Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Makin ramai rakyat S’pura sedar tentang perubahan iklim tapi kurang bertindak bagi tanganinya

Sebilangan aktivis percaya bahawa meskipun lebih ramai rakyat Singapura sedar tentang perubahan iklim, tahap pemahaman mereka masih cetek, dan perubahan pada tabiat mereka belum cukup untuk meninggalkan kesan yang ketara.

Anggaran Waktu Membaca:
Makin ramai rakyat S’pura sedar tentang perubahan iklim tapi kurang bertindak bagi tanganinya

Mahasiswa Kolej Yale-NUS adalah antara para aktivis di Singapura yang giat berusaha meningkatkan kesedaran tentang perubahan iklim. (Gambar: Facebook/Fossil Free Yale-NUS)

Diterbitkan : 25 Aug 2019 11:51AM Dikemas Kini : 25 Aug 2019 11:57AM

SINGAPURA: Sebilangan aktivis percaya bahawa meskipun lebih ramai rakyat Singapura sedar tentang perubahan iklim, tahap pemahaman mereka masih cetek, dan perubahan pada tabiat mereka belum cukup untuk meninggalkan kesan yang ketara.

Kebanyakan daripada syarikat-syarikat, badan-badan pemerintah dan masyarakat lebih luas kurang menghayati betapa serius isu perubahan iklim, dan lebih banyak langkah perlu segera diambil untuk menangani krisis itu, kata para aktivis.

Encik Sivasothi N, 52 tahun, seorang pensyarah kanan di Jabatan Sains Biologi Universiti Nasional Singapura (NUS) adalah antara mereka yang terpegun dengan perubahan minda di negara ini, walaupun sederhana.

Beliau memberitahu Mediacorp pada Jumaat (23 Ogos) bahawa beliau terkejut apabila mendengar pegawai-pegawai pentadbiran NUS bersikap terbuka terhadap permintaan sekumpulan aktivis mahasiswa untuk menyediakan lebih banyak pilihan makanan daripada bahan-bahan tumbuhan di kantin-kantin seluruh kampus.

LEBIH PEKA TERHADAP PERUBAHAN IKLIM

Ada pula rakyat Singapura pertengahan usia yang mempelajari mesej penting mengenai usaha menangani perubahan iklim dari mereka yang lebih muda.

Cik Chan Yen Ling, 51 tahun, mula memilih untuk tidak menggunakan beg plastik ketika membeli-belah sejak beliau menghadiri majlis penyampaian ijazah anak perempuannya di Edinburgh, Scotland pada Julai.

Anak perempuannya, 22 tahun, yang mengikuti kursus Sains Ekologi dan Sekitaran di Universiti Edinburgh, membawa beg sendiri ke pasar raya.

Naib Presiden pertubuhan bukan pemerintah bagi perlindungan alam sekitar, 'Earth Society', Low Chip Khoon, 46 tahun, berkata, terdapat peningkatan pada jumlah syarikat yang menghubungi kumpulan itu untuk menganjurkan ceramah mengenai perubahan iklim.

PEMAHAMAN MASIH CETEK

Cik Tan Beng Chiak, 57 tahun, seorang anggota Persatuan Pencinta Alam Singapura dan anggota lembaga Institut Jane Goodall berkata, meskipun rakyat Singapura mempunyai kesedaran lebih tinggi mengenai perubahan iklim, kebanyakan daripada mereka masih tidak sedar akan kesan tindakan mereka terhadap alam sekitar.

Meskipun mereka tahu bahawa ia satu keprihatinan, mereka masih akan mengutamakan kepentingan peribadi, seperti menggunakan alat hawa dingin atau membiarkan air paip mengalir," katanya.

Encik Subaraj Rajathurai, 56 tahun, pengarah Strix Wildlife Consultancy, sebuah kumpulan sejarah alam semula jadi tempatan, menegaskan bahawa keseriusan perubahan iklim perlu difahami sepenuhnya memandangkan anggaran yang dibuat buat masa ini mungkin tidak menggambarkan realiti krisis iklim dengan tepat.

HAKIKAT ISU SEBENAR MESTI DIAKUI

Anggota Parlimen Dilantik Anthea Ong memberi amaran jika perubahan iklim tidak dipandang serius, Pemerintah dan masyarakat luas mungkin tidak sedar tentang kesan-kesannya terhadap struktur masyarakat Singapura.

Cik Ong memberitahu Mediacorp pada Khamis (22 Ogos) bahawa golongan belia mengongsi dengannya tentang kekhuatiran mereka terhadap masa depan anak mereka akibat kesan teruk perubahan iklim yang digambarkan.

PEMERINTAH, SYARIKAT TERAJUI USAHA

Cik Tan berkata, pada dasarnya, kesedaran awam masih tidak mencukupi untuk mengekang kesan-kesan akibat perubahan iklim.

"Akhirnya, kita memerlukan gabungan tekad politik, komersil dan industri serta (kesedaran) awam untuk melakukan perubahan. Saya fikir mereka yang paling perlu mengubah (fikiran mereka) adalah pihak industri kerana tindakan mereka meninggalkan kesan lebih mendalam berbanding orang awam," katanya.

Encik Aidan Mock, 23 tahun, seorang mahasiswa Kolej Yale-NUS dan salah seorang pengasas kumpulan Fossil Free Yale-NUS berkata, kegiatan aktivis mesti menjangkaui pengurangan penggunaan straw dan beg plastik supaya benar-benar dapat membawa perubahan.

Kesedaran awam yang lebih tinggi mengenai kesan kegiatan industri terhadap pengeluaran gas boleh meningkatkan tekanan terhadap syarikat-syarikat supaya menghentikan pembakaran bahan bakar fosil.  

Sumber : Today/ZM/zm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan