Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Makin ramai rakyat SG 40-59 tahun buat pinjaman bagi tangani kos sara hidup

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Dalam tempoh dua tahun lalu, sejumlah tinggi penduduk pertengahan usia di negara ini membuat pinjaman untuk menangani tekanan kos kehidupan seperti perbelanjaan rumah, kos perubatan dan hutang kad kredit.

Trend ini dikenal pasti menerusi data yang diberikan oleh platform pemadanan hutang Lendela. Platform itu memadankan individu yang mahu meminjam wang dengan pelbagai bank dan juga pemiutang berlesen bukan bank di Singapura.

Menurut satu laporan yang dikeluarkan pada 8 Ogos, jumlah permohonan hutang daripada penduduk pertengahan usia (40 hingga 59 tahun) naik 28 peratus dalam tempoh dua tahun lalu. Purata jumlah hutang bagi kumpulan ini adalah S$22,000.

Kumpulan tersebut menyumbang kepada sekitar sepertiga permohonan hutang hari ini.

Peminjam muda yang berusia antara 18 dengan 29 tahun menyumbang lebih suku permohonan setakat hari ini, meskipun jumlah permohonn mereka merosot sebanyak 25 peratus sejak 2022.

Walaupun ia tidak memberikan angka mutlak, atas sebab sensitiviti komersil, seorang jurucakap Lendela berkata perangkaannya berdasarkan hampir 200,000 permohonan daripada rakyat Singapura dan penduduk tetap yang dihimpunkan platform tersebut dari 2022 hingga 2024.

Jurucakap itu juga berkata data mereka menjejaki permohonan hutang, bukan pengagihan hutang, dan terdapat "sedikit perbezaan" antara kedua-dua angka.

Encik Bryan Tay, pengurus negara Singapura platform itu, berkata mereka melihat "kenaikan perlahan tetapi konsisten dalam permohonan hutang" sebahagian besarnya dalam kalangan rakyat Singapura pertengahan usia dan peminjam dengan gaji melebihi median - iaitu sekitar S$62,000 pada 2023.

Ternyata, laporan itu juga menunjukkan kenaikan 35 peratus dalam jumlah permohonan daripada peminjam dengan perdapatan pertengahan - yang bergaji antara S$S$48,000 dengan S$84,000 setiap tahun.

Begitu juga, terdapat lonjakan 64 peratus dalam jumlah permohonan daripada peminjam berpendapatan pertengahan hingga tinggi - iaitu mereka yang bergaji melebihi S$84,000 setahun.

"Bila diperhatikan, kami melihat bahawa kenaikan ini berpunca daripada kos yang meningkat, kerana kebanyakan sebab biasa apabila membuat pinjaman dikaitkan dengan kos kehidupan dan hutang - seperti bil berulang, penggabungan hutan dan kemudahan kredit sedia ada," kata Encik Tay.

Jurucakap Lendela itu menambah firma tersebut berupaya memastikan sebab-sebabnya kerana peminjam diwajibkan menyatakan tujuan pinjaman di mana-mana bank atau pemiutang berlesen.

MENGAPA INI PENTING?

Menurut laporan Lendela, seperlima daripada semua permohonan hutang disebabkan kos kehidupan adalah bagi jumlah melebihi S$20,000.

Jumlah peminjam disebabkan kos kehidupan dengan hutang sedia ada naik 25 peratus dari Jun 2022 hingga Jun 2024. Jumlah mereka yang mempunyai hutang besar melebihi S$50,000 melonjak 56 peratus dalam tempoh yang sama.

Ini menunjukkan "keperluan meningkat bagi bantuan dengan menguruskan perbelanjaan besar dan hutang dalam kalangan rakyat Singapura di tengah-tengah tekanan kos", kata Encik Tay.

Namun kebimbangan mengenai kenaikan kos bukan sesuatu yang baharu dan sudah menjadi sebahagian perbincangan awam di Singapura sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Satu usulan mengenai kos kehidupan yang dibentangkan oleh Parti Pekerja pada November tahun lalu dibahaskan di Parlimen selama lebih tujuh jam sebelum diluluskan dengan tiga pindaan penting daripada Parti Tindakan Rakyat.

Pada April 2024, satu tinjuan oleh Institut Kajian Dasar dan CNA mendapati sembilan daripada 10 rakyat muda Singapura berusia 21 hingga 39 tahun berasa terjejas oleh kenaikan kos kehidupan.

Sebagai sebahagian daripada langkah Pemerintaah untuk membantu rakyat Singapura dengan kebimbangan itu, Kementerian Kewangan mengumumkan pada Selasa (13 Ogos) bahawa 2.4 juta rakyat dewasa Singapura yang layak akan menerima bayaran tunai sekali sahaja antara S$200 dengan S$400 pada September.

MENGAPA ORANG BUAT PINJAMAN

Laporan itu mendapati empat daripada enam sebab utama untuk membuat pinjaman dikaitkan dengan kos kehidupan.

Ini termasuk:

Penggabungan hutang (30.8 peratus)
Bil (13.7 peratus)
Perbelanjaan rumah dan keluarga (8.2 peratus)
Hutang kad kredit (8 peratus)
Pinjaman bagi ubah elok dan perbelanjaan perniagaan masing-masing menyumbang 6.3 peratus dan 5.1 peratus daripada keseluruhan permohonan.

Laporan itu juga mendapati meskipun semua pesara berusia 60 tahun dan ke atas menyumbang hanya tiga peratus permohonan hari ini, terdapat lonjakan 50 peratus permohonan hutang bagi kumpulan ini sejak 2022.

Sebaliknya, terdpat sedikit kemerosotan dalam jumlah peminjam dalam lingkungan usia 30an, turun daripada sekitar 40 peratus kepada 37.6 peratus.
Sumber : Today/NK/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan