Skip to main content

Singapura

Maki AP Joan Pereira semasa lawatan, penduduk lelaki didenda S$1,000

Seorang lelaki berusia 57 tahun didenda S$1,000 hari ini (3 Nov) menghamburkan kata-kata kesat terhadap Anggota Parlimen (AP) Joan Pereira semasa AP itu melakukan lawatan bertemu penduduk awal tahun ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Maki AP Joan Pereira semasa lawatan, penduduk lelaki didenda S$1,000

AP Joan Pereira semasa bertemu penduduk di Pusat Penjaja & Pasar Bukit Merah View pada Jun 2020 (Gambar: Ili Nadhirah Mansor/TODAY)

Diterbitkan : 03 Nov 2021 07:01PM Dikemas Kini : 03 Nov 2021 07:07PM

SINGAPURA: Seorang lelaki berusia 57 tahun didenda S$1,000 hari ini (3 Nov) menghamburkan kata-kata kesat terhadap Anggota Parlimen (AP) Joan Pereira semasa AP itu melakukan lawatan bertemu penduduk awal tahun ini.

Gan Ah Guan, warga Singapura, mengaku bersalah atas satu pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kegusaran, gangguan atau kebimbangan terhadap Cik Pereira, yang merupakan AP GRC Tanjong Pagar.

Lelaki itu akan menjalani hukuman penjara lima hari selepas memberitahu mahkamah bahawa dia tidak mampu membayar denda tersebut.

Cik Pereira ketika itu berada di Pasar dan Pusat Penjaja Bukit Merah View pada 7 Mac ditemani oleh pengarah kawasan bahagian Henderson-Dawson GRC Tanjong Pagar.

Mahkamah diberitahu bahawa sekitar pukul 10.50 pagi, Gan ternampak Cik Pereira dan mula menuding jari dan menjerit ke arah beliau di hadapan orang ramai.

Dia menghamburkan kata-kata kesat dalam dialek Hokkien, yang bermaksud "wanita gila" dan juga menjerit "pergi mati". Dia kemudian meninggalkan tempat kejadian sejurus selepas itu.

Hari ini, ketika disoal oleh Hakim Daerah Jasbendar Kaur mengapa dia melakukan sedemikian, Gan berkata melalui seorang jurubahasa: “Saya merasakan beliau tidak banyak membantu penduduk, jadi ramai di antara kami tidak begitu menyukainya. Beliau juga tidak memberi kami apa-apa derma (dan) subsidi bulanan untuk penganggur."

Dia memberitahu hakim bahawa dia tidak akan mengulangi kesalahannya dan bahawa dia "menganggur, tertekan dan kemurungan" pada masa kejadian.

Gan juga mengulangi beberapa kali bahawa dia menganggur sejak setahun lalu dan meminta hukuman penjara lebih singkat kerana dia tidak mempunyai wang untuk membayar denda.

Semasa menjatuhkan hukuman, Hakim Daerah Kaur bersetuju dengan pihak pendakwaan bahawa sekiranya Gan memerlukan bantuan, dia sepatutnya menghubungi agensi berkaitan untuk mendapatkan bantuan.

Apabila Gan bertanya kepada hakim sama ada dia boleh mendapat subsidi setiap bulan, hakim menjawab bahawa mahkamah tidak memberikan subsidi dan dia seharusnya "bertanya kepada saluran yang betul".

Sesiapa yang disabit kesalahan di bawah Akta Perlindungan daripada Gangguan boleh dipenjara sehingga enam bulan atau didenda sehingga S$5,000, atau kedua-duanya sekali.

Sumber : Today/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita