Skip to main content

Singapura

Makin banyak kedai makanan manfaatkan dapur automatik untuk kembangkan perniagaan di tengah-tengah kenaikan kos

Anggaran Waktu Membaca:
Makin banyak kedai makanan manfaatkan dapur automatik untuk kembangkan perniagaan di tengah-tengah kenaikan kos

(Gambar: Petikan skrin video Mediacorp)

Diterbitkan : 10 Sep 2025 11:44PM Dikemas Kini : 11 Sep 2025 07:19AM
SINGAPURA: Lebih banyak firma makanan dan minuman (F&B) tempatan beralih kepada dapur automatik untuk membantu mempelbagaikan hasil pendapatan sambil menangani kenaikan kos sewa dan tenaga kerja.

Salah satu contoh adalah mesin layan diri berkuasa kecerdasan buatan (AI), yang menurut pihak berkuasa boleh menjadi penentu perubahan bagi industri itu.

Para peminat hidangan mee soto dan mee rebus pasti pernah melanggani gerai Warong Pak Sapari yang terletak di Adam Road yang biasanya mempunyai barisan panjang.

Kini, orang ramai tidak perlu beratur panjang untuk mencuba masakan gerai Warong Pak Sapari.

Ini kerana hidangan gerai itu boleh didapatkan dari mesin layan diri di seluruh Singapura.

Mesin-mesin layan diri itu bertujuan membantu para pengendali F&B menghuraikan sebarang kekangan.

"Anda tidak perlu membuka kedai baharu. (Dengan) kedai baharu, anda perlukan tenaga kerja. Anda perlu bayar sewa. Anda perlukan ruang. Namun dengan mesin layan diri, anda hanya memerlukan ruang minimum, bayaran sewa minimum, dan tidak memerlukan tenaga kerja," kata pengasas Warong Pak Sapari, Sumadi Sapari.

Sebagai permulaan, lapan jenama tempatan boleh didapatkan di 120 mesin layan diri ChefGenie di merata Singapura.

Daripada alat gelombang mikro, dapur induksi (induction cooker) digunakan untuk memanaskan hidangan.

Teknologi AI memberi kuasa kepada mesin-mesin itu, menentukan masa memasak untuk memastikan rasa yang konsisten, serta menjejaki permintaan.

"Kami ada meletakkan mesin-mesin ini di sekolah, di ruang komersial atau juga di kawasan perumahan. Jadi setiap demografi ini mempunyai permintaan masing-masing.

"Jadi di sebalik tabir, kami menggunakan alat AI untuk mencadangkan kepada kami apakah hidangan yang harus ditambah.

"Dan alat-alat ini membolehkan kita untuk mengawal jumlah penambahan, sehingga ke dapur pusat, dan ia akan memberi arahan kepada dapur pusat untuk melihat apakah makanan yang disiapkan," kata Naib Presiden, Perniagaan dan Operasi, Aikit Sky Goh.

Berucap di acara pelancarannya, Menteri Negara Kanan bagi Perdagangan dan Perusahaan Low Yen Ling menggesa sektor F&B supaya memanfaatkan AI dan meneroka model perniagaan baharu bagi memenuhi permintaan pelanggan.

"Kami ingin menggalakkan syarikat-syarikat F&B kami supaya terus meneroka peluang dan inovasi bersama, kerana kerjasama seperti ini, yang menggabungkan kekuatan F&B dengan kuasa AI dan kuasa teknologi boleh mengubah sektor F&B kami dan membawanya ke tahap lebih tinggi.

"Jadi kami berharap banyak syarikat-syarikat F&B kami akan memanfaatkan geran dan sokongan pemerintah," kata Cik Low.

Bagi Aikit, syarikat yang mengendalikan mesin-mesin layan diri, ia kini menetapkan sasaran untuk memasang lebih banyak mesin di seluruh Singapura, bagi mencapai 300 mesin menjelang 2026.

Ia juga sedang meneroka rancangan untuk membawa mesin-mesin berkenaan ke luar negara.
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita