Skip to main content

Singapura

Makin ramai belia ketagihan dek permainan online lebih menarik dan peranti bijak

Anggaran Waktu Membaca:
Makin ramai belia ketagihan dek permainan online lebih menarik dan peranti bijak

Belia bermain permainan di telefon bimbit.

Diterbitkan : 17 Jun 2025 01:51PM Dikemas Kini : 17 Jun 2025 01:52PM
SINGAPURA: Pakar terapi dan kaunselor berkata permainan lebih menarik yang dibangunkan dalam tahun-tahun kebelakangan ini dan kelaziman peranti pintar menyebabkan lonjakan dalam kes ketagihan permainan.

Encik Chai Binhua, seorang kaunselor di pusat pemulihan ketagihan We Care Community Services, memberitahu Mediacorp bahawa beliau melihat kenaikan 30 peratus dalam jumlah mereka yang mendapatkan bantuan untuk ketagihan permainan video dan peranti sejak 2019.

Beliau menambah bahawa golongan belia membentuk lebih 80 peratus kes yang diterima oleh pusat tersebut.

Encik Chai berkata banyak permainan menggalak pemain untuk log masuk secara kerap dengan misi harian, yang membuat mereka rasa kemajuan dan pencapaian dengan melakukan tugas yang mudah tetapi memakan masa.

Beliau menambah bahawa banyak kes ketagihan sedemikian melibatkan permainan yang mempunyai urus niaga mikro seperti kotak rampasan atau mekanik lain yang menggoda pemain untuk membuat pembelian dalam permainan untuk menerima barangan maya secara rawak.

Pakar berkata bahawa kotak rampasan mewujudkan ciri-ciri ketagihan yang serupa dengan perjudian kerana ia memberikan pemain hasil berasaskan peluang untuk menerima pelbagai barangan maya - termasuk yang sangat diingini - pada harga yang kelihatan munasabah.

Dr Geraldine Tan, pakar psikologi utama di The Therapy Room, juga mencatat kenaikan dalam jumlah kes ketagihan peranti di kliniknya.

"Sebelum COVID-19, kami mempunyai mungkin lima hingga enam daripada 10 ibu bapa yang mengadu tentang anak-anak mereka menggunakan peranti. Sekarang, (kami) mempunyai hampir tujuh hingga lapan daripada 10 ibu bapa," katanya.

KETAGIHAN PERMAINAN BOLEH BAWA KEPADA PENGASINGAN DIRI

Mereka yang mempunyai ketagihan permainan yang serius sering menunjukkan tanda-tanda pengasingan diri, mengabaikan sekolah atau kerja, dan enggan mengambil bahagian dalam aktiviti sosial dan keluarga, kata Dr Tan.

"Salah satu kes yang saya terima - dia berada di komputer untuk tempoh yang lama ... sehingga dia gagal di kolej. Dia membeli ... pelbagai gajet ... untuk memudahkan permainannya," katanya.

Pakar psikoterapi Narasimman Tivasiha Mani berkata ibu bapa harus mengawal masa skrin anak-anak mereka dan bukannya mengambil peranti mereka, kerana yang kedua itu boleh memburukkan rasa pengasingan mereka.

"Saya mempunyai pelanggan yang menjadi agresif kerana ibu bapa mematikan peranti," kata pengasas bersama dan pengarah eksekutif Impart, sebuah badan amal kesihatan mental belia berasaskan masyarakat.

Beliau menambah bahawa permainan berfungsi sebagai mekanisme menangani keadaan semasa pandemik bagi 70 peratus belia yang ditemuinya, yang menggunakan dunia maya bagi interaksi sosial semasa tempoh berkurung.

Pakar berkata banyak belia sedemikian terus memenuhi keperluan sosial mereka online selepas pandemik dan bukannya kembali kepada kegiatan dalam dunia nyata.

"Ketagihan permainan...menjadikan mereka terperangkap dalam beberapa cara," kata Encik Tom Maniatis, seorang ahli terapi kanan ketagihan di Promises Healthcare, sambil menambah bahawa pengasingan sosial boleh membawa implikasi terhadap masyarakat yang semakin menua seperti Singapura.

ATASI KETAGIHAN PERMAINAN

Encik Maniatis berkata bahawa ramai orang yang ketagihan permainan yang dirawat di kliniknya mempunyai keadaan yang tidak didiagnosis termasuk ADHD, autisme, kemurungan dan keresahan, menyebabkan mereka menggunakan permainan sebagai mekanisme untuk menanganinya.

Penyokong kesihatan mental berkata bahawa menangani isu-isu asas yang dihadapi oleh pesakit adalah penting untuk mengatasi ketagihan permainan.

Sebagai contoh, terapi keluarga boleh membantu bagi mereka yang beralih kepada permainan sebagai cara untuk melarikan diri daripada menangani isu-isu keluarga, kata mereka.

Dr Tan menyatakan ibu bapa harus menetapkan batasan pada aktiviti permainan anak-anak mereka dan menasihati mereka untuk mencari bantuan awal jika mereka mengesyaki tingkah laku yang berlebihan.

Ini kerana ketagihan permainan, selain menjejaskan perkembangan kanak-kanak, boleh mempunyai kesan yang berkekalan yang berlanjutan jauh ke alam dewasa yang boleh terus mengganggu pekerjaan, dan kesejahteraan sosial dan mental.

"Seorang kanak-kanak, remaja atau bahkan orang dewasa muda mungkin tidak tahu bagaimana untuk menangani (trauma) dan (mereka) beralih kepada peranti, dan kehilangan diri mereka dalam dunia permainan," kata Dr Tan.

Belia yang memerlukan bantuan bagi masalah ketagihan permainan boleh menghubungi pelbagai pertubuhan seperti REACH, sebuah perkhidmatan berasaskan masyarakat yang terdiri daripada profesional yang bekerja dengan kaunselor sekolah untuk menangani keperluan kesihatan mental pelajar.

Pusat kaunseling juga sedang mengusahakan platform maya untuk belia mencari bantuan daripada ahli terapi. Sesetengah daripadanya bahkan menjadikan aplikasi sedemikian seperti permainan - selaras dengan minat kumpulan yang disasarkan.

Encik Narasimman berkata bahawa Impart menggunakan permainan kotak pasir Minecraft untuk mencipta persekitaran maya di mana pekerja kesihatan boleh berinteraksi dengan mereka yang ketagihan permainan untuk mengajar mereka kemahiran hidup.

"Apa yang kami mahu lakukan adalah untuk mencipta ruang yang sihat dalam metaverse untuk orang muda ini... kami tidak mahu menghalang mereka daripada peluang menjalin hubungan dan masyarakat," katanya.
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita