Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Makin ramai sertai bengkel & program kesejahteraan mental bagi tangani tekanan emosi dek COVID-19

Baru beberapa minit bengkel persiapan mental dimulakan, salah seorang pesertanya mengalirkan air mata sedang dia memberitahu mereka yang berada di sana tentang harapannya untuk mendapatkan bantuan. Ini kerana dia berasa seolah-olah "tidak dapat menjalani kehidupannya dengan baik".

Anggaran Waktu Membaca:
Makin ramai sertai bengkel & program kesejahteraan mental bagi tangani tekanan emosi dek COVID-19

(Gambar: Mediacorp)

Diterbitkan : 09 Jan 2021 10:26PM Dikemas Kini : 09 Jan 2021 10:39PM

SINGAPURA: Baru beberapa minit bengkel persiapan mental dimulakan, salah seorang pesertanya mengalirkan air mata sedang dia memberitahu mereka yang berada di sana tentang harapannya untuk mendapatkan bantuan. Ini kerana dia berasa seolah-olah "tidak dapat menjalani kehidupannya dengan baik".

Dia kemudian meminta maaf kerana tiba-tiba menangis. Namun, Profesor Madya Angie Chew memberitahunya bahawa tangisannya itu tidak menjadi masalah dan seorang penolong terus memeluk peserta berkenaan untuk membangkitkan semangatnya.

Daripada 30 peserta bengkel tersebut, ramai juga yang berkongsi bahawa mereka mengalami perubahan yang mendadak pada kehidupan mereka, sama ada disebabkan COVID-19 atau anggota keluarga yang jatuh sakit.

Mereka mahu belajar teknik-teknik untuk menangani tekanan dengan lebih baik melalui bengkel Mengurangkan Tekanan Berasaskan Kesedaran (MBSR) yang dianjurkan oleh pertubuhan bukan untuk mengaut keuntungan Brahm Centre. Bengkel itu diadakan pada 5 Januari.

Bengkel-bengkel MBSR, yang dihasilkan oleh Dr Jon Kabat-Zinn dari Sekolah Perubatan Universiti Massachusetts pada tahun 1979, membantu para pesertanya menangani tekanan, kemurungan atau kerisauan.

Ia satu amalan sekular, yang kini ditawarkan di banyak tempat di merata dunia termasuk hospital, sekolah dan penjara.

"Mungkin disebabkan mereka tidak tahu ke mana mereka hendak pergi. Jadi ini bukan setakat 'cuti' secara fizikal malah secara mental juga," kata Profesor Chew.

"Terlalu tertekan boleh menimbulkan kerisauan yang tidak terhingga."

Profesor Chew memberitahu Mediacorp bahawa terdapat lebih banyak pertanyaan tentang bengkel kesedaran yang dianjurkan pusat tersebut sejak tempoh pemutus rantaian jangkitan COVID-19 pada bulan April 2020 dan terdapat senarai menunggu bagi kelas-kelas dan bengkel-bengkel sedemikian.

Pusat itu melatih lebih 23,000 orang pada tahun lalu, naik tiga kali ganda berbanding 2019. Kebanyakannya adalah bengkel-bengkel korporat dan juga persidangan-persidangan bagi mempertingkatkan tahap persiapan mental dalam bulan Ogos, dengan 5,000 orang mendaftarkan diri.

LEBIH BANYAK BENGKEL KORPORAT

Studio-studio yoga dan meditasi yang dihubungi Mediacorp turut mendedahkan bahawa mereka juga menerima permintaan yang menjangkaui jumlah bagi kelas-kelas seumpama itu, yang lazimnya diadakan melalui kumpulan-kumpulan kecil.

The Singing Bowl Gallery, yang menumpukan perhatian kepada bunyi-bunyian meditasi, kini mengadakan kelas setiap hari disebabkan sekatan ke atas saiz kelas serta permintaan yang meningkat. Jumlah peserta yang mengikuti kelasnya setiap bulan melonjak kepada 40 orang berbanding 15 orang sebelum pandemik.

(Gambar: Mediacorp)

Cik War War Lwin Tun dari syarikat Yoga Ohmsantih berkata beliau biasanya menerima lebih banyak permintaan untuk mengendalikan bengkel-bengkel yoga. Namun tahun lalu, jumlah bengkel meditasi dan keutuhan mental bagi syarikat-syarikat korporat melonjak. Beliau kini mengendalikan empat bengkel sedemikian dalam sebulan.

"Saya rasa syarikat-syarikat juga mempunyai kesedaran bahawa para pekerja mereka mungkin lebih tertekan sekarang," kata beliau.

Cik Dawn Sim, pengarah The Open Centre, yang mengendalikan program-program kesejahteraan dan daya tahan mental juga berkata lebih ramai orang menyertai kursus-kursus yang ditawarkan.

Selain itu, bengkel-bengkel korporat yang dikendalikan sudah beralih tumpuan daripada kepimpinan kepada pengurusan stres dan tekanan.

Syarikat perunding kesihatan, Health Can Be Fun, yang membantu menganjurkan bengkel-bengkel kesejahteraan juga menyaksikan penambahan pada jumlah program kesejahteraan mental. Ia naik tiga kali ganda pada 2020 - dari satu atau dua dalam suku pertama kepada satu atau dua sebulan.

Syarikat-syarikat daripada pelbagai industri juga menunjukkan minat untuk mengadakan latihan bagi pengurusan tekanan, kesedaran dan pembangunan daya bingkas serta bengkel-bengkel teknik pernafasan dan terapi seni yang turut popular, kata seorang jurucakap syarikat berkenaan.

(Gambar: SAM)

"Di Asia dan Singapura, kerap terdapat stigma berhubung isu kesihatan mental dan mendapatkan bantuan bagi menanganinya. Bagaimanapun, COVID-19 banyak mengubah landskapnya. Sejak COVID-19 menular, banyak syarikat dan individu mengalami kesannya terhadap kesihatan dan kesejahteraan mental," kata beliau.

BAGAIMANA BOLEH MENINGKAT?

Wujudnya virus baru dan kesannya terhadap masyarakat serta ekonomi mungkin ada kaitan dengan fenomena itu.

Rasa bimbang dan gusar yang disebabkan oleh COVID-19 serta kesan-kesannya boleh menjadi keterlaluan bagi sesetengah orang, kata ahli psikologi klinikal di Institut Kesihatan Mental (IMH), Sara-Ann Lee.

"Pandemik ini menekankan betapa pentingnya kesihatan mental memandangkan banyak negara tepaksa menguatkuasakan dasar-dasar yang memerlukan individu mematuhi jarak selamat bagi membendung penularannya."

Beliau menambah, ramai yang mengadu berasa sunyi, terasing dan murung akibat langkah-langkah 'perintah berkurung' di banyak negara.

Di Singapura, tempoh pemutus rantaian jangkitan berlarutan selama dua bulan dan ramai orang yang kehilangan mata pencarian atau dipotong gaji, sementara sebahagian perniagaan dibelenggu kesulitan untuk terus bertahan walaupun disokong dengan banyak subsidi pemerintah.

(Gambar: Mediacorp)

Kebanyakan orang terpaksa menyesuaikan diri dengan langkah-langkah jarak selamat dan corak kehidupan baru sedang sekolah dan pejabat kini beralih ke rumah mereka sendiri.

Sekatan perjalanan yang menyebabkan ramai orang tidak dapat ke luar negara untuk bercuti juga mungkin menjadi punca di sebalik permintaan lebih tinggi bagi program-program kesejahteraan, sedang mereka meluangkan lebih banyak masa di Singapura, menurut sesetengah studio.

LEBIH BANYAK BANTUAN

Pada bulan Oktober, Pemerintah menubuhkan Pasukan Bertindak Kesejahteraan Mental COVID-19 untuk menangani kesan pandemik ke atas kesihatan mental.

Mengumumkan penubuhan pasukan bertindak itu pada 10 Oktober lalu, yang juga sempena Hari Kesihatan Mental Sedunia, Perdana Menteri Lee Hsien Loong berkata dengan penularan COVID-19, lebih ramai orang berdepan dengan tekanan dan gangguan pada kehidupan dan mata pencarian mereka.

