Makan semeja di luar sehingga 5 orang dibenarkan mulai 10 Ogos bagi individu selesai divaksinasi
Penduduk yang sudah divaksinasi sepenuhnya akan dibenarkan makan di luar bermula 10 Ogos, sehingga lima orang semeja. Ia antara kelonggaran dua tahap yang diumumkan bagi langkah-langkah COVID-19.
SINGAPURA: Penduduk yang sudah divaksinasi sepenuhnya akan dibenarkan makan di luar bermula 10 Ogos, sehingga lima orang semeja.
Ia antara kelonggaran dua tahap yang diumumkan bagi langkah-langkah COVID-19.
Had perhimpunan sosial juga ditambah daripada dua menjadi lima setiap kumpulan bermula 10 Ogos, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) dalam satu kenyataan media pada Jumaat (6 Ogos). Isi rumah juga akan boleh menerima sehingga lima tetamu setiap hari.
Namun mereka yang tidak divaksinasi harus kekal dalam kumpulan tidak melebihi dua orang "bagi mengurangkan kemungkinan penularan dan jangkitan teruk", tambah MOH.
Kanak-kanak berusia 12 tahun dan ke bawah yang tidak divaksinasi boleh dirangkumkan dalam kumpulan lima orang itu asalkan kanak-kanak itu dari isi rumah yang sama, tambah kementerian itu.
Pengumuman itu dibuat menyusuli semakan pertengahan tempoh bagi langkah-langkah Fasa 2 (Kewaspadaan Dipertingkat). Langkah-langkah sekatan juga akan dilonggarkan mengikut dua tahap - bermula 10 Ogos, dan 19 Ogos - jika keadaan koronavirus kekal stabil, umum MOH.
Selain kelonggaran makan di luar, mereka yang sudah divaksinasi juga akan diberi kelonggaran bagi kegiatan-kegiatna berisiko lebih tinggi yang lain seperti senaman berat tanpa memakai pelitup, khidmat jagaan peribadi serta acara berskala lebih besar seperti majlis pernikahan dan acara keagamaan beramai-ramai.
"Individu yang tidak divaksinasi dengan ujian pra acara negatif yang sah, atau bekas pesakit (COVID-19) yang sudah pulih dianggap sebagai kurang berisiko, dan boleh mengikut serta dalam kumpulan hingga lima orang itu," tambah MOH.
Fasa pelonggaran bermula 10 Ogos akan dipanggil tahap persiapan, kata Menteri Kesihatan Ong Ye Kung semasa sidang media oleh pasukan bertindak berbilang kementerian.
Tahap itu akan berkuat kuasa sekitar sebulan hingga awal September, kata Encik Ong, sambil menambah 80 peratus penduduk dijangka akan selesai divaksinasi dalam tempoh itu.
“Dan ketika itu, kita dapat mengawal jumlah penyakit dan kes jangkitan berat, dan kapasiti jagaan kesihatan tidak menghadapi tekanan terlalu banyak, kita dapat beralih ke tahap seterusnya dipanggil Peralihan Tahap A," kata beliau.
"Dalam tempoh ini kita akan membuka lagi ekonomi, kegiatan sosial dan perjalanan. Maka itu kehidupan kita akan lebih normal, mata pencarian akan lebih terjaga. Namun apabila kita melakukan sedemikian, kita harus menjangkakan jumlah jangkitan meningkat."
HAD JAMU SELERA DI KEDAI
Kedai-kedai F&B hanya boleh menyambung operasi makan di kedai sekiranya mereka dapat memastikan bahawa pelanggan sudah menerima vaksinasi penuh.
"Kedai F&B yang tidak dapat memastikan demikian hanya boleh menjalankan khidmat bawa pulang dan penghantaran," kata MOH.
Kedua-dua mereka yang sudah divaksinasi dan tidak divaksinasi boleh makan di pusat penjaja dan kedai kopi, namun dalam jumlah kumpulan hingga dua orang.
"Pusat penjaja dan kedai kopi menyediakan khidmat makanan yang mudah dan harga berpatutan dalam masyarakat. Oleh kerana ruang-ruang ini adalah terbuka dan mempunyai pengaliran udara semula jadi, kami akan memberikan kelonggaran khas bagi mereka yang sudah divaksinasi dan tidak divaksinasi untuk makan di pusat penjaja dan kedai kopi,” jelas Kementerian Kesihatan.
Makan di luar kekal sebagai satu kegiatan berisiko tinggi kerana pelanggan tidak memakai pelitup dan berada dalam jarak rapat, kata kementerian itu, sambil menambah bahawa hiburan seperti persembahan langsung, muzik rakaman dan tayangan TV akan terus dilarang.
ACARA BESAR
Jumlah peserta dan had kapasiti bagi acara besar akan ditambah mulai 10 Ogos. Ini termasuk perhimpunan keagamaan dan ibadah secara berjemaah, panggung wayang, persembahan langsung, serta upacara pernikahan dan majlis persandingan.
Sekiranya semua tetamu divaksinasi sepenuhnya, acara bagi perhimpunan agama dan ibadah secara berjemaah, pawagam, persembahan langsung dan acara sukan dengan penonton akan ditambah kepada 500 orang mulai 10 Ogos.
Jika tidak, hanya 50 hadirin akan dibenarkan tanpa ujian sebelum acara.
Membuka pelitup dan menyanyi atau bermain alat muzik tiupan semasa persembahan secara langsung boleh disambung semula untukbagi penghibur yang selesai divaksinasi.
Bagi upacara pernikahan di tempat luar - iaitu yang tidak diadakan di rumah atau di bangunan Pendaftaran Perkahwinan (ROM) dan Pendaftaran Perkahwinan Muslim (ROMM) - ia boleh dihadiri sehingga 500 orang termasuk pasangan pengantin tetapi tidak termasuk kadi dan vendor sekiranya semua hadirin sudah menerima vaksinasi sepenuhnya.
Jika tidak, hanya 50 hadirin yang akan dibenarkan tanpa ujian pra-acara.
Mulai 10 Ogos juga, majlis persandingan juga akan dibenarkan dengan sehingga 250 orang yang dibahagikan kepada lima orang semeja jika semuanya sudah selesai divaksinasi.
KELONGGARAN TAMBAHAN MULAI 19 OGOS
Sekiranya keadaan COVID-19 tetap terkawal, sekatan-sekatan ini akan dilonggarkan lagi mulai 19 Ogos. Perhimpunan keagamaan, pawagam, acara MICE, pertunjukan secara langsung, acara sukan dengan penonton dan majlis pernikahan mungkin boleh dihadiri sehingga 1,000 orang yang semuanya sudah divaksinasi sepenuhnya.
Aturan bekerja dari rumah juga akan dilonggarkan bermula 19 Ogos, apabila sehingga 50 peratus pekerja yang boleh bekerja dari rumah akan dibenarkan kembali ke tempat kerja.
Keperluan imbasan suhu badan di tempat awam juga akan ditiadakan mulai 19 Ogos.
"Dengan kadar perlindungan vaksinasi yang tinggi dalam kalangan penduduk kita, penularan antara individu yang divaksinasi dan penyakit yang teruk dalam kalangan mereka yang sudah diberi vaksin tetapi tetap terkena jangkitan kemungkinannya jauh lebih rendah," jelas MOH, sambil menambah bahawa Singapura juga mempunyai kemampuan untuk mengesan jangkitan lebih awal menerusi ujian.
"Dengan langkah kesihatan awam yang disasarkan ini, kami akan memansuhkan syarat pemeriksaan suhu badan di tempat awam, selaras dengan pelonggaran langkah-langkah lain yang dijadual bermula 19 Ogos."
Mulai 19 Ogos juga, kapasiti operasi di tempat daya tarikan dan pelayaran akan ditambah daripada 25 peratus sekarang menjadi 50 peratus, kata MOH.
Muzium dan perpustakaan awam juga akan dibenarkan untuk menambah kapasiti operasi hingga 50 peratus.
Had di pusat beli-belah dan ruang pameran akan dinaikkan dari 16 meter persegi keluasan kasar setiap orang kepada 10 meter persegi setiap orang, tambahnya lagi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.