Majlis Tertinggi MUIS lantik 9 anggota baharu
SINGAPURA: Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) melantik sembilan anggota baharu dalam Majlis Tertinggi ke-20, menurut kenyataannya pada Khamis (7 Ogos).
Secara keseluruhannya, seramai 19 anggota dilantik bagi memberi panduan kepada MUIS dalam menyelia keperluan sosioagama masyarakat Islam di Singapura.
Di bawah Seksyen 7 Akta Pentadbiran Hukum Islam (AMLA), Presiden Tharman
Shanmugaratnam melantik anggota-anggota Majlis Tertinggi itu, termasuk Presiden MUIS, Ketua Eksekutif dan Mufti Negara.
Anggota lain pula disarankan oleh Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Dr Faishal Ibrahim serta mereka yang dicadangkan oleh Presiden MUIS menerusi pencalonan oleh pelbagai pertubuhan Islam.
Majlis Tertinggi MUIS turut menggabungkan kebijaksanaan dan pengalaman dengan perspektif baharu daripada kedua-dua pemimpin mapan dan baharu daripada sektor pendidikan, perkhidmatan awam, korporat, agama dan sosial.
Pasukan tersebut juga menampilkan tujuh individu yang kembali berkhidmat sebagai anggota, yang sama-sama akan melakar hala tuju bagi inisiatif penting dan teras strategik MUIS bagi tiga tahun akan datang.
Dr Faishal berkata: "Sekitaran yang kerap berubah-ubah hari ini memerlukan kedua-dua kepimpinan dan perspektif berdaya inovasi bagi memberi panduan kepada masyarakat kita untuk maju serta memastikan keperluan sosioagamanya dipelihara.
"Majlis Tertinggi MUIS ke-20 mendakapi keseimbangan ini.
"Kepakaran rencam mereka mencerminkan komitmen berterusan kami untuk membentuk dasar yang berkesan dan menyampaikan program bersasar, seiring dengan keperluan berubah-ubah masyarakat kita."
Dr Faishal turut memberi penghargaan kepada anggota Majlis Tertinggi ke-19 atas sumbangan mereka sebelum ini.
"Saya yakin Majlis Tertinggi baharu akan menawarkan wawasan baharu yang akan memberi manfaat kepada MUIS dan masyarakat kita, dan saya menyeru MUIS untuk terus mengukuhkan kerjasama dengan masyarakat dan rakan-rakan penting yang lain," tambah Dr Faishal.
Ketua Eksekutif MUIS, Kadir Maideen juga mengalu-alukan kekuatan berbilang bidang dalam Majlis Tertinggi baharu ini.
"Kepakaran rencam Majlis Tertinggi baharu ini akan membawa perspektif segar kepada perbincangan kami.
"Sedang kami alu-alukan mereka, kami juga mengucapkan terima kasih kepada anggota Majlis Tertinggi yang tidak lagi berkhidmat atas kepimpinan dan khidmat berdedikasi mereka.
"Pencapaian mereka membina asas kukuh, yang akan diperhebatkan lagi dengan huraian inovatif bagi cabaran sedia ada dan masa hadapan."
Majlis Tertinggi MUIS ke-20 akan memulakan penggal tiga tahun bermula hari ini, iaitu 7 Ogos 2025, hingga 6 Ogos 2028.
Salah seorang anggota baharu Majlis Tertinggi itu, Ustazah Dr Siti Nur 'Alaniah
Abdul Wahid, berkongsi pendapatnya: "Gabungan anggota baharu dan lama Majlis Tertinggi ini mewujudkan pasukan yang kuat bagi masyarakat Islam kita.
"Panduan yang ditawarkan anggota yang sudah lama berkhidmat, dan digabungkan pula dengan perspektif segar anggota baharu, meletakkan kami di kedudukan baik untuk membangunkan program berkesan dan mampan serta bagi mencari huraian inovatif.
"Saya hargai sokongan mereka, sedang kita memulakan tugas penting ini bersama-sama."
ANGGOTA MAJLIS TERTINGGI MUIS KE-20:
Mohamed Sa’at Abdul Rahman (Presiden MUIS)
Kadir Maideen (Ketua Eksekutif MUIS)
Dr Nazirudin Mohd Nasir (Mufti Singapura)
Ustaz Pasuni Maulan
- Penggal kelapan sebagai anggota Majlis Tertinggi
- Mantan Pendaftar di Pejabat Pendaftaran Pernikahan Orang Islam (ROMM)
Abu Bakar Mohd Nor
- Penggal ketiga sebagai anggota Majlis Tertinggi
- Pengerusi & Pengarah, M Capital Holdings Pte Ltd
- Duta Singapura ke Kuwait yang tidak berpangkalan di negara itu
Azriman Mansor
- Penggal kedua sebagai anggota Majlis Tertinggi
- Pengawal Kewangan Kumpulan, Times Publishing Limited
Ustaz Fathurrahman Haji M Dawoed
- Penggal ketiga sebagai anggota Majlis Tertinggi
- Pengarah Eksekutif, Andalus Corporation
- Pengerusi AMP
Dr Nurhidayati Mohamed Suphan
- Penggal kedua sebagai anggota Majlis Tertinggi
- Pakar obstetrik dan sakit puan, Pacific Healthcare Holdings
Ustaz Muhammad Ishlaahuddin Jumat
- Penggal kedua sebagai anggota Majlis Tertinggi
- Naib Presiden, Persatuan Muhammadiyah
Zarina Begam Abdul Razak
- Penggal kedua sebagai anggota Majlis Tertinggi
- Pengarah Urusan, Bio Dew Management International & Institute (BDMI)
Ustazah Dr Rohana Ithnin
- Anggota baharu Majlis Tertinggi MUIS
- Pensyarah
Dr Djoni Huang Sian Wei @ Md Yahya Abdullah
- Anggota baharu Majlis Tertinggi MUIS
- Pengarah Perkhidmatan Klinikal, Hospital Mount Alvernia
Dr Norham Erlyani Abdul Hamid
- Anggota baharu Majlis Tertinggi MUIS
- Penolong Pengarah, Strategi Program dan Operasi Perniagaan di Hilleman Laboratories
Ustaz Muhammad Tarmizi Abdul Wahid
- Anggota baharu Majlis Tertinggi MUIS
- Pengasas & Pengarah, Mizium Pte Ltd
- Presiden, PERGAS
Zulaifah Abdul Ghani
- Anggota baharu Majlis Tertinggi MUIS
- Ahli Lembaga, Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS)
Ustazah Dr Siti Nur ‘Alaniah Abdul Wahid
- Anggota baharu Majlis Tertinggi MUIS
- Perunding Pendidikan, Anise Consultancy & Services
Imran Rahim
- Anggota baharu Majlis Tertinggi MUIS
- Rakan kongsi ekuiti, Ketua Bersama Penstrukturan Semula & Kebankrapan & Peguam, Eldan Law LLP
Syed Jaafar Syed Alwi Madihi
- Anggota baharu Majlis Tertinggi MUIS
- Pengurus Perkhidmatan Kewangan, Professional Investment Advisory Services Pte Ltd
- Ahli Lembaga, Persatuan Arab Singapura
Ahmed Basir Amir Sultan
- Anggota baharu Majlis Tertinggi MUIS
- Naib Presiden, IM.PROF SKML EXC
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.