Makam Habib Noh selesai jalani kerja pemuliharaan, dibuka sepenuhnya kepada awam pada 12 Jan
Menurut Naib Pengerusi Masjid Haji Muhammad Salleh, Ustaz Muhammad Jalaluddeen Saukat Ali, yang ditemui di acara menandakan selesainya kerja baik pulih makam hari ini (11 Jan), tumpuan kerja pemulihan tersebut adalah pada kubah serta dinding yang telah lusuh dan memerlukan pembaikan.
"Kami lihat banyak perkara seperti bumbung, kubah dan tembok kami sudah lusuh kerana peredaran zaman," kata Ustaz Jalaluddeen.
"Selain itu, kami pastikan bumbung kami tidak ada kebocoran. Lagi-lagi kami ini merupakan masjid yang di sebelah laut di mana angin kuat apabila hujan lebat. Jadi Alhamdulillah, kami cuba sebaik mungkin untuk memastikan apabila para pengunjung datang mereka selamat dan mereka selesa," tambahnya lagi.
Beliau turut berkongsi bahawa kubah baharu yang diletakkan di atas makam tersebut disiapkan oleh pakar dari Malaysia.
"Alhamdulillah, kami mendapatkan pakar yang dapat membinanya seakan-akan kubah Nabi Muhammad dari segi warna dan bentuk," tambahnya lagi.
Selain kubah dan dinding, tangga ikonik di hadapan makam yang berusia lebih 125 tahun, turut diperbaiki.
"Kami memastikan ia tidak licin, ada tempat pegang yang sesuai dan kuat kerana apabila kami mulakan, kami lihat tempat yang pegang tu sudah karat," kongsi Ustaz Jalaluddeen.
"Jadi kami tukarnya dengan logam yang tidak karat supaya masyarakat boleh pegang dengan selesa. Jadi itulah antara perkara yang kami boleh sesuaikan, kami boleh ubah suai untuk kebaikan masyarakat, kami cuba sebaik mungkinlah.
Menurut Pengerusi Masjid Muhammad Haji Salleh, Khalid Mohamad, keseluruhan kerja-kerja baik pulih menelan belanja sekitar $2 juta.
Makam Habib Noh ditutup pada 18 Jun 2024 dan dibuka secara bertahap-tahap sejak November tahun lalu.
Dan bermula esok (12 Jan), orang ramai boleh mengunjungi Makam Habib Noh selepas ia dibuka sepenuhnya kepada pengunjung.
Kali terakhir kerja naik taraf dilakukan di makam yang terletak bersebelahan dengan Masjid Haji Muhammad Salleh di Palmer Road dan dibangunkan pada tahun 1890 itu ialah sekitar 40 tahun yang lalu.
PROJEK MAKAM HABIB NOH CERMINAN SEMANGAT KOLEKTIF MASYARAKAT ISLAM: DR FAISHAL
Dalam ucapannya, Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Faishal Ibrahim berkata kejayaan projek pemuliharaan Makam Habib Noh mencerminkan semangat kolektif masyarakat Islam di Singapura dalam memelihara warisan agama dan sejarah.
"Yang penting bagaimana kita boleh terus bersatu untuk membangunkan negara kita. Kita juga mahu menitikberatkan kehidupan dan kemaslahatan semua di Singapura dan kita sama-sama membangun masyarakat Islam yang berjaya, yang mempunyai akhlak mulia," kata Dr Faishal.
Beliau berharap bahawa Makam Habib Noh akan terus berkembang sebagai 'Oasis Kerohanian di Tengah Bandar', sewajar dengan ukiran sejarah melebihi satu abad.
SEJARAH HABIB NOH DAN KAWASAN DI SEKITAR MASJID HAJI MUHAMMAD SALLEH DIBUKUKAN
Selain kerja-kerja pemulihan, Pengerusi Masjid Muhammad Haji Salleh, Khalid Mohamad, berkongsi bahawa pihak Masjid Haji Muhammad Salleh turut menjalankan satu penyelidikan bagi mendokumentasikan sejarah Habib Noh serta kawasan sekitaran masjid tersebut secara teliti.
"Projek ini meneliti sejarah Habib Noh, Habib Abdul Rahman dan Haji Muhammad Salleh, serta makam, masjid dan kawasan sekitarnya," tambahnya lagi
Hasil dapatan dari kajian tersebut akan dibukukan dan dijangka siap seawal pertengahan tahun ini.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.