"Pihak berkuasa kesihatan di merata dunia bukan sahaja terpaksa melawan COVID-19 tetapi juga menangani kesannya terhadap kesihatan mental penduduk," kata PM Lee.

(Petikan laman mindline.sg)

Pejabat Transformasi Jagaan Kesihatan Kementerian Kesihatan (MOHT) bersama dengan agensi-agensi Perkhidmatan Awam yang lain sudah melancarkan laman midline.sg, yang membantu penduduk menilai kesejahteraan mental mereka dan menyatukan sumber-sumber yang boleh dimanfaatkan untuk menangani tekanan.

Pada pertengahan Oktober, satu chatbot kecerdasan buatan atau AI dipanggil Wysa turut ditampilkan dalam laman tersebut.

Setakat sehingga Disember 2020, lebih 100,000 orang sudah menggunakan laman tersebut, menurut MOHT.

Cik Wong Yin Li, yang mengetuai divisyen belia Khidmat Masyarakat Fei Yue berkata, sumber seperti midline berguna kerana anggota masyarakat yang memerlukan boleh mendapatkan bantuan tanpa mendedahkan identiti mereka dan pada bila-bila masa yang sesuai bagi mereka.

"Ia amat baik untuk klien-klien yang perlu untuk lebih memahami dan berasa selamat sebelum mereka mengorak langkah selanjutnya, iaitu mendapatkan khidmat secara bertemu muka," kata beliau.

Para pengamal yang dihubungi Mediacorp juga menyarankan agar mereka yang cuba mempertingkatkan tahap kekuatan mental mereka boleh melakukannya menerusi sebuah aplikasi sebelum memutuskan untuk mengikuti bengkel atau kelas.

Cik Sim menambah: "Mereka boleh bermula di mana-mana sahaja, pada bila-bila masa. Terdapat banyak aplikasi yang bagus dan jika mereka mahukan lebih banyak sokongan, mereka boleh mendaftar dengan salah satu pusat."

CARA KENAL PASTI, RESPONS TERHADAP TEKANAN

Cik Lee dari IMH berkata tahun baru ini, tahap kesedaran dan tumpuan terhadap kesejahteraan mental mungkin akan terus dipertingkatkan sedang masyarakat menjadi lebih prihatin tentang isu-isu dan mengambil langkah untuk menjaga kesejahteraan mental mereka sendiri.

"Tekanan adalah sebahagian daripada kehidupan kita sehari-hari. Lebih-lebih lagi sedang kita melawan COVID-19. Kita semua perlu berupaya mengenal pastinya dan bertindak dengan cara yang sihat untuk menanganinya," kata beliau.

Cik Lee turut mengesyorkan agar orang ramai mengawal jumlah maklumat mengenai wabak tersebut dan hanya mempercayai sumber maklumat yang diyakini.

"Jaga tubuh anda dengan memastikan anda mendapatkan khasiat dan tidur, juga senaman yang secukupnya. Luangkan waktu untuk kegiatan yang akan menjaga diri anda sambil anda berehat dan bersantai," tambah beliau.

Profesor Madya Chew berkata terdapat masa di mana agak sukar untuk menangani tekanan dan kerisauan yang bermain dalam benak fikiran, walaupun mereka cuba untuk mengawalnya. Maka itulah masanya teknik sebegini amat berguna.

Kerap kali, ketidakupayaan untuk melepaskan perkara-perkara yang sudah berlaku yang akan menimbulkan emosi negatif yang berpanjangan. Maka itu, "sikap-sikap asas yang betul" boleh membantu, ujar beliau.

"Sikap asas yang betul untuk mewujudkan kekuatan mental adalah untuk sentiasa bersikap ingin tahu supaya anda kurang menghakimi; untuk menerima apa yang tidak dapat diubah buat masa ini. Terus bersyukur dengan apa yang sudah dikurniakan dan bukan menumpukan kepada apa yang kurang," nasihat beliau. 

Sumber : CNA/NK/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan