Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Makin ramai isi rumah HDB tetapi saiz purata lebih kecil; jumlah keluarga berangkai tinggal sebumbung berkurangan

Jumlah isi rumah Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) sudah meningkat dengan stabil sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dengan lebih 1 juta flat didiami pada 2018.

Anggaran Waktu Membaca:
Makin ramai isi rumah HDB tetapi saiz purata lebih kecil; jumlah keluarga berangkai tinggal sebumbung berkurangan

(Gambar: Crispina Robert)

Diterbitkan : 10 Feb 2021 02:25PM Dikemas Kini : 10 Feb 2021 02:28PM

SINGAPURA: Jumlah isi rumah Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) sudah meningkat dengan stabil sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dengan lebih 1 juta flat didiami pada 2018.

Saiz purata isi rumah, bagaimanapun, menyusut dari 3.4 orang pada 2008 kepada 3.1 pada 2018, sedang jumlah keluarga dengan dua atau lebih generasi hidup bersama berkurangan.

Dapatan Tinjauan Keluarga HDB ini dikeluarkan pada Rabu (10 Feb), dengan tinjauan tersebut dijalankan setiap lima tahun sekali untuk mengumpul maklum balas mengenai perumahan awam dan mengenal pasti keperluan dan jangkaan penduduk yang kian berubah-ubah.

Tinjauan terkini, yang dijalankan pada 2018, meninjau hampir 8,000 keluarga bagi semua estet HDB.

Tinjauan itu mendapati bahawa meskipun jumlah isi rumah sudah meningkat, jumlah keseluruhan rakyat Singapura dan Penduduk Tetap (PR) yang menetap di flat-flat HDB merosot dari 3.06 juta pada 2013 kepada 3.04 juta pada 2018, sedang lebih ramai penduduk berpindah ke rumah privet, menurut HDB.

Terdapat juga kemerosotan secara keseluruhan pada isi rumah berdasarkan keluarga - disifatkan sebagai anggota keluarga utama atau keluarga berangkai - dari 90.9 peratus bagi semua isi rumah pada 2008 kepada 86.6 peratus pada 2018.

Sementara itu, jumlah isi rumah dengan satu orang saja meningkat dari 8 peratus kepada 11.9 peratus dalam tempoh yang sama.

Ini sebahagian besarnya disebabkan oleh penuaan penduduk dan kelonggaran dasar perumahan HDB yang membolehkan golongan bujang untuk membeli flat dua bilik yang baru, menurut agensi itu.

LEBIH RAMAI TINGGAL BERDEKATAN IBU BAPA

Sekalipun jumlah keluarga berangkai yang tinggal sebumbung semakin berkurangan, isi rumah terus menunjukkan betapa pentingnya hubungan keluarga di Singapura, menurut tinjauan itu.

Peratusan pasangan suami isteri lebih muda yang tinggal berdekatan dengan, atau di estet berhampiran dengan ibu bapa mereka meningkat dari 42.8 peratus pada 2013 kepada 44.9 peratus pada 2018.

Jumlah penduduk lebih tua yang tinggal berdekatan dengan anak-anak mereka yang sudah berkahwin juga meningkat dari 37.9 peratus kepada 43.5 peratus dalam tempoh yang sama.

Para penduduk lebih muda yang sudah berkahwin ditakrifkan sebagai mereka yang berusia bawah 54 tahun. Mereka membentuk 22.2 peratus daripada semua isi rumah HDB.

Sumber : CNA/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan