Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Makan di luar dibenarkan: Pusat penjaja mula dibanjiri pelanggan, sebilangan restoran pula masih sepi

Orang ramai mula memenuhi pusat-pusat dan tempat-tempat makan, pada hari pertama makan di luar dibenarkan semula hari ini (10 Ogos).

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Orang ramai mula memenuhi pusat-pusat dan tempat-tempat makan, pada hari pertama makan di luar dibenarkan semula hari ini (10 Ogos).

Pemerhatian BERITAmediacorp mendapati pusat-pusat penjaja rata-rata mendapat sambutan memberangsangkan daripada para pelanggan. Bagaimanapun sebahagian restoran masih menyaksikan jumlah pelanggan kurang rancak.

KEMBALI NIKMATI HIDANGAN MAKANAN DI PUSAT-PUSAT PENJAJA!

Antara pelanggan yang berada di pusat penjaja tersebut ialah Encik Mohd Zulfadly Mohd Aedey, 25 tahun.

Suasana di Pusat Penjaja Tiong Bahru juga kelihatan cukup rancak semasa kru Mediacorp berkunjung ke sana pada waktu sarapan pagi tadi.

Ramai pelanggan kelihatan selesa duduk makan, seolah-olah memanfaatkan sepenuhnya suatu 'kebebasan' setelah berminggu-minggu hanya boleh membeli secara bungkus untuk dibawa pulang atau ke pejabat sahaja.

Ia bagaimanapun dihadkan kepada dua orang sahaja.

Sebahagian daripada kerusi meja di pusat-pusat penjaja juga ditutup dengan alat hadangan, bagi memastikan had jumlah tersebut akan terus terjaga.

PEGERAI LAHIR RASA GEMBIRA

Menurut para peniaga di Pusat Penjaja Adam Road, jumlah pelanggan agak memberangsangkan dengan sebilangan daripada mereka masih membawa pulang makanan.

Malah, Cik Zaiton berkata bahawa kuantiti ayam yang dijualnya hari ini lebih 20% daripada yang dijualnya semasa tempoh makanan dibawa pulang dibenarkan bulan lalu.

Bagi pemilik kedai Nasi Singapura di pusat makanan itu, Encik Irwan Mohd Salleh, memang ramai suka datang ke sana kerana ia seolah-olah tempat makan sambil bersembang.

"Baguslah Alhamdulillah dan (pada) masa hadapan harap-harap lebih baik untuk perniagaan," ujar beliau.

Meskipun demikian Encik Irwan akur bahawa perniagaannya belum lagi sampai ke tahap sebelum ini. Belum cukup rancak sepertimana yang diinginkannya.

"Jika bungkus sahaja lebih laris dan baik. Sebab keadaan di pusat penjaja ini tempat letak kereta ada masalah sedikit. Jadi kalau macam dari pandangan saya, kalau bungkus, lebih banyak orang akan dapat masuk. Beli sekejap dan keluar. Tetapi kalau makan di sini, agak lembap sedikit sebab orang tidak keluar," ujar Encik Irwan.

PELANGGAN DI SEBAHAGIAN RESTORAN KURANG RANCAK

Di sebalik kerancakan pelanggan di pusat-pusat penjaja, sebilangan restoran di Singapura masih melaporkan suasana yang agak sepi.

Misalnya, kedua-dua cawangan restoran Royz Et Vous di Telok Ayer dan Sultan Gate menerima kurang daripada lima pelanggan pada waktu makan tengah hari tadi.

Ini meskipun para pelanggan sudah boleh duduk sehingga lima orang semeja di restoran-restoran dan cawangan makanan & minuman.

Penyelia restoran Royz Et Vous, Encik Iksan Pederel berkata ini sesuatu yang memang sudah pihaknya jangkakan.

"Lagipun hari ini hari pertama dimulakan untuk makan di luar, jadi memang kita sudah tidak mengharapkan ramai pelanggan akan datang. Lagipun ramai pelanggan kami adalah para pekerja pejabat di sini, dan ramai masih lagi bekerja dari rumah," kata beliau.

Dalam pada itu awal pagi tadi, Kementerian Kesihatan (MOH) mengeluarkan penjelasan bahawa mereka yang belum divaksin boleh makan di cawangan F&B asalkan mereka mendapat keputusan negatif bagi ujian praacara COVID-19. Ini perlu didapatkan daripada penyedia ujian yang diluluskan.

Namun demikian, bagi Royz et Vous, ia lebih cenderung untuk mengambil pendekatan berhati-hati. Oleh itu ia hanya mahu menerima pelanggan yang sudah divaksin sahaja buat masa ini.

"Pada awalnya, pihak kami memang ramai yang keliru peraturan-peraturan yang diberikan. Untuk hari ini, memang kita akan mengikut peraturan yang ditetapkan di mana kita cuma terima para pelanggan yang sudah divaksin sepenuhnya. Kita harus memeriksa aplikasi TraceTogether mereka," kongsi Encik Iksan.

Yang pasti, pihak berkuasa sudahpun memberi amaran bahawa "cawangan-cawangan F&B tidak boleh menerima pelanggan untuk duduk makan jika mereka tidak memenuhi" peraturan.

Para pegawai penguat kuasa juga akan melakukan tindakan penguatkuasaan yang ketat demi memastikan orang ramai dan para peniaga mematuhi undang-undang. 

Sumber : BERITA Mediacorp/hk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan