Makin ramai pembantu rumah asing ikuti kursus jagaan warga tua
Lebih ramai pembantu rumah asing mengikuti kursus yang khusus seperti program penjagaan warga tua sejak dua tahun lalu.
SINGAPURA: Lebih ramai pembantu rumah asing mengikuti kursus yang khusus seperti program penjagaan warga tua sejak dua tahun lalu.
Ini sedang lebih ramai majikan inginkan sokongan penjagaan yang lebih baik bagi ahli keluarga mereka yang sudah lanjut usia.
Cik Siti Maryatul Kibtiyah sudah bekerja sebagai pembantu rumah selama lebih lapan tahun.
Namun, daripada berkumpul bersama rakan-rakannya pada hari cutinya, Cik Siti meluangkan hampir 50 jam pada hari Ahad untuk belajar bagaimana membaca paras glukos pesakit dan menjaga mereka yang terlantar di katil.
Cik Siti di kalangan 44 wanita kohort pertama pembantu rumah asing yang baru sahaja menamatkan kursus Penjagaan Demensia Khusus yang dijalankan Persatuan Pembantu Rumah Asing bagi Sokongan Sosial dan Latihan (FAST).
Satu kajian Institut Kesihatan Mental menjangkakan hampir 82,000 orang mengalami demensia tahun lalu.
Dengan jumlahnya dijangka melebihi 100,000 dalam masa beberapa tahun, kursus-kursus sedemikian membantu melengkapkan para pembantu rumah dengan kemahiran yang diperlukan.
FAST menyatakan ia melihat kenaikan 50 peratus jumlah mereka yang mendaftar untuk mengikuti kursus dalam masa dua tahun lalu.
Dan ia sudah melatih hampir 150,000 pembantu rumah asing sejak 2006 dalam pelbagai kemahiran seperti kemahiran komputer dan memasak.
Namun FAST juga berharap latihan khusus sebegini akan membantu para pembantu rumah mendapat gaji lebih tinggi.
Persatuan itu juga berhasrat untuk membangunkan latihan khusus bagi penjagaan ibu dan bayi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.