Skip to main content

Singapura

Makin ramai penduduk Woodlands adu bau busuk bak 'bangkai kucing', 'telur busuk'

Sepanjang beberapa bulan lalu, semakin ramai penduduk Woodlands yang membuat aduan tentang bau busuk di kawasan itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Makin ramai penduduk Woodlands adu bau busuk bak 'bangkai kucing', 'telur busuk'

Flat-flat di Woodgrove. (Gambar: TODAYonline)

Diterbitkan : 07 Oct 2021 08:34AM Dikemas Kini : 07 Oct 2021 08:39AM

SINGAPURA: Sepanjang beberapa bulan lalu, semakin ramai penduduk Woodlands yang membuat aduan tentang bau busuk di kawasan itu.

Mereka antara lain menyifatkan bau itu seperti tahi lembu, telur busuk, bau baja bahkan juga bak bangkai kucing.

Setakat ini, tiada seorang pun yang dapat mengenal pasti punca bau busuk itu meskipun ladang-ladang di Lim Chu Kang yang terletak berdekatan disyaki adalah puncanya.

Isu tersebut dikemukakan pada Isnin (4 Okt) oleh Anggota Parlimen GRC Marsiling-Yew Tee Hany Soh di Parlimen.

Beliau mahu mengetahui bilangan aduan yang diterima Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) sepanjang bulan lalu mengenai bau busuk itu dan bagaimana agensi itu menyiasat puncanya.

Dalam jawapan bertulisnya, Menteri Kemampanan dan Sekitaran Grace Fu mendedahkan, agensi tersebut menerima sekitar 140 aduan tentang bau busuk daripada penduduk Woodlands antara 1 Ogos dengan 24 September tahun ini.

Kata beliau, NEA menjalankan pemeriksaan di lapangan dan premis di kawasan berkenaan seperti di kilang, tapak binaan dan ladang pertanian untuk mencari puncanya.

Sekiranya bau busuk itu boleh dikesan, NEA akan mendampingi pemilik atau penghuni premis itu untuk melaksanakan langkah-langkah sewajarnya.

"NEA juga akan memantau keadaan untuk memastikan langkah-langkah itu berkesan dalam mengatasi isu bau busuk itu," jamin Cik Fu.

Related article image
Sekitar kawasan Woodgrove. (Gambar: TODAYonline)

Sekitar kawasan Woodgrove. (Gambar: TODAYonline)

LONJAKAN ADUAN BAU BUSUK

Cik Soh memberitahu Mediacorp bahawa beliau mengajukan pertanyaan di parlimen kerana terdapat peningkatan pada jumlah maklum balas penduduk Woodlands tentang bau busuk itu pada bulan lalu.

Encik Corwin Chew, yang tinggal di Block 416 Woodlands Street 41, berkata bahawa beliau pertama kali terhidu bau busuk itu yang digambarkannya sebagai baja atau tahi lembu, empat bulan lalu.

"Ia kerap berlaku, setiap dua hingga tiga hari," kata jurutera berusia 39 tahun itu sambil menambah kali terakhir beliau terhidui bau busuk itu adalah minggu lalu.

Bau itu biasanya dikesan pada sebelah malam antara 9.00 malam dengan 1.00 pagi, kata Encik Chew yang turut mendedahkan bahawa beliau terpaksa menutup tingkap dan menghidupkan kipas untuk menghilangkan bau busuk itu sebelum tidur.

Cik Nur Hafizah Abdul Kadir, seorang pendidik berusia 38 tahun pula berkata beliau terhidu bau busuk di estet perumahannya itu sebanyak dua kali pada bulan lalu.

"Saya di rumah ibu saya dan terdapat bau amat busuk seperti bau muntah atau kencing. Kami tidak dapat mengenal pasti dari mana puncanya," kongsi Cik Hafizah tentang kali pertama beliau terhidu bau busuk itu.

Kali kedua ia berlaku adalah beberapa hari kemudian di rumahnya sendiri.

Kali ini, bau itu "seperti bangkai kucing atau mayat manusia" dan mengambil masa selama beberapa jam untuk hilang, kata beliau.

BAU BUSUK MUNGKIN DARI LADANG BERDEKATAN

Dalam responsnya kepada laporan media tentang bau busuk di Woodlands dan kawasan lain di bahagian utara Singapura pada 16 September, NEA menyatakan ia menerima beberapa aduan daripada para penduduk Woodlands pada 12 dan 13 September.

Agensi tersebut memeriksa kemudahaan perindustrian dan ladang di kawasan Woodlands dan Lim Chu Kang tetapi tidak dapat mengesan sebarang perkara yang luar biasa.

"Memandangkan Woodlands terletak berdekatan dengan ladang-ladang pertanian di Lim Chu Kang, maka ada kalanya tiupan angin boleh membawa (bau busuk itu) ke kawasan kami, sebab itu kadangkala para penduduk mungkin terdedah kepada bau yang tidak menyenangkan itu," terang Cik Soh.

Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita