Skip to main content

Singapura

Makin ramai keluarga perlukan bantuan makanan, termasuk pasangan muda dan penghuni rumah privet

Sepanjang tempoh sembilan bulan pertama tahun ini, kumpulan bukan untuk mencari keuntungan Food From the Heart mendedahkan bahawa jumlah keluarga yang menerima bantuan daripada program pengagihan makanannya sudah melonjak sebanyak 50 peratus.

Anggaran Waktu Membaca:
Makin ramai keluarga perlukan bantuan makanan, termasuk pasangan muda dan penghuni rumah privet

(Gambar: Food from the Heart)

Diterbitkan : 19 Sep 2020 01:38PM Dikemas Kini : 19 Sep 2020 01:42PM

SINGAPURA: Sepanjang tempoh sembilan bulan pertama tahun ini, kumpulan bukan untuk mencari keuntungan Food From the Heart mendedahkan bahawa jumlah keluarga yang menerima bantuan daripada program pengagihan makanannya sudah melonjak sebanyak 50 peratus, dari sekitar 6,000 pada Januari kepada 9,000 pada September.

Food Bank Singapore, sebuah lagi badan amal yang turut melakukan pengagihan makanan, memberitahu Mediacorp bahawa sepanjang tempoh pemutus rantaian jangkitan selama dua bulan dari April hingga Mei, di mana para penduduk digesa supaya duduk di rumah, ia mengagihkan 560 tan makanan.

Jumlah itu lebih separuh daripada 802 tan makanan yang diagihkan sepanjang tahun lalu.

Badan-badan kebajikan itu juga menarik perhatian kepada golongan "miskin baru" yang muncul disebabkan oleh keadaan ekonomi yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19.

Terdapat juga golongan yang biasanya tidak akan meminta bantuan seperti pasangan muda atau mereka yang tinggal di hartanah privet.

Pada Rabu (16 Sep), hasil kajian yang dijalankan tahun lalu menunjukkan bahawa satu daripada setiap 10 keluarga rakyat Singapura tidak makan secukupnya untuk terus kekal sihat, dan ada juga yang hanya makan sekali saja dalam sehari.

Laporan Kelaparan 2019, yang diterbitkan oleh sekumpulan penyelidik dari Pusat Lien bagi Inovasi Sosial di Universiti Pengurusan Singapura (SMU), juga menunjukkan bahawa hanya sekitar dua daripada 10 individu yang turut terjerumus dalam keadaan sedemikian menerima bantuan seumpama itu.

Kes-kes itu diklasifikasikan sebagai para individu yang berdepan dengan isu jaminan makanan atau keluarga dan individu yang tidak mempunyai makanan yang secukupnya disebabkan oleh kedudukan kewangan atau sumber-sumber lain yang terhad.

Laporan itu turut mendapati bahawa sebab utama di sebalik makanan yang tidak cukup juga dikaitkan dengan kesempitan wang, seperti perlu membayar gadai janji dan sewa rumah, hilang mata pencarian dan isu-isu kesihatan.

Dalam responsnya terhadap dapatan kajian tersebut, Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) menyatakan pada Rabu bahawa pihaknya akan terus bekerjasama dengan sebuah kumpulan kerja untuk menangani isu jaminan makanan di Singapura.

Charity Food Workgroup terdiri daripada pertubuhan-pertubuhan sokongan makanan - termasuk The Food Bank Singapore dan Food from the Heart - serta beberapa pertubuhan dan agensi pemerintah.

MSF menyatakan: "Laporan itu meningkatkan kesedaran mengenai isu jaminan makanan di Singapura, serta betapa pentingnya untuk mengambil pendekatan rentas sektor di mana Pemerintah, masyarakat dan syarikat-syarikat saling bekerjasama untuk menyelaraskan sokongan makanan."

Ia menambah bahawa terdapat dua inisiatif yang sedang dirancangkan untuk menawarkan penyelarasan sokongan makanan yang lebih bersepadu. Sebuah pangkalan data penerima bantuan dan ujian terhadap para penyelaras sokongan makanan tempatan" di beberapa kawasan perumahan awam.

Cik Sim Bee Hia, ketua pegawai eksekutif Food from the Heart memberitahu Mediacorp bahawa punca di sebalik peningkatan ketara baru-baru ini pada jumlah orang yang meminta bantuan disebabkan oleh jenis pekerjaan mereka.

Badan amal itu mengagihkan barangan seperti sayur-sayuran, telur dan roti. Ia juga mengagihkan barang makanan yang tidak cepat rosak seperti makanan dalam tin, beras dan biskut sebulan sekali kepada keluarga yang memerlukan. 

Sumber : Today/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita