiti Teknologi dan Reka Bentuk Singapura (SUTD) serta Institut Teknologi Singapura (SIT).

"Kesemua enam universiti berautonomi (AU) telahpun meneruskan usaha untuk menyokong siswazah masing-masing di tengah-tengah pandemik COVID-19," menurutnya dalam satu kenyataan media.

"Selain daripada menawarkan bimbingan serta sokongan kerjaya secara meluas - yang termasuk padanan pekerjaan, bimbingan dan perancangan kerjaya yang disesuaikan - kesemua AU itu turut memanfaatkan rangkaian rakan kongsi industrinya untuk melakarkan peluang-peluang penempatan kerja serta perantisan bagi para siswazah."

KENAIKAN GAJI

Gaji bulanan kasar median dalam kalangan siswazah baru yang bekerja sepenuh masa secara tetap meningkat kepada S$3,800 berbanding S$3,700 pada 2020.

Kenaikan itu berlaku bagi kebanyakan kelompok pekerjaan termasuk seni, reka bentuk dan media, perniagaan, sains kesihatan serta teknologi maklumat dan digital.

PEKERJAAN SELEPAS LATIHAN POS SISWAZAH

Satu tinjauan turut dijalankan bagi para siswazah dari NUS, NTU, SMU dan SUSS yang menjalani latihan amali pos siswazah sebelum menceburi bidang kerjaya masing-masing.

800 lulusan yang menyertai tinjauan itu merupakan lulusan jurusan Seni Bina pada tahun 2018 serta mereka daripada jurusan Sains Bioperubatan dan Perubatan Cina, Undang-Undang, Perubatan serta Farmasi yang sudahpun selesai menjalani latihan untuk tahun pertama sebaik sahaja meraih ijazah pada 2020.

Dalam kalangan mereka yang mempunyai pekerjaan, 98.1 peratus daripada mereka mendapat pekerjaan selepas selesai menjalani latihan pada tahun lalu, iaitu kenaikan dari 96.8 peratus pada 2020, menurut tinjauan itu.

Mereka yang mempunyai pekerjaan sepenuh masa secara tetap membentuk 96 peratus, iaitu peningkatan dari 93.5 peratus pada 2020. Lagi 0.3 peratus bekerja secara bebas, serupa dengan kadar pada tahun sebelumnya.

Kadar bagi siswazah yang mempunyai pekerjaan sambilan atau pekerjaan sementara merosot kepada 1.8 peratus dari 3.0 peratus pada 2020.

Lulusan daripada Program Pelatih SGUnited membentuk 0.6 peratusan mata daripada jumlah itu, susut dari 1.3 peratusan mata pada 2020, menurut kesemua universiti itu.

Sekitar 0.4 peratus siswazah yang ditinjau berkata mereka bekerja sambilan atau sementara bukan secara rela.

Gaji bulanan kasar median bagi mereka yang mendapat pekerjaan tetap sepenuh masa dalam kumpulan itu pula menginjak kepada S$5,000 pada 2021 dari S$4,625 pada 2020.

Tinjauan bagi SUTD serta SIT masih dijalankan dan akan diterbitkan pada satu tarikh kemudian.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan