Majoriti ikan salmon Norway di S'pura selamat dimakan
Majoriti ikan salmon Norway di Singapura selamat dimakan, menurut pemain industri pada Khamis (1 Ogos) menyusuli kebimbangan pencemaran makanan.
Gambar fail ikan salmon. (Gambar: ERIC PIERMONT/AFP)
SINGAPURA: Majoriti ikan salmon Norway di Singapura selamat dimakan, menurut pemain industri pada Khamis (1 Ogos) menyusuli kebimbangan pencemaran makanan.
Agensi Makanan Singapura menarik balik satu kiriman bekalan ikan salmon Atlantik dari Norway pada Rabu setelah ia didapati mengandungi bakteria 'listeria monocytogenes'.
Bekalan yang terjejas itu dibawa masuk ke Singapura oleh syarikat pengimport ikan Yu Fish.
Menurut SFA dalam satu kenyataan media, Yu Fish dimaklumkan pembekalnya di Norway mengenai pencemaran itu.
Dalam respons kepada soalan-soalan Mediacorp, syarikat Yu Fish menyatakan pihaknya diberitahu mengenai pencemaran itu pada lewat malam Selasa. Ia kemudian memaklumkan para pembeli dan segera menarik balik penjualannya pada pagi Rabu.
Menurut pengedar itu, bekalan yang terjejas melibatkan sekitar 0.5 peratus daripada 117 tan metrik ikan salmon yang dieksport Norway ke Singapura minggu lalu. Ini berdasarkan data dari Majlis Makanan Laut Norway.
"TERHAD KEPADA SATU KELOMPOK"
Rangkaian pasar raya NTUC Fairprice menyatakan pada Khamis bahawa pihaknya sudah menarik balik sepenuhnya ikan-ikan salmon yang terjejas.
"Seluruh bekalan itu ditarik balik sebelum ia sempat dijual, kecuali satu cawangan - FairPrice di Northpoint City," menurut FairPrice dalam satu kenyataan.
FairPrice menambah bahawa para pelanggan yang membeli ikan salmon Atlantic dari Norway dari cawangan di NorthPoint City pada Selasa, boleh mengembalikannya ke cawangan yang sama dengan resit masing-masing untuk mendapatkan wang kembali menjelang 15 Ogos.
Majlis Makanan Laut Norway, dalam satu kenyataan bagi pihak pengeksport salmon dari negara itu, menekankan bahawa pengesanan bakteria itu "terhad kepada satu kelompok tertentu", yang "dikendalikan mengikut prosedur".
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.